Pages

Monday, May 18, 2009

Mangga Chokanan jadi identiti baru Langkawi

SIMPANG DATAI - Mangga Chokanan kini menjadi identiti baru Langkawi dengan memperkenalkannya sebagai Langkawi Manggo mulai semalam. Pengarah Kanan Urusniaga Segar Wilayah Fama, Ahmad Ishak berkata, identiti ini bertujuan untuk bersaing dengan pasaran tempatan dan luar negara dan bagi memperkenalkan jenama Langkawi di serata dunia.

Menurutnya, usaha ini dilaksanakan melalui program pembangunan projek kelompok buah-buahan Kampung Simpang Datai, Mukim Ayer Hangat, bermula pada tahun 2001 di bawah Program Ladang Kontrak Mangga Chokanan Langkawi. “Keluasan keseluruhan projek ini adalah 46 hektar yang mana pada asalnya, adalah kawasan belukar dan hutan kecil. “Fama Langkawi mula menjalankan operasi belian mangga ini pada tahun 2007 dengan penyertaan 20 orang pada peringkat awal,” katanya ketika Majlis Menandatangani Perjanjian Ladang Kontrak Langkawi Manggo Kelompok Kampung Simpang Datai, Mukim Air Hangat.

Ahmad berkata, namun pada tahun lalu jumlah peserta bawah program ladang kontrak ini telah meningkat kepada 22 orang. Menurutnya, pada majlis semalam, seramai 26 peserta lagi berminat untuk menjalankan projek penanaman mangga ini selepas mengetahui hasil pulangan yang bakal diperoleh.

“Kawasan terbabit adalah Kampung Simpang Datai dan Kampung Ewa dengan keluasan projek 34.3307 hektar dan anggara pengeluaran 60 metrik tan bagi tahun ini,” katanya. Beliau berkata, harga ladang bagi Gred A yang ditawarkan oleh Fama ialah RM1.80 dan RM1.60 untuk Gred B. “Pasaran mangga ini meliputi seluruh negara dan akan dieksport ke negara luar atas permintaan memandangkan kualiti buah yang dihasilkan menepati spesifikasi pengimportan.

“Dengan bertambahnya jumlah penyertaan, peningkatan pengeluaran mangga ini akan lebih efektif dan sumber pembekalan tidak akan putus," katanya. Menurutnya. Fama telah membeli sebanyak RM184,850.80 mulai tahun 2007 dengan kuantiti 106,674 kilogram.

Majlis turut dihadiri oleh Ahli Dewan Undangan Ayer Hangat (ADUN), Mohd Rawi Abd Hamid; Pengarah Kanan Komunikasi Korporat Fama Ibu Pejabat, Noor Azian Mustapha; Pengarah Fama Wilayah Utara, Mohd Ariffin Awang dan Pengarah Fama Kedah, Wan Abdulllah Wan Chik.
Sumber Berita : Sinar Harian 18/5/09

No comments:

Post a Comment