Pages

Sunday, July 19, 2009

D’Bendang erat hubungan keluarga ~ Chenang

PANTAI CHENANG - Karnival yang julung kalinya diadakan di Laman Padi sejak beroperasi pada 1998 di atas tanah seluas 14.28 ekar yang dibina oleh Lembaga Pembangunan Langkawi (Lada) berjaya menarik kira-kira 1,000 pengunjung.

Pengarah penganjur karnival itu, Aziz Desa berkata, sasaran awal pengunjung adalah seramai 800 orang tetapi dalam dua hari pertama, karnival ini menerima hampir 900 pengunjung sejak dari pagi. Menurutnya, ini adalah karnival yang pertama dan dianggap berjaya, malah karnival seperti ini akan dijadikan acara tahunan kerana mendapat sambutan di luar jangkaan.

“Pelbagai aktiviti dilakukan antaranya menangkap ikan dengan tangan, bola bendang, membuat orang-orangan, demonstrasi kuih berasaskan beras dan teknik bersawah. “Program ini adalah bagi memperkenalkan aktiviti tradisional kepada generasi muda dan moden yang tidak pernah mereka lalui,” katanya ketika ditemui di tapak Karnival D’Bendang di Laman Padi, Pantai Chenang.

Aziz berkata, selain daripada program itu terdapat juga program lain seperti Forum Anak Cemerlang yang membincangkan perihal kanak-kanak antara pihak sekolah dan waris serta panel penceramah profesional. Menurutnya, karnival itu turut diselitkan dengan program pendidikan dan mengeratkan keluarga dengan tema ‘Terima Kasih Cikgu & Jom Berkelah D’Bendang’.

“Program ini memberi impak yang tinggi dalam mengeratkan hubungan kasih-sayang antara keluarga yang semakin terhakis,” katanya. Beliau berkata, gerai jualan yang menjual produk barangan tempatan Langkawi juga dipasarkan dalam memperkenalkannya kepada umum.

“Kami sasarkan lebih daripada RM50,000 aktiviti jualan dapat dikutip dalam tiga hari penganjuran karnival. Biarpun ini adalah percubaan kali pertama tetapi kami yakin dengan adanya program lain seperti hiburan ianya mampu menggamit pelancong asing dan penduduk sekitar Langkawi untuk turut serta,” katanya.

Sinar Harian 19/7/09

No comments:

Post a Comment