Pages

Saturday, July 11, 2009

Juara tilawah KPM ke peringkat kebangsaan

KUAH - Qari dan qariah yang menjuarai pertandingan Tilawah Al-Quran Warga Pendidik Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) Peringkat Negeri Kedah 2009 bakal mewakili negeri itu ke peringkat kebangsaan.

Qari dari Pendang, Tarmizi Mustafa, 35, yang juga guru agama di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lubuk Merbau mengekalkan kejuaraan kali kedua selepas memperoleh markah keseluruhan 85 peratus mengatasi lapan qari lain. Menurutnya, mengajar guru dan kanak-kanak membuatkan dirinya mahir dalam menguasai ilmu tilawah yang memerlukan pelbagai kriteria.

“Saya menerima ramai kunjungan guru dan kanak-kanak datang mengaji selain yang berhasrat menguasai ilmu fardu ain. “Dalam pertandingan tilawah ini penguasaan seperti tajwid, teranum dan fasohah dinilai sebagai permarkahan,” katanya ketika ditemui selepas majlis tersebut yang diadakan di Akademi Koreksional Malaysia, di sini.

Turut hadir pada majlis itu, Timbalan Pengarah Pelajaran Negeri kedah, Abdullah Saad, Ketua Sektor Pendidikan Islam dari Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Zainab Md Saman dan Pegawai Pelajaran Daerah Langkawi, Aziz Ahmad.

Seramai 14 peserta dari tujuh daerah memperdengarkan bacaan masing-masing dengan pecahan lapan qari dan tujuh qariah yang terdiri daripada wakil Langkawi, Kota Setar, Kulim Bandar Baru, Pendang, Kuala Muda/Yan, Padang Terap dan Baling/Sik.

Sementara itu bagi juara qariah, Wan Marzian Mad Deli, 29, yang berjaya menewaskan peserta lain dengan memperoleh 86 peratus pemarkahan, penyertaannya buat kali kelima ini membuatkan dirinya bersemangat dan yakin untuk mengekalkan kejuaraan. Dia yang juga ustazah di Kolej Maktab Changlon berkata, ibunya merupakan idola yang mencetus semangat kepadanya untuk merangkul kejayaan.

“Ibu saya, Che Zaiton Latef juga merupakan seorang qariah yang pernah mewakili negeri Perak dan juga johan qariah peringkat kebangsaan. Semangat yang ibu tanamkan di dalam diri saya sentiasa membuahkan kejayaan serta menjadi peniup semangat bagi diri saya," katanya.

Sinar Harian 10/7/09

No comments:

Post a Comment