Kepelbagaian produk pelancongan, aktiviti tarikan Langkawi
SERING kali membeli-belah dan bersantai di pantai menjadi fokus utama bila berkunjung di Langkawi. Bagai sudah menjadi rutin atau aktiviti wajib sedangkan banyak kegiatan lain boleh dilakukan di pulau lagenda ini tanpa perlu membabitkan kos tinggi.
Antara kegiatan yang boleh dilakukan di pulau peranginan ini ialah mengenali lebih dekat kehidupan harian masyarakat tempatan dan menikmati kekayaan alam semula jadi yang masih terpelihara.
Jika anda teringin melakukannya, Mutiara Burau Bay antara resort di Langkawi yang menyediakan peluang ini melalui pakej baru yang diperkenalkan kepada media, baru-baru ini.
Antara aktiviti menarik dalam pakej istimewa ini ialah Explore Race yang membawa pengunjung mendalami kehidupan seharian penduduk kampung seperti menanam padi, menjala ikan dan sebagainya.
Ikuti percutian singkat dua hari satu malam di pulau kelahiran Mahsuri ini...
WAKIL media cuba menimba air di perigi Mahsuri. |
Rabu
9.20 pagi : Titis hujan menyambut kedatangan kumpulan media sebaik turun dari kapal terbang. Selepas mengambil bagasi, kami dibawa menaiki bas pelancongan menuju Mutiara Burau Bay Beach Resort. Rintik hujan bagaimanapun terhenti menjadikan perjalanan kami lancar.
Terletak di Pantai Kok, perjalanan mengambil masa 15 minit dari lapangan terbang. Tenang dan menyamankan, fikiran mulai terasa lapang tatkala bas melepasi hutan dan bukit menghijau.
9.35 pagi : Ketibaan kami disambut meriah dengan permaidani merah diiringi paluan kompang. Setiap tetamu diberikan bunga telur serta minuman koktel sejuk sebagai ucapan selamat datang.
MAKAM Mahsuri menyambut kedatangan tetamu di Perkampungan Mahsuri. |
Kedatangan kami dialu-alukan Pengarah Jualan, Dev Singh. Secara berseloroh, katanya, kedatangan kami membawa tuah kepada bumi Langkawi yang sebelum ini panas terik. Kebetulan cuaca masih mendung dengan suhu sekitar 29 darjah selsius.
10.30 pagi : Kami di bawa ke bilik penginapan yang berbentuk chalet berinspirasi rumah nelayan Langkawi. Bilik superior cabana dengan dua katil dilengkapi anjung serta bilik mandi dan tandas menghadap Spa Ayer yang berkonsep terbuka.
Diselubungi kehijauan semula jadi, rasa letih selepas bangun dari tidur dan bergegas ke lapangan terbang awal pagi, hilang begitu saja.
Kira-kira lima meter, mata dihidang keindahan pantai yang putih bersih dengan air laut jernih bak kristal. Deruan ombak jelas kedengaran, mengasyikkan diri yang sempat duduk bersantai di anjung melepaskan lelah.
11 pagi : Semua anggota media berkumpul di Dewan Impian yang terletak bersebelahan Seri Mutiara Restaurant and Terrace serta lobi utama. Dewan ini boleh memuatkan 120 tetamu dan lebih menarik, boleh dibahagikan kepada dua bilik kecil. Setiap bilik mampu memuatkan antara 50 hingga 70 tetamu. Kemudahan ini sesuai dijadikan tempat acara eksklusif seperti seminar, kem motivasi dan majlis rasmi.
Taklimat ringkas disampaikan Dev Singh dan Pengarah Langkawi Development Authority (Lada), Tuan Azman Umar mengenai pembangunan Langkawi.
12.30 tengah hari : Kami dibawa melawat sekitar resort oleh Dev Singh sebelum menikmati jamuan makan tengah hari di Seri Mutiara Restaurant and Terrace. Restoran ini menyediakan hidangan tempatan dan antara bangsa, selera bertambah dengan pemandangan indah yang menghadap kolam renang dan pantai.
2 petang : Berangkat ke Perkampungan Mahsuri yang sebelum ini dikenali sebagai Makam Mahsuri. Lebih sedekad tidak mengunjungi Makam Mahsuri, penulis kagum dengan perubahannya.
Antara yang menarik, pengunjung berpeluang meninjau sejarah Mahsuri yang dipaparkan di muzium mini sambil menonton dokumentari mengenainya di panggung mini.
Pengunjung juga dihidangkan dengan teater Mahsuri yang cukup menyayat hati. Selesai menonton, kami mengunjungi rumah Kedah yang dibina mengikut konsep rumah tradisional masyarakat setempat.
5.30 petang : Ke Pekan Kuah untuk membeli belah. Di Langkawi, hanya empat produk bebas cukai iaitu coklat, rokok, kain batik dan pinggan mangkuk. Bagaimanapun, penulis lebih gemar membeli kain batik selain ikan bilis kerana murah dan lebih segar berbanding di Kuala Lumpur.
8 malam : Kami menikmati makan malam di Perdana Quay atau Telaga Harbour yang terletak tidak jauh dari Mutiara Burau Bay. Waktu malam memang indah dengan lampu berwarna warni berlatar berlatar belakang kapal layar yang berlabuh di teluk kecil Pantai Kok.
Enam deretan restoran antarabangsa seperti Tapas, Mare Blu, Harbour Steakhouse, USSR, The Loaf (dimiliki mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad) dan Pulau-Pulau Seafood boleh menjadi pilihan. Kami dihidang dengan pelbagai sampel makanan dari enam restoran ini.
11 malam : Kami pulang ke Mutiara Burau Bay untuk berehat secukupnya kerana esok tugasan lebih berat menanti.
Khamis
6 pagi : Bangun awal untuk menikmati keindahan matahari terbit serta kedinginan pagi. Kicauan burung cukup menyamankan sesekali geekok (cicak besar iaitu sejenis haiwan semula jadi Langkawi) melintas di depan mata. Cicak yang mengeluarkan bunyi unik ini tidak mengganggu orang walaupun rupanya agak menakutkan, merangkak dan memanjat dinding.
9 pagi : Bersedia untuk menyertai program Explore Race. Lima kumpulan dibahagikan dengan setiap pasukan disertai empat ahli. Kami diberi tugasan yang memerlukan kami mengelilingi Langkawi. Bermula dengan mencari nama saintifik batu di Oriental Village, kami bergegas ke Tanjung Rhu untuk menjala ikan.
Nampak saja mudah tetapi menjala ikan memerlukan teknik namun penulis berjaya menangkap ikan kayu yang bersaiz enam sentimeter selepas setengah jam menebar jala.
10 pagi : Seterusnya, kumpulan kami yang dikenali sebagai Pulau Dua menuju ke pusat peranginan Air Terjun Durian Perangin. Sampai di sini, kami ditugaskan makan sampai habis semangkuk kecil kerabu beronok (sejenis hidupan laut yang banyak didapati di perairan Langkawi dengan rasa pedas dan masin). Selepas itu, kami berhempas pulas membelah dua kelapa muda serta perlu meneguk air dan memakan isinya sampai habis.
10.30 pagi : Enam soalan berkisar hadiah yang diterima Dr Mahathir dari pelbagai pemimpin seluruh dunia perlu diselesaikan di Galeria Perdana. Pelbagai hadiah seperti keris, tembikar, lukisan hinggalah kereta ditempatkan di sini. Pendek kata, tidak cukup sehari menatap semua barangan menarik di galeri ini.
11.30 pagi : Kami tiba di Dataran Lang dan menjerit sekuat hati slogan ‘Langkawi Geopark Pusat Tarikan Pelancong’ untuk menarik perhatian individu yang memegang pembayang seterusnya. Seorang lelaki melambai dari balik arca burung lang yang besar dan menyerahkan sekeping puzzle untuk disusun semula.
Kami berjaya menyelesaikan puzzle berbentuk Ultraman dalam masa beberapa minit dan bergegas meninggalkan kumpulan Pulau Kaca yang mula-mula tiba untuk pergi ke destinasi seterusnya.
11.45 pagi : Kami menuju ke arah selatan untuk mencari restoran dengan dua ekor udang besar di pintu gerbang sebagai pembayang di Jalan Bukit Malut. Tiba di restoran yang dikenali sebagai Shrimpz, kami mencari individu diberi nama Cik Siti yang memegang pembayang seterusnya.
Sebelum menyerahkan pembayang seterusnya, kami perlu menangkap dua ekor udang jantan dan betina. Shrimpz bukan saja menyediakan hidangan berasaskan udang tetapi juga ladang penternakan udang terbesar di Langkawi.
12 tengah hari : Tidak sukar mencari rumah Tok Mi yang terletak di Kampung Chandek Kura. Nampaknya kami kumpulan pertama tiba di rumah Tok Mi yang sedang menanti dengan deretan kelapa tua dan alat memarut kelapa tradisional, kukur kelapa.
Seperti dijangka, kami diarahkan mengupas dua kelapa tua, membelah dan kukur isi kelapa. Mengupas kelapa tua memerlukan kemahiran kerana ia tidak semudah dilihat. Begitu juga dengan memarut kelapa menggunakan kukur yang boleh mencederakan jari jika salah teknik.
Ketika hampir meninggalkan rumah Tok Mi, kumpulan Pulau Payar tiba.
12.45 tengah hari : Laman Padi menjadi destinasi seterusnya. Melepasi Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi melalui Jalan Kedawang dan Persisir Pantai Cenang, kami mencari Ismail. Kami ditugaskan mencabut anak padi dan menyemainya semula di petak lain.
Pada masa sama, kami juga perlu menangkap lima ekor ikan di kolam bersebelahan. Pengalaman menanam padi memang menyeronokkan walaupun bimbang jika ada lintah melekat di kaki.
Separuh daripada pakaian kami dibasahi lumpur tetapi ia cukup menyeronokkan. Laman Padi memberikan peluang kepada orang ramai mencuba menanam padi dan menangkap ikan mengguna lukah. Selesai tugasan, kami diberi pembayang seterusnya iaitu bertemu dengan Chef Asri di Mutiara Burau Bay.
1.30 petang : Kami menyusuri Jalan Pantai Cenang menuju arah timur untuk sampai ke Mutiara Burau Bay. Walaupun risau dengan tugasan seterusnya, kami lega kerana mendahului kumpulan lain yang jauh ketinggalan.
Kami memandu perlahan sambil menikmati pemandangan menghijau dan pesisiran pantai yang indah. Chef Asri sudah menunggu di lobi semasa kami tiba. Selepas meminta kertas yang memaparkan nama kumpulan kami pada cermin kereta, Chef Asri mengumumkan kami kumpulan pertama tiba dan berjaya menamatkan perlumbaan. Ini bermakna, kamilah juara!
5 petang : Menikmati cuaca petang yang redup sambil berenang di dalam laut yang jernih bak kristal. Ramai pelancong Barat berehat di tepi pantai sambil membaca di bawah pohon kelapa atau berendam dalam laut.
8 malam : Kami berkumpul di Seashell Beach Cafe untuk makan malam yang bertemakan Hawaii. Asyik dibelai bayu laut dengan alunan muzik dari band menimbulkan suasana romantik. Sesekali pasangan pelancong Barat menari apabila irama romantik mahupun rancak bergema. Malam kian larut.
Inilah malam terakhir di pulau magis ini. Penulis kembali ke bilik dan hati berat meninggalkan Langkawi yang membawa pengalaman baru dalam hidup.
No comments:
Post a Comment