Pages

Friday, October 23, 2009

Hutang tidak di tahap kritikal ~ Jawapan / Soalan MP Langkawi

KUALA LUMPUR 22 Okt. - Sebanyak 11.1 juta kad kredit dikeluarkan bank-bank konvensional, institusi perbankan Islam, institusi kewangan pembangunan dan institusi bukan bank sehingga Ogos 2009.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, daripada jumlah tersebut, 10.11 juta dikeluarkan bank konversional manakala institusi perbankan Islam (450,000) serta institusi kewangan pembangunan dan institusi bukan bank (450,000).

Secara keseluruhan, jelasnya, tahap penggunaan kad kredit adalah terkawal walaupun penggunaannya sebagai instrumen pembayaran semakin meningkat.

"Hutang melalui penggunaan kad kredit juga tidak berada pada tahap yang kritikal," katanya dalam jawapan bertulis kepada Datuk Abu Bakar Taib (BN-Langkawi) pada Sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.

Najib yang juga Menteri Kewangan menambah, sehingga Ogos 2009, jumlah hutang terkumpul kad kredit hanya merangkumi 3.4 peratus daripada jumlah pembiayaan keseluruhan institusi perbankan.

Menurut beliau, tahap pinjaman tak berbayar kad kredit juga masih terkawal dan menurun kepada 2.4 peratus berbanding 16.1 peratus pada tahun 1998, iaitu ketika krisis kewangan serantau.

Beliau berkata, individu yang muflis disebabkan hutang kad kredit pula merangkumi kurang 0.04 peratus daripada jumlah keseluruhan pemegang kad kredit utama pada tiga tahun lalu.
Sementara itu, Perdana Menteri menjelaskan, Bank Negara Malaysia (BNM) sentiasa memantau penggunaan kad kredit dari semasa ke semasa bagi memastikan para pemegang menggunakan instrumen pembayaran secara berhemat.

"Bagi tujuan itu juga, Bank Negara telah menubuhkan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) untuk menyediakan perkhidmatan pengurusan kewangan, kaunseling kredit, pendidikan kewangan, dan penyusunan semula pinjaman," katanya.

Utusan Bernama

No comments:

Post a Comment