Pages

Wednesday, December 16, 2009

Gembira dapat bantuan persekolahan

KUAH - Keceriaan anak yatim dan keluarga daif memilih pakaian dan peralatan sekolah bagi musim baru persekolahan 2010 terpancar pada setiap wajah mereka. Seramai 200 kanak-kanak bersama waris masing-masing sibuk memilih baju, kain tudung dan kasut serta beg di salah sebuah pusat beli belah di Kuah. Program ‘Jom Pi Sekolah’ anjuran Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Langkawi itu melibatkan 30 cawangan Puteri dengan masing-masing menerima RM70 seorang.

Ketua Puteri UMNO Langkawi, Hisham Suhaily Othman, berkata, program ini adalah agenda tahunan yang dilakukan sejak tiga tahun lalu. “Kami memperuntukkan RM15,000 untuk program ini bagi meringankan beban ibu atau bapa tunggal serta keluarga daif di sekitar Langkawi. “Ini menunjukkan kami amat menitik beratkan soal pendidikan walaupun mereka tidak berkemampuan kerana kemiskinan bukan lagi alasan untuk mereka tidak menghantar anak ke sekolah,” katanya ketika ditemui di Kuah. Hisyam berkata, baucar RM70 yang diberikan membolehkan mereka memilih sama ada sepersalinan pakaian sekolah, beg atau peralatan pembelajaran. Menurutnya, antara cawangan yang terlibat adalah Selat Lubuk Chempedak, Chandek Kura, Kampung Belak, Bukit Tangga dan dua sekolah angkat Puteri iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Temoyong dan SK Sungai Menghulu.

“Program komuniti ini turut dilakukan setiap kali musim perayaan seperti Aidilfitri dan jumlah peruntukan juga meningkat setiap tahun,” katanya. Bagi adik Muhammad Zul Helmi Awang kadir, 10, ini adalah pengalaman pertama membeli belah bersama rakan yang senasib dengannya. Menurutnya, dia bergelar anak yatim sejak Ogos lalu selepas kematian ayahnya, namun itu bukan penghalang untuknya meneruskan persekolahan. Murid SK Temoyong yang bercita-cita bergelar juruterbang itu kini tinggal bersama ibunya di Kampung Temoyong.

“Dahulu saya akan bersama ayah untuk membeli kelengkapan sekolah, kini semuanya ditaja orang, bila terkenangkan ayah saya berasa sedih. “Tetapi ayah sentiasa berpesan supaya menjaga adik dan ibu malah sentiasa mementingkan pelajaran kerana itu adalah kunci kejayaan,” katanya yang sedang mencuba kasut. Berbeza bagi Hatun Ismail, 61, dari Kedawang, dia terpaksa menjaga tiga cucu selepas mereka bergelar anak yatim piatu. Menurutnya, bantuan yang diberikan ini sungguh bermakna malah meringankan beban buatnya yang tidak bekerja. “Alhamdulillah, tahun ini cucu saya dapat bantuan, duit yang ada dapatlah disimpan untuk kegunaan persekolahannya yang lain,” katanya. Cucunya, Mohd Mukimin Fadzin, 7, akan memulakan dan pengalaman baru persekolahan darjah satu di SK Temoyong.

“Saya tidak sabar untuk mengenakan pakaian dan beg baru ini, saya akan belajar bersungguh-sungguh untuk mencapai cita-cita sebagai doktor,” katanya. Turut serta pada program itu adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Hangat, Mohd Rawi Hamid dan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Langkawi, Mansor Bahari.

Sinar Harian

Anaklangkawi :-
Alhamdulillah. Di alu-alukn program seperti ini. Lagi byk lagi baguih.. Parti lain mcmana?

3 comments:

  1. as salam, terima kasih atas 'link anda.. bagaimanapun perlu 're link' sebab wrong connection.

    ReplyDelete
  2. blog nora fuad tidak boleh di'add' tetapi saya dah link kan blog dimensi cinta

    ReplyDelete