Pages

Wednesday, January 6, 2010

Jalin kemesraan di Rebak Island ~ Hotel Langkawi

Berita Harian
BROADWALK yang suatu ketika dulu pernah dijadikan sebagai lobi tetapi kini berfungsi sebagai tempat rekreasi sukan dan tarian. Keindahan alam semesta eratkan hubungan kekeluargaan

MELUANGKAN masa dan menikmati percutian indah di pulau kecil bersama orang yang disayangi, tanpa gangguan luar yang membingitkan suasana dapat membantu mengeratkan hubungan.

Namun, lebih bermakna jika mampu membayar lebih untuk percutian bertaraf lima bintang dengan suasana tepi pantai dan pada masa sama kawasannya dipenuhi panorama alam semula jadi yang memberikan ketenangan jiwa serta minda.

Menikmati suasana itu, Rebak Island Resort-A Taj Hotel (Rebak Island) adalah antara pilihan tepat bagi mendapatkan percutian yang mendamaikan. Pakej lengkap disediakan bukan saja menjadikan impian menjadi realiti, tetapi memberi kepuasan maksimum.

Perasaan tenteram dan damai dapat dikecapi sepenuhnya kerana bermula daripada lobi utama hinggalah bilik tempat penginapan, restoran dan spa semuanya menyuntikkan kesegaran serta keasyikan. Dengan konsep bermotifkan kayu dan tradisional kontemporari, menambahkan lagi gaya santai yang menyenangkan hati.

Terletak di antara 99 pulau kecil di sekitar Pulau Langkawi, Rebak Island dikelilingi pasir putih yang indah dengan pemandangan pelabuhan laut Senari bersempadan dengan laut Selat Andaman.
SUSUN atur ruang dalam villa demi memberi keselesaan dan tetamu pasti teruja dengan hiasan dalamannya.

Suatu ketika dulu ia dikenali Rebak Marina Resort dan menariknya mengenai resort itu ialah kawasan sekitar keindahan semula jadinya yang dikelilingi hutan hujan dengan landskap sangat cantik.

Pengarah Urusannya, Samir Khanna, berkata Rebak Island mempunyai 82 bilik pelbagai jenis, saiz dan keistimewaannya. Terdapat tiga jenis penginapan iaitu pandangan ke arah pantai terdiri daripada Deluxe dan Superior Sea View serta Deluxe Villa dengan satu bilik.

“Masing-masing mempunyai keunikan dan kelebihan tersendiri kerana kita mahu tetamu menikmati keindahan alam semesta di sekitar kawasan. Hiasan dalaman yang kemas, cantik diperbuat daripada perabot kayu demi keselesaan tetamu dan kepuasan mereka.

“Lengkap untuk keperluan harian, hotel satu tingkat itu dalam setiap bilik, antara lain terdapat bilik tidak merokok, pendingin hawa, jubah mandi, pengering rambut, seterika, meja makan dan televisyen bagaikan tinggal di rumah eksklusif,
” katanya ketika ditemui di resort berkenaan, baru-baru ini.

TEMPAT penginapan villa dua tingkat di Rebak Island memukau pandangan dengan konsep kayu ala tradisional. Penulis menyertai lawatan ke pulau indah itu selama tiga hari dua malam mendapati, semua kakitangan Rebak Island sangat peramah dan sentiasa tersenyum. Bermula dari pengemudi feri hinggalah penyambut tetamu, pengemas bilik, pekerja pembersihan dan kakitangan restoran, mereka sangat membantu dan sering bertegur sapa antara satu sama lain.

Jarak perjalanan Rebak Island dari pusat bandar hanya sejauh 22 kilometer sementara 5.5 kilometer dari Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi. Resort lima bintang itu tidak terlalu besar dan juga tidak terlalu kecil dengan keluasan 390 hektar di tepian pantai terpencil itu dan menariknya, resort berkenaan mampu menawarkan keselesaan dan kemewahan.

Memandangkan resort berkenaan terletak di pulau kecil, pengunjung perlu mengambil feri sebagai pengangkutan terakhir ke destinasi selama 15 minit dari jeti Port Langkasuka.

Sebaik feri tiba di pelabuhannya, pengunjung pasti teruja apabila melihat banyak kapal layar milik persendirian yang ditempatkan di ruang teluk pelabuhan pulau berkenaan. Pelbagai saiz, jenama, rekaan kapal layar eksklusif tersusun cantik milik pengunjung, pedagang dan tetamu yang hadir ke Rebak Island.

Samir berkata, laluan masuk dari pelabuhan kapal juga sudah mampu menarik perhatian apabila buggy sudah tersedia menyambut kehadiran tetamu. Sebelum sampai ke lobi utama, pengunjung akan dibawa ke Boardwalk iaitu lokasi di mana pernah dijadikan lobi sebelum ini. Boardwalk berkenaan kini menjadi pusat rehat, permainan dan pusat aktiviti tarian yang disediakan setiap petang.

Selain itu, katanya, bagi memperkenalkan tempat dan kemudahan yang ada di Broadwalk pengunjung boleh mendapatkan barangan keperluan peribadi di sana selain mencuba tarian tradisional dan moden seperti cha-cha dan pocho-pocho di depan ruang masuknya.
“Keluasan yang terhad tidak menghalang kami untuk menampung keperluan asas pengunjung untuk berseronok bersama pasangan dan keluarga. Antara kemudahan lain yang disediakan ialah kolam renang, pusat jagaan anak, perkhidmatan dobi dan cucian kering dan pusat perniagaan.

“Memahami pengunjung terdiri dari pelancong asing dan memerlukan komunikasi luar menerusi internet, perkhidmatan WiFi serta bilik mesyuarat turut disediakan. Selain itu, pelbagai kemudahan lain untuk aktiviti sukan rekreasi boleh disertai antaranya gelanggang tenis, kolam renang luar, sukan air tidak bermotor, motosikal ATV dan gimnasium. Melengkapi percutian, pengunjung yang sudah penat menyertai pelbagai aktiviti, bolehlah memanjakan diri di Ulik Mayang Spa,” katanya.

INFO:
Rebak Island Resort
Lokasi: Kuah Langkawi Kedah Darul Aman
Telefon: 04-9665566
email: rmresv.malaysia@tajhotels.com atau reservations@tajhotels.com.

No comments:

Post a Comment