Pages

Tuesday, January 26, 2010

Om tanggung kesan tragedi 11 September

KUAH Sinar Harian - Tragedi 11 September 2001 mengingatkan seluruh masyarakat dunia mengenai pengeboman terhadap World Trade Center (WTC) di bandar raya New York, Amerika Syarikat. Kesedihan mengingati tarikh itu turut dirasai bagi seorang wanita, Om Abdullah, 40, apabila dia mendapat gelaran ibu tunggal pada tarikh yang sama pada 2007. Om berkata, sejak kematian suaminya, Abdul Halim Mustaffa pada usia 62 tahun, seluruh hidupnya bertambah perit apabila terpaksa membesarkan dua anaknya, Muhammad Shahril, 14, dan Muhammad Shahrol, 13.

“Saya tidak berpendidikan dan hanya bekerja apa yang ditawarkan asalkan dapat gaji dan boleh biayai keperluan keluarga. “Keadaan rumah juga usang dan tahap pendidikan anak-anak sederhana kerana saya tidak berapa faham mengenai pendidikan anak,” katanya ketika ditemui di Kampung Lubuk Buaya, Temoyong, Kedawang. Bagi jirannya, Abidah Rashid, 54, dia sering membantu mengemas rumah dan memberi beberapa lauk kepada keluarga itu. Abidah berkata, untuk membantu sepenuhnya, dia tidak mampu namun sekiranya ada rezeki lebih, dia sering menghantar makanan dan sayuran ke rumah rakan baiknya itu. “Dia ni lurus, kami kesian melihat nasib keluarganya itu seolah-olah terbuang daripada keluarga. “Tetapi keprihatinan penduduk setempat melayakkan dia mendapat bantuan daripada JKM setiap bulan,” katanya.

Dalam menangani masalah kemiskinan ini, masyarakat sering menuding jari terhadap peranan JKM. Ketika melakukan lawatan ke rumah Om, kelihatan empat wakil JKM termasuk seorang sukarelawan turut membantu mengemas kawasan rumah ibu tunggal itu. Penolong Pegawai JKM daerah Langkawi, Noor Liza Azizool berkata, keluarga ini pada mulanya mendapat Bantuan Kanak-kanak (BKK) RM100 setiap seorang. Menurutnya, kini selepas meninjau semula keadaan keluarga itu, JKM akan menukar skim yang bersesuaian atau elaun bulanan dinaikkan kepada RM150 seorang.

“JKM hanya berhak memberi elaun mengikut kesesuaian dan paling maksimum adalah RM450 bagi setiap rumah, tidak kira mereka mempunyai lebih dari lima anak. “Masyarakat perlu faham mengenai keadaan ini, kerana sejak belakangan ini banyak berlaku pertindihan maklumat mengenai isi rumah dan kami terpaksa melakukannya kajian semula,” katanya.

Selain JKM, Pergerakan Pemuda UMNO Langkawi turut mengenal pasti penduduk miskin sekitar Langkawi untuk mendapat pembelaan. Ketuanya, Norsaidi Nanyan berkata, sejak awal Januari 2010 sebanyak lima kes dikenal pasti bagi mendapat bantuan daripada JKM dan beberapa pihak lain melalui program Pemuda Prihatin. Menurutnya, program ini telah dimulakan sejak tahun lalu dan akan diperhebat mulai tahun ini secara berterusan dengan kerjasama Puteri dan Wanita UMNO Bahagian.

“Kami mempunyai 14 zon di seluruh Langkawi dan program ini digerakkan ketua Pemuda cawangan dan Jawatankuasa Kemajuan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP). “Selain mengenal pasti keluarga miskin, kami juga membantu membiayai yuran persekolahan, membeli keperluan sekolah dan menyelesaikan beberapa kes berkaitan pihak atasan,” katanya ketika ditemui. Norsaidi berkata, kami tidak mahu JKM dipersalahkan setiap kali media memaparkan kesusahan penduduk, perkara ini melibatkan semua pihak supaya lebih prihatin.

“Setakat ini hampir 80 peratus aduan rakyat dan rintihan penduduk miskin yang disuarakan kepada kami mendapat reaksi positif dari JKM dan semua aduan tidak diambil sepenuhnya, kami sendiri akan melihat dan mendekati masyarakat sebelum menyalurkan kesahihannya kepada JKM,” katanya.

Anaklangkawi:-
Tolonglah dgn ikhlas tanpa mengenal parti politik. INsyallah dibawa berkat dunia akhirat.

No comments:

Post a Comment