Pages

Wednesday, February 24, 2010

Langkawi perlukan sentuhan ~ Sinar Harian


LANGKAWI - Sejak kebelakangan ini, keindahan dan kecacatan Pulau Langkawi sering diperkatakan. Ada yang memuji dan tidak kurang juga yang mencaci malah melahirkan perasaan sedih. Pulau berusia lebih 500 juta tahun itu merupakan antara pulau yang tercantik di dunia. Setiap tahun, aura pulau itu mampu menggamit jutaan pelancong domestik dan antarabangsa untuk bertandang dan melihat sendiri keindahan tinggalan Mahsuri. Namun, saban tahun kecacatan dan palitan semakin menebal sehingga pulau ini kurang sentuhannya. Pulau Langkawi umpama rumah kedua buat bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan beliau sendiri menggesa supaya pembangunan Langkawi perlu diteruskan sebagai destinasi pelancongan terkemuka.

Sebanyak RM1.6 billion dilabur ke Langkawi sejak Lembaga Pembangunan Langkawi (Lada) ditubuhkan 1991 hingga kini dengan pelbagai projek membangunkan infrastruktur pelancongan ekonomi dan sosial Merungkai sejarah, jika dulu hanya pesawat ringan mendarat di landasan Langkawi, tapi kini pesawat seperti Airbus dapat mendarat apabila Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi dibina. Selain itu, Jeti Kuah diperbesarkan bagi menampung kapasiti penambahan penumpang, pembinaan rangkaian jalan raya, kompleks sukan bertaraf antarabangsa seperti kompleks Perahu Layar antara projek dibangunkan. Sebagai perancang pembangunan Langkawi, Tun Mahathir juga pencetus penganjuran acara antarabangsa seperti Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa (Lima) dan kejohanan lumba basikal Le Tour de Langkawi (LTdL) bagi tujuan mempromosi Langkawi di mata dunia. Sejak penganjurannya itu, Langkawi terus dikunjungi pelancong dalam dan luar negeri berdasar data kemasukan pelawat yang dikumpulkan Lada menunjukkan peningkatan seperti 2005 kehadiran pelancong 1.8 juta manakala 2.49 juta pada 2009.

“Saya melihat potensi Langkawi sebagai destinasi pelancongan menarik sejak bertugas sebagai doktor pada 1956,” kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. Bekas Perdana Menteri itu pernah berkata, masih ada ruang untuk membangunkan Langkawi dari segi mewujudkan peluang pekerjaan dan perniagaan termasuk cadangan pertukaran barangan di pelabuhan Teluk Ewa, Ayer Hangat. Menurutnya, terdapat banyak rumah daif pada masa lampau kini berubah kepada rumah-rumah batu dalam tempoh beberapa tahun, pembangunan ini sebahagian besarnya kerana Langkawi mempunyai kilang pengeluar simen di Teluk Ewa, Ayer Hangat. Ini merupakan sebahagian daripada pembangunan pesat yang dialami di Langkawi dan turut dirasai penduduk Langkawi.

Dr Mahathir berkata, dengan kehadiran pelancong ke Langkawi sebanyak dua juta orang setahun dan jika seorang membelanjakan RM500, hasil pendapatan yang boleh mencecah sehingga RM1 bilion itu akan dapat dimanfaatkan oleh mereka yang terbabit dalam industri pelancongan. Pengurus Besar Lada, Azman Umar, berkata, pembangunan Langkawi akan dilaksanakan berterusan dengan kerjasama penduduk Langkawi. Lada diperuntukkan sebanyak RM274 juta untuk melaksanakan pelbagai projek pelancongan dan infrastruktur di bawah Rancangan Malaysia ke-9, dari jumlah itu sebanyak RM137 juta dibelanjakan sehingga akhir Disember 2009. Beliau berkata, berlaku kelewatan beberapa projek yang dilaksanakan seperti menaik taraf Taman Lagenda, pembesaran jalan simpang lampu isyarat ke Taman Berlian, Jambatan Sungai Kuah adalah disebabkan masalah kontraktor.

Lada turut memohon peruntukan lebih RM100 juta untuk melaksanakan kebanyakan projek naik taraf di bawah Rancangan Malaysia ke-10. Beberapa projek baru termasuk menaik taraf Jalan Padang Matsirat, pembinaan benteng pemecah ombak, memperbaiki sistem perparitan dan pengindahan sungai serta pembangunan Pulau Tuba, katanya. Beliau turut berharap penyertaan sektor swasta akan turut membantu membangunkan Langkawi. Lada mengambil langkah termasuk memperhebat promosi dengan menyertai bersama Tourism Malaysia ke luar negeri untuk menarik ramai pelancong seperti Forum pelancongan Asean, ke Finland dan Denmark.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN )Kuah, Datuk Ir Nawawi Ahmad merangkap Ketua UMNO Bahagian Langkawi berharap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dapat meneruskan pembangunan pelancongan bagi meningkatkan kehadiran pelancong ke pulau peranginan itu. Beliau berkata, Perdana Menteri dan Pengurus Besar Lada, mampu melaksanakan tanggungjawab itu sebagai lonjakan baru dalam melihat Langkawi terus unggul seperti sebelum ini.


Dalam pertemuan dengan Najib di Langkawi baru-baru ini, Perdana Menteri turut mengumumkan peruntukan RM7 juta untuk membina Jeti nelayan Sungai Chenang, Kedawang. Ir Nawawi mengakui pembangunan Langkawi perlahan berbanding sebelum ini semasa Tun Mahathir jadi Perdana Menteri. Menurutnya, tiada acara bertaraf dunia berlangsung seperti LTdL atau Dialog Antarabangsa Langkawi (LID) sedangkan acara itu menggunakan nama Langkawi sebagai ‘tag line’. Beliau berharap sokongan padu dan campur tangan Najib dan Tun Mahathir mampu menarik ramai pelancong. Dengan adanya destinasi pelancongan bertaraf dunia, Langkawi mampu menggamit pelancong.

Jambatan gantung sepanjang 125 meter di puncak Gunung Machinchang, menerima purata kehadiran pengunjung kira-kira 2,000 orang sehari. Berada kira-kira 600 meter dari aras laut, jambatan yang `digantung’ pada tiang besi setinggi 82 meter itu kini muncul antara produk pelancongan pilihan pengunjung dari dalam dan luar negara. Underwater World Langkawi, memuatkan lebih 2,000 spesies ikan dan hidupan laut turut menjadi penyumbang penarik terhadap pelancongan di pulau bebas cukai ini. Tidak terhenti di situ, terdapat banyak gedung menjual barangan bebas cukai,minyak gamat,beberapa barangan berjenama boleh diperoleh di pulau ini.


Anaklangkawi :-

Berjuta2 LADA dapat peruntukan.. tapi adakah duit yg diterima nampak oleh penduduk Langkawi.. Macam takdak apa2 yg berlaku.. itu yg hakikatnya..
pihak kerajaan pusat perlu teliti projek & kos yg dilaksanakan oleh LADA & menilai adakah ia benar2 bermanfaat kpd penduduk & aktiviti pelancongan Langkawi.

p/s: apa jadi dgn feri LAda?

No comments:

Post a Comment