Pages

Monday, April 26, 2010

Segalanya lengkap di The Lanai Langkawi

KEISTIMEWAAN Pulau Langkawi sebagai destinasi pelancongan utama di negara ini bukan hanya pada keindahan alam semula jadinya malah lengkap dengan semua jenis tarikan. Keunikan bentuk muka bumi di darat dan laut, pusat membeli-belah bebas cukai hinggalah aktiviti sukan air dan rekreasi darat, semuanya tersedia untuk dinikmati.
Kenangan percutian di pulau lagenda Mahsuri itu pasti akan lebih manis sekiranya mendapat penginapan yang memenuhi kehendak dan cita rasa.

The Lanai Beach Resort Langkawi (Lanai) adalah antara nama yang sering dicadangkan terutama bagi yang mencari penginapan tepi pantai jauh daripada kesibukan di pulau yang semakin pesat membangun itu.
Berbeza dengan penginapan kos sederhana lain, resort tiga bintang ini menjanjikan penginapan berteman desiran ombak. Sesuai untuk mereka yang ingin meluangkan masa bersama ahli keluarga dan rakan-rakan.

Resort tepi laut yang mengadap Selat Melaka ini terletak tidak jauh dari Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi. Dengan tambang kira-kira RM15, perjalanan menaiki teksi ke resort ini hanya memakan masa kira-kira 15 minit.
Lanai yang terletak di bahagian paling hujung Pantai Tengah menyediakan 100 bilik dan lapan buah vila. Lokasinya hanya kira-kira 50 meter dari pantai manakala di bahagian belakang tersergam bukit-bukau yang menyejukkan mata.
Bukan sahaja dikelilingi pemandangan alam semula jadi yang indah, suasana di dalam kawasan resort ini juga boleh mengatasi harga penginapan sederhana yang dibayar pelawat.
Bagi percutian keluarga, vila berkeluasan 700 kaki persegi mungkin menjadi pilihan paling berbaloi. Pada harga RM428 semalam, pelawat disediakan dua bilik tidur dengan satu katil besar dan dua katil bujang.

Untuk penginapan lebih kecil, bilik untuk dua orang pada harga RM268 sudah memadai. Tanpa hiasan kontemporari seperti di bilik hotel, bilik Lanai yang dilengkapi pendingin udara, televisyen dan cerek air yang berfungsi dengan baik sudah cukup selesa.
Nilai penginapan yang dibayar juga berbaloi dengan kebersihan bilik dan persekitaran yang sentiasa terjaga.
Satu kelengkapan yang tidak disediakan pada setiap bilik adalah peti keselamatan yang diperlukan oleh pelanggan untuk menyimpan barang-barang berharga. Untuk lebih selamat, penginap boleh menyerahkan barang berharga ke kaunter resort.
Bagi yang tidak turun ke pantai, sebuah kolam renang tersedia di tengah-tengah kawasan resort. Dengan saiz yang besar untuk menampung jumlah tetamu. Ia adalah tarikan paling utama di resort ini.

Peluang untuk berendam di dalam kolam sambil ditemani deruan ombak dari pantai dan hembusan bayu laut pastinya cukup menghiburkan terutama bagi keluarga bersama anak-anak kecil. Resort dengan hamparan pasir putih dan bersih itu juga menjadi lokasi yang baik untuk bermandi-manda. Meskipun tidak sepopular seperti Pantai Cenang, suasana tenang Pantai Tengah yang tidak terlalu sibuk dengan lintasan manusia boleh dianggap satu bonus bagi mereka yang menginap di resort ini. Ditambah dengan pemandangan matahari terbenam di hujung garisan laut pada lewat petang.

Selain keindahan yang mengelilingi tempat penginapan, kemesraan dan keramahan kakitangan resort yang tidak lokek dengan senyuman juga satu perkara yang memuaskan hati. Daripada pengemas bilik hinggalah ke petugas di kaunter pendaftaran semuanya sedia untuk membantu dan menyelesaikan masalah pelawat. Untuk memenuhi selera pelawat, Lanai menyediakan dua buah restoran iaitu Kafe Yan dan Bar Pantai yang menyediakan pelbagai menu dan cita rasa. Pada setiap pagi di Kafe Yan, pelbagai pilihan makanan ala Barat tersedia untuk sarapan pagi. Bukan sahaja kopi dan teh, jus oren dan mempelam segar juga dihidangkan.

Bagi memenuhi keperluan percutian, kaunter khas juga disediakan untuk membantu pelawat mendapatkan perkhidmatan teksi, sewa kenderaan, pakej snorkeling ke taman laut dan sebagainya. Dengan penginapan yang selesa seperti itu, percutian di Langkawi sudah semestinya menjadi pengalaman yang menarik untuk dikenang dan dikongsi.

Maklumat mengenai The Lanai Beach Resort Langkawi boleh diperoleh dengan melayari laman web http://www.lanaibeach.com.my/.

No comments:

Post a Comment