MELAKA, 6 Ogos (Bernama) -- Langkawi, yang terkenal sebagai destinasi pelancongan antarabangsa, menduduki tangga ke-19 daripada 21 buah destinasi pelancongan popular di seluruh dunia dalam aspek mengawal alam sekitar. Timbalan Menteri Pelancongan Datuk Dr James Dawos Mamit berkata kedudukan itu berdasarkan satu kajian kaji selidik oleh sebuah badan bebas dari Eropah. Hanya Pulau Langkawi merupakan destinasi pelancongan di Malaysia dalam kaji selidik itu yang turut menyenaraikan beberapa destinasi pelancongan popular di Asia.
"Laporan oleh badan itu yang diserahkan ke tangan saya baru-baru ini menyebut keindahan pulau itu tercemar oleh pantainya yang kotor kerana kesemua sisa kumbahan disalurkan ke laut," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Melaka Matta Fair 2010 di Dataran Pahlawan Melaka Megamall di sini petang Jumaat. Ia dirasmikan Ketua Menteri Datuk Mohd Ali Rustam. Dawos berkata beliau tidak mahu laporan itu akan mengakibatkan jumlah pelancongan asing ke pulau legenda itu berkurangan."Langkawi dilawati oleh ramai pelancong dari negara-negara Eropah dan kebanyakan pelancong ini sangat memberi perhatian kepada aspek kebersihan alam sekitar," katanya yang beberapa kali melawati pulau itu.
Beliau berkata pengalamannya melawat pulau itu kali terakhir pada Mei lepas juga mendapati hotel penginapannya mengabaikan aspek kebersihan alam sekitar kerana tidak merawat dengan sempurna air kumbahan ke saluran yang betul. Katanya kajian mengenai pencemaran Pulau Langkawi akan dipanjangkan kepada Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air untuk tindakan. Sehubungan itu, kementeriannya meminta Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di bawah kerajaan negeri supaya sentiasa mengawasi aspek kebersihan alam sekitar di kawasan-kawasan destinasi pelancongan.-- BERNAMA
AL : Ini merupakan isu yg sering kali kita cakap. Terutama aspek kebersihan langkawi & pengurusan alam sekitar. Komen demi komen sering diluahkan dalam suratkhabar tetapi kita masih tidak ambil peka terhadap isu alam sekitar.
Daripada LADA terlalu ghairah utk menambahkan infrastruktur, ada baiknya satu unit ditubuhkan utk memantau & menambah baik ranking pulau langkawi dlm aspek pengurusan alam sekitar. Mendapat 19 dr 26 adalah amat teruk sekali. Sepatutnya kita dapat dibawah 15 yg terbaik..
No comments:
Post a Comment