Pages

Wednesday, May 11, 2011

Taraf kewarganegaraan dinafi

KUAH - Seorang warganegara Thailand yang berkahwin dengan rakyat Malaysia terpaksa berulang-alik ke negaranya untuk memperbaharui visa sejak 25 tahun lalu.

Rosni Yudi, 47, merupakan rakyat Thailand yang berkahwin dengan rakyat tempatan, Ramli Ahmad dan telah menetap di Malaysia sejurus selepas perkahwinannya.

“Selepas berkahwin, saya berusaha mendapatkan taraf kewarganegaraan Malaysia tetapi gagal berbuat demikian sehinggalah suami saya meninggal beberapa tahun lalu.

“Pada permulaan kemasukan saya ke Malaysia, selepas berkahwin saya ada memohon kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk mendapat hak kerakyatan dan diberikan kad kuning (permit masuk),” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, walaupun telah menetap di sini selama 25 tahun tetapi dia masih gagal mendapatkan taraf penduduk tetap.

“Kesemua anak saya seramai lapan orang dilahirkan di Langkawi dan mempunyai kad pengenalan serta mendapat taraf kewarganegaraan yang sah,” katanya.

Rosni berkata, dia terpaksa berulang-alik dari Langkawi ke Thailand hampir setiap bulan untuk memperbaharui visanya sejak 25 tahun lalu dan ini merupakan sesuatu yang amat menyusahkan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Hangat, Rawi Abdul Hamid berkata, masih ramai penduduk Langkawi yang berkahwin dengan penduduk asing dan telah menetap di sini melebihi 20 tahun tetapi masih tidak mendapat taraf kewarganegaraan kerana kerenah birokrasi yang amat sulit.

“Saya memohon kepada JPN supaya dapat memudahkan proses permohonan untuk mendapatkan taraf kewarganegaraan kerana ia amat membebankan penduduk tempatan,” katanya.

Katanya, sehingga kini dia menerima hampir 200 permohonan untuk mendapatkan status kewarganegaraan yang disalurkan melalui pihak ADUN Ayer Hangat dan angka ini merupakan sesuatu yang amat besar dan membimbangkan.

“Sekiranya di Sabah, JPN boleh menubuhkan unit bergerak yang memasuki kawasan pendalaman untuk mendaftarkan penduduk-penduduk di sana.

“Jadi, kenapa JPN di sini tidak berusaha melakukan sesuatu untuk menyelesaikan masalah ini?,” katanya.

Sinar Harian

AL :-
Diharap pihak JPN bertindak. Bukan besaq pun Langkawi ni.. Cek cadang buatkan dgn JPN satu sesi terbuka dikelolakan oleh DUN Ayer Hangat dgn JPN.. Mintak bagitau semua kawasan DUN Ayer Hangat sapa2 xdak i.c datang dgn dokumen yg diperlukan..

No comments:

Post a Comment