Pages

Monday, December 28, 2009

Pelancong gesa tingkat perkhidmatan

Pulau peranginan Langkawi menerima kehadiran lebih dua juta pelancong setahun terutamanya ketika musim cuti persekolahan dan umum. Kepadatan mitos dan lagenda terhadap pulau bebas cukai ini menjadikan ianya tumpuan ramai terutama tarikan pantai dan beberapa destinasi menarik seperti kereta kabel di Gunung Matcinchang, Underwater World Langkawi, Kota Mahsuri dan lain-lain.

Tinjauan Sinar Harian mendapati beberapa rungutan disuarakan oleh pelancong domestik terhadap gambaran sebenar pulau ini. Rungutan terhadap ketepatan waktu perjalanan feri, kebersihan, lokasi pelancongan, kemudahan asas dan makanan menjadi perhatian utama.

Feri lewat

Waktu puncak seperti sekarang ini mengakibatkan kesesakan pelancong berpusu-pusu menggunakan perkhidmatan feri sebagai pengangkutan utama untuk keluar dan masuk ke Langkawi melalui Kuala Kedah, Kuala Perlis dan Pulau Pinang. Malah, ketika ini jugalah pelancong domestik dan antarabangsa memberikan nilai standard terhadap keupayaan pulau ini dan masyarakatnya pada semua jenis kemudahan yang disediakan. Bagi Muzamir Musa, 24, berkata, perkhidmatan feri selalu tidak mengikut masa, kadang kala lewat dan sebaliknya.

“Saya membawa kawan dari Kuala Lumpur untuk bercuti di sini, kami menggunakan perkhidmatan feri dari Langkawi ke Kuala Kedah, ada ketikanya jadual perkhidmatan feri tertunda sehingga 1 jam 55 minit seperti yang berlaku beberapa minggu lalu. “Perkara ini sedikit sebanyak memalukan kami penduduk Langkawi, ini membuatkan pelancong serik untuk datang ke sini dan menggunakan perkhidmatan feri,” katanya.

Muzamir berkata, perkara itusering berlaku dan diajukan kepada pihak pengusaha feri namun mereka sendiri tidak memberikan jawapan sewajarnya. Menurutnya, ia berlaku hanya ketika musim cuti sekolah sahaja, namun pada waktu lain turut terjadi perkara yang sama namun tidak begitu ketara.

Tandas kotor

Selain masalah pengangkutan, masalah tandas kotor juga diajukan kepada wakil Sinar Harian ketika membuat tinjauan. Rata-rata pelancong merungut terhadap tahap kebersihan tandas di beberapa tempat pelancongan di pulau ini. Tandas adalah satu-satunya pengukur terhadap tahap kebersihan keseluruhan sesebuah tempat pelancongan, malah orang ramai biasanya akan ‘singgah’ di situ.

Seorang pelancong, Zobaidah Dehudi, 56, berkata, tandas di destinasi kereta kabel di Oriental Village terlalu kotor dan sentiasa lembab. Menurutnya, bayaran yang dikenakan adalah 30 sen namun keadaannya kotor dan bau yang kurang menyenangkan. “Saya memasuki tandas di situ bersama seorang pelancong antarabangsa, namun melihat keadaan yang kotor pelancong tersebut merungut dan keadaan ini memalukan kami sebagai rakyat Malaysia. “Pihak bertanggungjawab sepatutnya membuat pemantauan setiap hari terhadap perkara ini kerana kereta kabel adalah destinasi utama pulau ini,” katanya. Zobaidah berkata dia menghabiskan tiga hari dua malam bersama lima anggota keluarga sempena cuti sekolah dan Krismas. Menurutnya, keindahan Langkawi masih menyengat sebagai destinasi percutian unggul terutama dengan pantai yang masih cantik dan bersih.

“Di Underwater World juga turut menggamit perhatian kerana kini terdapat lebih banyak spesies ikan dan semakin menarik,” katanya.

Makanan mahal

Ketika musim cuti ini, pengusaha restoran mengambil kesempatan menaikkan harga makanan dan rungutan ini juga turut dilontarkan kepada wakil Sinar Harian. Seorang pelancong, Mohd Anwar Ahmad, 55, dari Kuala Lumpur menyifatkan kos makanan paling mahal adalah di pulau ini berbanding di tempat lain. “Kami sekeluarga kerap melancong tetapi harga makanan paling mahal adalah di Langkawi dan harga tersebut tidak tetap dari satu restoran dengan yang lain.

“Nasi campur paling murah untuk seorang makan termasuk minuman adalah RM7 seorang, tetapi kualitinya tidak bersesuaian dengan kuantiti duit yang dibayar,” katanya. Tinjauan Sinar Harian ke beberapa restoran menyokong dakwaan itu apabila harga seketul ayam goreng berharga RM3 ke RM3.30 berbanding RM2.30 di Kuala Lumpur. Manakala sepinggan nasi putih adalah RM1.30 berbanding RM1 di beberapa tempat lain, harga itu jauh berbeza ketika bukan musim puncak.

Siapakah yang harus dipersalahkan dalam perkara ini? Jika perkara ini masih berterusan, maka ia akan menjejaskan industri pelancongan dan yang paling membimbangkan Langkawi mungkin akan kehilangan pelancong-pelancongnya yang dari dulu sentiasa menjadi sumber penggerak ekonomi.

Sinar Harian

3 comments:

  1. Walaupun terdapat 1001 macam punya cerita negatif mengenai industri pelancongan di Langkawi ini dengan 1001 macam punya komplen/komen dari pelancongan, setiap tahun rasanya statistik kedatangan pelancong ke Langkawi ini sentiasa meningkat.

    Jadinya, sebab itulah komplen. komen dan cerita negatif pasal pengalaman pahit bercuti di Langkawi hanya sampai ke perhentian terakhirnya iaitu BAKUL SAMPAH...

    Kah kah kah!!!...

    ReplyDelete
  2. :) kita sebagai warga langkawi perlu ambik iktibar.. & harapan agar pihak berwajib & mereka2 yg terlibat ambik tindakan..

    p/s: kita dambakan yg terbaik... Orang Tanjung apa feedback jabatan laut?

    ReplyDelete
  3. I dah e-mail kat you laaa... lamo dahhh. Check e-mail tu...

    Kah kah kah!!!...

    ReplyDelete