Pages

Friday, December 25, 2009

Syarikat sewakan van bermasalah jejas keseronokan cuti di Langkawi ~ Komen Pelancong

SEPANJANG Disember, Langkawi menjadi tumpuan rakyat untuk melancong dan membeli-belah. Saya ingin meluahkan rasa tidak puas hati terhadap syarikat sewa kereta yang beroperasi tanpa premis di jeti Kuah ketika bercuti di pulau itu, baru-baru ini. Sebaik melangkah keluar dari balai ketibaan di jeti Kuah, kami didekati individu menawarkan kenderaan sewa yang tidak asyik memujuk dan mengekori kami. Disebabkan rimas kerenahnya dan masih kebingungan dengan suasana di jeti, kami sekeluarga bersetuju menyewa van ditawarkan.

Tanpa teragak-agak, saya membayar deposit dan sewa van untuk sehari RM150 sekali gus kepada individu itu yang kemudian memberikan resit. Kami diberi van agak usang, namun itu tiada masalah kerana yang penting boleh dinaiki untuk menikmati keindahan Langkawi. Malangnya van itu rosak di satu tempat dan apa yang lebih mengecewakan hampir dua jam kami menunggu bantuan daripada syarikat itu untuk menggantikannya dengan van lain.

Bayangkan, bayi lapan bulan dan anak berumur setahun menangis di tepi jalan akibat lama menunggu, namun yang dihantarnya ialah kereta, bukan van. Keesokannya, kami dijanjikan van dihantar ke hotel penginapan, malangnya hampir sejam menunggu tiada khabar berita. Saya bergegas ke tempat penyewaan untuk menuntut hak sebagai penyewa dan selepas puas menunggu baru kami diberikan van. Saya mengharapkan pihak berkuasa memantau syarikat sewa kenderaan supaya kebajikan dan keselamatan pengunjung terjamin.

Mereka yang menjalankan perniagaan ini juga patut mengutamakan kebajikan penyewa.
Kami membelanjakan banyak wang bagi menikmati percutian yang indah, bukan untuk menghadapi tekanan di pulau itu. Kepada bakal pengunjung ke Pulau Langkawi, pastikan anda mencari syarikat sewa kenderaan yang baik dan melakukan urus niaga selepas melihat van yang dijanjikan.

PENGUNJUNG MALANG, Tanah Merah, BH

Anaklangkawi :- Adalah amat malang surat2 begini masih diterima oleh akhbar. Nampaknya ada pihak yg tidak serik2 di langkawi. Surat2 inilah yg bakal menjejaskan sektor pelancongan langkawi. Cuba lah kita layan pelancong sebaik mungkin.

Mungkin disebabkan inilah JPJ & pihak berwajib perlu lakukan pemantauan yg rapi terutama di jeti utk menangkap ulat-ulat yg tiada permit.

Kepada bakal pelancong. Hanya buat urusan di kaunter.. Jgn layan mereka2 yg berada di tepi2 jalan.

No comments:

Post a Comment