Pages

Monday, November 22, 2010

Perbahasan Budget 2011 oleh Dato Abu Bakar Taib Ahli Parlimen Langkawi

Sumber www.parlimen.gov.my

Dato' Paduka Abu Bakar bin Taib [Langkawi]:

Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Saya mengucapkan terima kasih di atas kesempatan yang diberikan untuk saya turut serta mengambil bahagian dalam perbahasan Bajet 2011. Saya juga bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana negara kita aman, damai dan makmur dan saya anggap inilah pemberian Tuhan kepada kita di Malaysia.

Saya juga mengucapkan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri yang telah menggariskan empat strategi dalam Belanjawan 2011 iaitu:-
(i) mendaya kembali pelaburan swasta;
(ii) membangunkan modal insan;
(iii) mensejahterakan hidup rakyat; dan
(iv) memantapkan penyampaian perkhidmatan awam.

Saya ingin menzahirkan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Malaysia yang telah banyak melabur di Langkawi. Izinkan saya mengambil peluang ini untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada mantan Perdana Menteri iaitu Yang Amat Berbahagia Tun Dr. Mahathir Mohamad yang telah banyak berjasa kepada negara dan bangsa kita di Malaysia. Kami di Langkawi amat bangga dan mengucapkan terima kasih kerana beliaulah yang telah membangunkan Langkawi. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada mantan Perdana Menteri, Yang Berbahagia Tun Abdullah bin Haji Ahmad Badawi dan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri sekarang iaitu Yang Berhormat dari Pekan, Dato’ Sri Mohd. Najib bin Tun Abdul Razak yang telah memberi perhatian khusus kepada Pulau Langkawi.

Saya harap Yang Amat Berhormat Perdana Menteri akan terus tidak meminggirkan Langkawi di dalam arus pembangunan yang ada sekarang ini.

Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) yang menjadi penggerak kepada pembangunan Langkawi. Tanpa LADA yang bekerja keras dari dahulu sampai sekarang, tidak mungkin Langkawi menjadi satu tempat yang ada sekarang. Saya harap peruntukan kepada LADA diberikan secukupnya untuk meluluskan tujuan dan tanggungjawab membangunkan Langkawi.

Saya juga mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Pusat dan pihak swasta yang telah melabur di Langkawi dengan begitu banyak. Langkawi berjaya mempunyai lapangan terbang antara yang kelima terbesar di Malaysia selepas KLIA, Bayan Lepas, Pulau Pinang, Kuching dan KK. Langkawi juga mempunyai Markas Wilayah Laut 3 TLDM, markas wilayah utara Agensi Penguatkuasaan Maritim iaitu APMM, Pusat Latihan Polis, cable car, Akademi Koreksional, pusat cerapan, bekalan air dan kabel elektrik di tanah daratan, MRSM, kolej komuniti, jeti nelayan dan juga peladang dan juga hotel-hotel yang bertaraf lima bintang terdapat di Langkawi.

Walaupun demikian, saya mengharapkan pihak kerajaan harus memantau segala pelaburan yang telah dilakukan supaya ianya menepati tujuan ianya dibuat. Saya berharap Kementerian Kewangan memantau perkembangan projek Ayer Hangat, projek di Kuala Melaka dan Taman Legenda yang memerlukan perhatian yang lebih. Masalah pembuangan bayi dan lain-lain masalah sosial pada kadar purata yang amat memalukan dan amat mengecewakan. Saya mengucapkan tahniah kepada Yang Berhormat Ketua Menteri Melaka dan Kerajaan Negeri Melaka yang telah memberi peluang kepada mereka yang telah terjebak atau telah terlanjur sehingga mengandung anak luar nikah untuk ditempatkan di Sekolah Harapan.

Satu lagi projek Baby Hatch di mana kumpulan yang memberi peluang kepada mereka yang sedemikian. Tahniah di atas pandangan jauh mereka. Saya percaya salah satu sebabnya adalah kadar mas kahwin, belanja hantaran yang tinggi dan juga kenduri kendara yang tinggi. Bayangkan seorang pemuda yang baru bekerja ingin berkahwin tetapi tidak mempunyai wang. Saya mohon agar kita semua merenung, mungkin kah disebabkan ini maka remaja mengambil jalan mudah dengan bersekedudukan atau living together. Mungkin pihak JAKIM dan majlis agama Islam negeri-negeri berfikir bagaimana kita hendak mengatasi. Mungkin inilah salah satu cara yang telah menyebabkan mereka itu berkelakuan sedemikian.

Pelancongan. Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada MAS, AirAsia dan Firefly yang telah membawa banyak pelancong dan penumpang ke Langkawi. Saya perhatikan kebanyakan pelancong datang ke Langkawi boleh dikatakan menggunakan AirAsia, MAS dan juga Singapore Airlines (SIA). Saya perhatikan mungkin disebabkan moto ‘Now everyone can fly’ oleh AirAsia telah mendatangkan begitu banyak kali pelancong yang datang ke Langkawi datang dengan kapal terbang. Saya harap memandangkan MAS telah memberhentikan penerbangan London-Langkawi-KL, mungkin pihak Kementerian Pelancongan dapat menggunakan perkhidmatan penerbangan AirAsia-London-Langkawi-Sydney ataupun Paris-Langkawi-Sydney atau pun London-langkawi-Perth dan sebagainya. Mungkin ia sebagai satu cara untuk menggamit pelancong datang ke Langkawi. Ini kerana kadang kala tidak ada connectivity antara satu sama lain di antara penerbangan ke Langkawi.

Saya juga mengucapkan terima kasih kepada kerajaan yang telah memberikan perhatian dan peruntukan yang diberikan oleh Kerajaan Pusat kepada Sabah dan Sarawak. Seperti yang sedia maklum, kemudahan infrastruktur yang terdapat di Sabah dan Sarawak jauh bezanya dengan kita di Semenanjung. Saya amat menyanjung tinggi di atas keprihatinan Yang Berhormat Perdana Menteri dan kerajaan Barisan Nasional yang memberi perhatian serius terhadap pembangunan Sabah dan Sarawak. Terutamanya keperluan asas seperti jalan raya, sekolah, klinik, bekalan air dan elektrik. Berikutan dengan kecetekan...



Datuk Haji Mohamad bin Haji Aziz [Sri Gading]: [Bangun]

Dato' Paduka Abu Bakar bin Taib [Langkawi]: Ya, Yang Berhormat Sri Gading.

Datuk Haji Mohamad bin Haji Aziz [Sri Gading]: Tuan Yang di-Pertua.

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Ronald Kiandee]: Yang Berhormat tidak pergi Batu Sapi?

Datuk Haji Mohamad bin Haji Aziz [Sri Gading]: Saya hendak pergi Tuan Yang di-Pertua, untuk berkempen bagi menentukan Barisan Nasional akan memenangi lagi kawasan itu dan potensi untuk menang itu begitu besar dan insya-Allah akan menang besarlah kita di Batu Sapi. Ini kerana, orang Batu Sapi pun dapat memikirkan apakah untung memilih kerajaan dan bagaimana ruginya mengundi pembangkang.

Berbalik kepada Langkawi. Langkawi ini adalah pulau Yang Berhormat Langkawi, pulau legenda yang telah pun dapat menarik begitu ramai satu ketika dahulu pelancong-pelancong dari dalam dan luar negara. Langkawi satu ketika dahulu pembangunannya begitu pesat di waktu Yang Amat Berbahagia Tun Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri memang di promote secara hebat Langkawi. Langkawi tumbuh dengan hotel-hotel bertaraf semua bintang ada. Bintang tiga ada, bintang empat ada dan bintang lima ada.

Dengan majunya Langkawi sebagai pusat persidangan antarabangsa, LIMA, pelancongan ribuan peluang-peluang pekerjaan. Saya harap Kementerian Pelancongan jangan terhenti, jangan berhenti daripada terus berikhtiar supaya pelancong-pelancong dari luar negara, pelancong-pelancong dalaman mengunjungi Langkawi. Supaya Pulau Langkawi jangan nanti kalau tidak kita usahakan takut-takut akan menjadi pulau yang lengang. Jadi apa dalam fikiran Yang Berhormat Langkawi boleh dicurahkan di Parlimen ini untuk berikan perhatian oleh pihak-pihak yang tertentu.

Macam mana usaha yang gigih, usaha yang bersemangat, usaha yang terus dapat diberikan kepada Langkawi untuk mengekalkan Langkawi menjadi pusat antara pusat-pusat, bukan pusat Menteri Pelancongan. Pusat-pusat pelancongan. Dalam negara ini banyak pusat-pusat pelancongan jadi biarlah jadi pusat pelancongan sama dengan tempat-tempat yang lain dalam negara kita. Saya minta Yang Berhormat Langkawi.

Sambungan 1

No comments:

Post a Comment