Advertisement :- Villa De Porto ~ A Private Gateaway in Langkawi

Thursday, February 16, 2012

PKB labur RM50j bina hotel tiga bintang

SYARIKAT milik kerajaan negeri Kedah, Permodalan Kedah Bhd (PKB) melabur RM50 juta bagi membina hotel bertaraf tiga bintang di Kuah, Langkawi.

Pengarah Urusan Kumpulannya, Harun Khalib, berkata pembinaan hotel 14 tingkat yang menerapkan ciri-ciri halal itu dijangka siap dalam tempoh satu setengah tahun.
“Hotel ini akan menyediakan dua kolam renang yang bakal mengasingkan pengunjung lelaki dan wanita. Ia dipercayai menjadi hotel pertama di pulau pelancongan ini yang menyediakan kemudahan berkenaan.
“Kami yakin dengan pembaharuan ini, selain dapat menarik lebih ramai pengunjung dari Asia Barat, ia juga mampu meningkatkan sosio ekonomi masyarakat setempat,” katanya selepas majlis pecah tanah projek itu yang disempurnakan Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak di Langkawi, semalam.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan negeri, Datuk Amiruddin Hamzah; Ketua Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Tan Sri Khalid Ramli; dan Pegawai Daerah Langkawi, Harun Jasin.

Harun berkata, hotel di tapak seluas 0.6 hektar yang dibiayai pembangunannya oleh Affin Bank Bhd itu akan mengandungi 206 bilik termasuk 26 suite.

"Ia mampu diduduki semua golongan dan bersedia memenuhi kehendak agensi kerajaan dan swasta bagi menganjurkan pelbagai kursus dan seminar.
"Pertambahan kehadiran pelancong di pekan Kuah mendorong PKB menerusi anak syarikat PKB Hotel Management untuk terbabit dalam bidang perhotelan ini," katanya.


Sumber Disini

No comments: