Advertisement :- Villa De Porto ~ A Private Gateaway in Langkawi

Showing posts with label Pemuda UMNO Langkawi. Show all posts
Showing posts with label Pemuda UMNO Langkawi. Show all posts

Tuesday, December 7, 2010

Kenyataan Wan Azizah terus dikecam ~ NorSaidi Nayan Pemuda UMNO

KUAH - Lebih 500 orang berhimpun di Kompleks Pekan Rabu selama 40 minit bagi membantah kenyataan Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang mahu konsep Ketuanan Melayu dihapuskan.

Terpapar lebih 10 sepanduk dibawa oleh mereka bagi menunjukkan tanda protes.

Kira-kira 20 pegawai polis bertugas sekitar lokasi berkenaan bagi mengawal keselamatan perhimpunan tersebut.

Ketua Pemuda UMNO Langkawi, Norsaidi Nanyan; Ketua Wanita UMNO Langkawi, Mariyam Othman dan wakil Persatuan Seni Silat Bangau Putih, Harun Jasni Ahmad antara yang berucap dalam perhimpunan terbabit.

Norsaidi berkata, PKR yang mempersoalkan Ketuanan Melayu pada dasarnya mereka adalah golongan tidak bersyukur selepas menikmati pembangunan dan keamanan di negara ini.

Menurutnya, antara perkara yang dipersoalkan oleh UMNO adalah tindakan pembangkang memberi kesempatan kepada orang bukan Muslim membaca ayat suci al-Quran dan mempertikaikan Ketuanan Melayu di dalam Fasal 153 Perlembagaan Malaysia.

“Fasal 153 adalah hak Melayu yang tidak boleh digugat manakala membiarkan orang bukan Muslim membaca ayat suci al-Quran adalah satu penghinaan secara halus.

“Mereka sepatutnya bersatu dengan UMNO sebagai rumpun Melayu, mempertahankan hak Melayu dan bersama-sama membangunkan negara ini,” katanya selepas perhimpunan tersebut.

Sinar Harian


AL :-
Jgn sampai jem satu Langkawi sudahla.. Janji mesej sampai kepada mereka..

Sunday, November 7, 2010

Kunjungan sempena Deepavali

KUAH - Murid Tahun Dua Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Ladang Sungai Raya, M Shanmathi yang mengalami masalah kelambatan akal sejak dilahirkan hanya mampu tersenyum apabila menerima kunjungan rombongan Program Pemuda 1Malaysia Prihatin Barisan Nasional (BN) di Kampung Ladang Sungai Raya, Kisap.

Senyuman manis anak kepada pasangan S Manimaran, 41, dan M Suguna, 38, membuatkan semua tetamu terhibur.

Menurut Suguna, segala persiapan Deepavali telah dilakukan awal termasuk membeli dua pasang baju buat anak bongsunya itu.

Dalam pada itu, Program Pemuda 1Malaysia Prihatin BN juga mengunjungi tujuh rumah sekitar kampung berkenaan.

Menurut Ketua Pemuda MIC Langkawi, V Kesevan, kunjungan ini adalah ‘prelude’ kepada program yang sama dilakukan ketika sambutan Tahun Baru Cina.

“Kami memberi sumbangan hamper kepada golongan kurang upaya yang kritikal,” katanya.

Sementara itu, hadir sama, Ketua Pemuda UMNO Langkawi, Norsaidi Nanyan; Naib Pengerusi Divisyen MIC Langkawi, K Muniady dan ahli BN yang lain.

Menurutnya, setiap kunjungan yang dilakukan, semuanya mendapat bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat dan dijaga rapi oleh keluarga masing-masing. - Sinar harian

AL :
:) Elokla.. kan ke dulu peti undi sana byk kalah.. jadi rajin2la buat kerja..

Tuesday, January 26, 2010

Om tanggung kesan tragedi 11 September

KUAH Sinar Harian - Tragedi 11 September 2001 mengingatkan seluruh masyarakat dunia mengenai pengeboman terhadap World Trade Center (WTC) di bandar raya New York, Amerika Syarikat. Kesedihan mengingati tarikh itu turut dirasai bagi seorang wanita, Om Abdullah, 40, apabila dia mendapat gelaran ibu tunggal pada tarikh yang sama pada 2007. Om berkata, sejak kematian suaminya, Abdul Halim Mustaffa pada usia 62 tahun, seluruh hidupnya bertambah perit apabila terpaksa membesarkan dua anaknya, Muhammad Shahril, 14, dan Muhammad Shahrol, 13.

“Saya tidak berpendidikan dan hanya bekerja apa yang ditawarkan asalkan dapat gaji dan boleh biayai keperluan keluarga. “Keadaan rumah juga usang dan tahap pendidikan anak-anak sederhana kerana saya tidak berapa faham mengenai pendidikan anak,” katanya ketika ditemui di Kampung Lubuk Buaya, Temoyong, Kedawang. Bagi jirannya, Abidah Rashid, 54, dia sering membantu mengemas rumah dan memberi beberapa lauk kepada keluarga itu. Abidah berkata, untuk membantu sepenuhnya, dia tidak mampu namun sekiranya ada rezeki lebih, dia sering menghantar makanan dan sayuran ke rumah rakan baiknya itu. “Dia ni lurus, kami kesian melihat nasib keluarganya itu seolah-olah terbuang daripada keluarga. “Tetapi keprihatinan penduduk setempat melayakkan dia mendapat bantuan daripada JKM setiap bulan,” katanya.

Dalam menangani masalah kemiskinan ini, masyarakat sering menuding jari terhadap peranan JKM. Ketika melakukan lawatan ke rumah Om, kelihatan empat wakil JKM termasuk seorang sukarelawan turut membantu mengemas kawasan rumah ibu tunggal itu. Penolong Pegawai JKM daerah Langkawi, Noor Liza Azizool berkata, keluarga ini pada mulanya mendapat Bantuan Kanak-kanak (BKK) RM100 setiap seorang. Menurutnya, kini selepas meninjau semula keadaan keluarga itu, JKM akan menukar skim yang bersesuaian atau elaun bulanan dinaikkan kepada RM150 seorang.

“JKM hanya berhak memberi elaun mengikut kesesuaian dan paling maksimum adalah RM450 bagi setiap rumah, tidak kira mereka mempunyai lebih dari lima anak. “Masyarakat perlu faham mengenai keadaan ini, kerana sejak belakangan ini banyak berlaku pertindihan maklumat mengenai isi rumah dan kami terpaksa melakukannya kajian semula,” katanya.

Selain JKM, Pergerakan Pemuda UMNO Langkawi turut mengenal pasti penduduk miskin sekitar Langkawi untuk mendapat pembelaan. Ketuanya, Norsaidi Nanyan berkata, sejak awal Januari 2010 sebanyak lima kes dikenal pasti bagi mendapat bantuan daripada JKM dan beberapa pihak lain melalui program Pemuda Prihatin. Menurutnya, program ini telah dimulakan sejak tahun lalu dan akan diperhebat mulai tahun ini secara berterusan dengan kerjasama Puteri dan Wanita UMNO Bahagian.

“Kami mempunyai 14 zon di seluruh Langkawi dan program ini digerakkan ketua Pemuda cawangan dan Jawatankuasa Kemajuan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP). “Selain mengenal pasti keluarga miskin, kami juga membantu membiayai yuran persekolahan, membeli keperluan sekolah dan menyelesaikan beberapa kes berkaitan pihak atasan,” katanya ketika ditemui. Norsaidi berkata, kami tidak mahu JKM dipersalahkan setiap kali media memaparkan kesusahan penduduk, perkara ini melibatkan semua pihak supaya lebih prihatin.

“Setakat ini hampir 80 peratus aduan rakyat dan rintihan penduduk miskin yang disuarakan kepada kami mendapat reaksi positif dari JKM dan semua aduan tidak diambil sepenuhnya, kami sendiri akan melihat dan mendekati masyarakat sebelum menyalurkan kesahihannya kepada JKM,” katanya.

Anaklangkawi:-
Tolonglah dgn ikhlas tanpa mengenal parti politik. INsyallah dibawa berkat dunia akhirat.

Tuesday, September 29, 2009

Hospital Langkawi perlu doktor pakar

ULU MELAKA - Hospital Langkawi (HL) perlukan pakar perubatan agar tidak hanya bergantung kepada doktor pakar dari Alor Setar sahaja.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Langkawi, Norsaidi Nanyan berkata, penduduk Langkawi sudah lama meminta agar doktor pakar ditempatkan di HL.

Menurutnya, setiap kali mengalami kes kecemasan pesakit perlu dirujuk ke Hospital Sulatanah Bahiyah di Alor Setar atau ke Hospital Pulau Pinang.

“Banyak kes penyakit kronik terpaksa dirujuk ke Alor Setar dan perkara ini membebankan pesakit dan keluarga mereka apabila terpaksa membayar kos perjalanan setiap kali perlu menerima rawatan.

“Di HL terdapat alatan pemeriksaan terbaik setanding dengan hospital lain tetapi kepakaran menggunakan alatan tersebut masih minima,” katanya ketika ditemui.

Norsaidi berkata, pulau ini dihuni oleh 80,000 penduduk dan ditambah kehadiran pelancong atau warga asing yang menjadikan pulau itu sebagai program rumah kedua (M2H).

Menurutnya, jika diikutkan pulau itu sepatutnya dilengkapi dengan kemudahan perubatan dan hospital berkelas antarabangsa.

“Jika terdapat doktor pakar, kemudahan perubatan dan ubatan terbaik, pulau ini berupaya menjada sektor pelancongan secara tidak langsung,” katanya.

Beliau berkata, perkara itu sudah diusulkan dalam mesyuarat UMNO oleh perwakilan Wanita dan Puteri UMNO tetapi masih tiada tindakan lanjut.

“Saya menggesa pihak Kementerian Kesihatan memandang serius masalah ini supaya perkara ini tidak membebankan penduduk tempatan dan pelancong.

“Doktor pakar hanya datang melihat pesakit dua atau tiga kali seminggu dan jika pesakit memerlukan rawatan segera mereka terpaksa dimasukkan ke wad di HL sebelum dihantar ke Alor Setar,” katanya.

Norsaidi berkata, pesakit terpaksa menahan sakit sepanjang menanti kehadiran doktor atau selepas selepas urusan pengangkutan ke tanah besar.

Sinar Harian 28/9/09

Anaklangkawi :-
Mungkin insentif utk doktor utk bekerja dilangkawi takdak kot. Itu pasal doktor taknak kerja kat langkawi. Mana2 anaklangkawi yg kerja doktor pakar pakat mai balik kerja langkawi la noo..