Advertisement :- Villa De Porto ~ A Private Gateaway in Langkawi

Sunday, May 1, 2011

Laluan Feri Ke Langkawi Dari Kuala Perlis Akan Diubah

ALOR SETAR, 24 April (Bernama) -- Kerajaan akan mengubah laluan feri ke Langkawi dan Satun melaui Kuala Perlis bagi memberi laluan kepada aktiviti nelayan yang mencari rezeki di kawasan itu, kata Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Mohd Johari Baharum.

Beliau berkata terdapat rungutan daripada nelayan di kawasan itu terutamanya nelayan-nelayan kecil kelas A yang menggunakan Selat Penarak sebagai kawasan tangkapan ikan.

"Kita tidak mahu menjejaskan aktiviti nelayan disebabkan feri berulang alik menggunakan laluan itu. Kawasan itu sangat sesuai dengan aktiviti pertanian seperti tangkapan ikan dan ternakan ikan dalam sangkar kerana ia tidak mempunyai ombak yang kuat," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Tugas Pengarah Pembangunan Negeri Kedah, Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) di sini Ahad.

Beliau berkata feri-feri ke Langkawi telah melalui laluan itu kira-kira 40 tahun lalu tetapi ketika itu laluan trafik di selat berkenaan tidak sibuk seperti sekarang dan menyebabkan gangguan kepada aktiviti perikanan.

"Jadi kita tubuhkan satu jawatankuasa dan kita akan bermesyuarat bagi membincangkan perkara ini. Kita akan berjumpa dan berbincang dengan pihak Jabatan Laut, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia, Persatuan Nelayan, wakil rakyat dan pengusaha feri," katanya.

Mohd Johari berkata tindakan segera perlu diambil bagi menjaga kepentingan semua pihak.

"Ia tidak melibatkan laluan dari Kuala Kedah ke Langkawi. Laluan itu tidak mempunyai masalah kerana tidak melibatkan Selat Penarak," katanya.

Beliau berkata walaupun laluan baru itu terdedah dengan keadaan ombak yang tidak sekata, tetapi ia tidak menjadi masalah kerana laluan itu hampir sama dengan laluan dari Kuala Kedah ke Langkawi.

"Sekarang ini jarak laluan dari Kuala Perlis ke Langkawi adalah 37 kilometer (km) dan jika apa yang dirancang itu berjaya, jarak laluan itu akan bertambah sebanyak 7km menjadikan jarak baru 44km," katanya.

-- BERNAMA

AL :- 
Berita gembira buat nelayan. Pertambahan sbyk 7km diharap tidak dijadikan alasan utk Pengusaha Feri menaikkan tambang.  

No comments: