Advertisement :- Villa De Porto ~ A Private Gateaway in Langkawi

Tuesday, April 14, 2009

Belia Langkawi aktif anjur aktiviti

Belia Langkawi aktif anjur aktiviti 14/4/09

KUAH - Langkawi terpilih sebagai pusat penganjuran pelbagai aktiviti, latihan dan ilmiah selain sudah terkenal sebagai destinasi pelancongan yang unggul di rantau sebelah sini. Koperasi Pembangunan Belia Langkawi (Kobel) nekad menjalankan usahasama dengan sebuah syarikat dalam menganjurkan aktiviti berkenaan iaitu latihan dan kursus.

Ahli Majlis Perundingan Belia Daerah Langkawi, Mohd Azim Othman berkata, usahasama ini bagi memberi manfaat kepada ahli koperasi dan individu yang menyertai kursus tersebut. Menurutnya, selain memperoleh keuntungan ia dapat mewujudkan jalinan persefahaman antara ahli selain berupaya merancakkan industri pelancongan dan aktiviti belia.

“Kami selaku penganjur, bersedia sekiranya terdapat mana-mana badan berkanun, syarikat yang ingin melalukan sebarang aktiviti latihan mereka boleh berhubung dengan kami. “Buat permulaan ini, sesi latihan adalah berkisar tentang teknologi dengan menyediakan latihan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT),” katanya selepas Majlis Menandatangani

Memorandum Persefahaman (MOU) dengan Syarikat Warisan Spektra Sdn Bhd, kelmarin. Mohd Azim berkata, belia dalam kawasan sekitar Langkawi boleh menyertai latihan dan mengikuti modul yang telah disediakan termasuk latihan motivasi. Menurutnya, melalui cara ini, belia dan pelajar sekolah di Langkawi akan lebih celik ICT dan mempunyai jati diri sempurna.

“Ini adalah langkah permulaan Kobel menganjurkan program usahasama dengan syarikat luar dan setelah dikaji kedua-dua pihak bakal memperoleh manfaat bersama,” katanya. Beliau berkata, selain itu, industri pelancongan, pengangkutan, penginapan dan makanan turut mendapat keuntungan sekiranya terdapat mana-mana badan berkanun menyertai latihan yang diadakan di Langkawi.

“Melalui cara ini, semua pihak mendapat tempias dan Langkawi akan dikenali bukan sahaja sebagai pusat pelancongan malah menjadi pusat latihan kerjaya dan pendidikan. Pengarah Urusan Warisan Spektra Sdn Bhd, Yazid Ayob berkata, Langkawi dipilih kerana mempunyai pelbagai infrastruktur lengkap selain sebuah destinasi pelancongan terkemuka.


Beliau berkata, selain menjalankan program seminar atau latihan, peserta yang hadir turut dapat membeli-belah dan bersantai. Majlis MOU itu disaksikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Datuk Ir Nawawi Ahmad dan Pengerusi Belia Langkawi, Nor Saidi Nayan.

No comments: