KUAH - Bangsal nelayan usang di Penarak bakal berubah wajah menjadi bangsal yang lebih bersistematik, lengkap dengan tandas dan tempat menyimpan pukat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuah, Datuk Ir Nawawi Ahmad berkata, peruntukan sebanyak RM50 akan disalurkan bagi membina bangsal baru tersebut. Namun menurutnya, pembinaannya bersyarat selepas status tanah di kawasan itu disahkan oleh Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS).
“Tanah ini milik JPS, sekiranya mereka dapat membuat pertukaran hak milik maka kerja-kerja pembinaan akan dilakukan dengan segera. “Kami telah berbincang dengan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) bagi meminta sejumlah peruntukan,” katanya ketika ditemui wakil Sinar Harian.
Nawawi berkata, dari hasil perbincangan dengan pihak LKIM, reaksi positif diberikan, tetapi status tanah tersebut hendaklah diselesaikan dengan segera. Menurutnya, perkara itu terpaksa dilakukan bagi mengelakkan pembaziran dan perkara berbangkit di kemudian hari.
“Saya juga secara peribadi menafikan, bahawa perkara ini pernah diajukan kepada ADUN Kuah, saya juga ingin menasihatkan kepada masyarakat yang ingin membuat sebarang permohonan di Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), mereka dikehendaki mengemukakan surat permohonan,” katanya.
Nawawi berkata, prosedur itu harus diikuti bagi mengelakkan salah faham kerana terdapat permohonan bantuan yang terlalu banyak dikemukakan dalam sehari. “Kami tidak mahu terlepas pandang, oleh itu setiap permohonan bertulis akan direkodkan dan tindakan lanjut akan diambil. Sekiranya mereka hanya menggunakan kaedah verbal, kemungkinan besar permohonan mereka akan tercicir,” katanya.
Sinar Harian - Artikel Asal.
No comments:
Post a Comment