Advertisement :- Villa De Porto ~ A Private Gateaway in Langkawi

Monday, May 25, 2009

Pelancong ke Langkawi Bakal meningkat - (Tambahan Penerbangan)


LANGKAWI 24 Mei - Kehadiran pelancong Singapura ke Langkawi dijangka meningkat apabila syarikat penerbangan tambang murah AirAsia dan sebuah syarikat penerbangan Singapura, Tiger Airways akan mengadakan penerbangan terus antara republik itu dan Langkawi.

AirAsia mengadakan penerbangan terus Langkawi-Singapura mulai 1 Jun ini manakala Tiger Airways dijadual memulakan penerbangan ke pulau pelancongan itu Ogos ini.

Pengerusi Persatuan Agensi Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta) Kedah, Pishol Ishak berkata, perkhidmatan Tiger Airways itu merupakan tambahan syarikat penerbangan dari Singapura ke pulau itu kerana sebelum ini Silk Air turut mengadakan penerbangan ke Langkawi.

Jadual penerbangan hanya akan dikeluarkan pada bulan Ogos, katanya yang mengalu-alukan penerbangan itu dan berharap ia akan meningkatkan kemasukan pelancong Singapura ke pulau peranginan itu.

Perangkaan Unit Pelancongan Lembaga Pembangunan Langkawi (Lada) menunjukkan kehadiran pelancong Singapura ke Langkawi sepanjang tahun lepas ialah 37,988 orang berbanding 34,643 orang dalam tempoh sama tahun sebelumnya.

Pelancong Singapura merupakan yang keempat paling ramai berkunjung ke Langkawi, selain United Kingdom, Thailand dan Australia.

Untuk tempoh tiga bulan pertama tahun ini, hampir 4,000 pelancong Singapura melawat Langkawi.

Pada masa ini syarikat penerbangan Singapura, Silk Air mengadakan penerbangan ke Langkawi setiap hari kecuali Isnin manakala perkhidmatan Malaysia Airlines (MAS) dari Singapura-Langkawi-Kuala Lumpur ialah pada hari Selasa, Jumaat dan Ahad. - BERNAMA

Utusan - 25/05/09
--
Anaklangkawi :-

Alhamdulillah. Moga2 bertambah rezeki penduduk2 pulau Langkawi. CUma diharap kita menjaga sopan santun & jaga status pulau pelancongan kita supaya menjadikn destinasi langkawi sbg tempat utk dilawati.

No comments: