LANGKAWI 2 Dis. – Pembinaan pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di sini merupakan keputusan strategik Kementerian Pertahanan bagi memantau kemasukan kapal-kapal di Selat Melaka.
Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah bertitah, ia sekali gus menjaga keutuhan serta integriti perairan Semenanjung Malaysia.
“Beta percaya dengan adanya pangkalan itu, keselamatan perairan Langkawi khususnya akan terjamin. “Selain berperanan memantau selat tersibuk di dunia iaitu Selat Melaka, pangkalan ini menyumbang kepada pembangunan kemajuan sosioekonomi serta kemakmuran negeri Kedah amnya,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian sempena istiadat penamaan kapal TLDM, KD Sri Langkawi kepada KD Sultan Badlishah dan pentauliahan pangkalan TLDM di Pangkalan TLDM di sini hari ini.
Hadir sama Sultanah Kedah, Tuanku Haminah Hamidon; Sultan Selangor yang juga Kapten Yang Dipertua TLDM, Sultan Sharifuddin Idris Shah; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak dan Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Azizan Ariffin.
Tuanku Abdul Halim bertitah, pangkalan itu juga akan berperanan untuk membersihkan kegiatan lanun dan penyeludupan di Langkawi serta membantu agensi-agensi kerajaan dalam keadaan kecemasan. Titah baginda, penamaan KD Sri Langkawi sebagai KD Sultan Badlishah merupakan penghormatan pucuk pimpinan TLDM.
“Ia juga mendapat pengiktirafan daripada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin yang telah berkenan untuk menama dan mentauliahkan unit ini.
“Beta bersyukur dan berterima kasih kepada TLDM dan ATM kerana memilih nama ayahanda beta, Almarhum Sultan Badlishah Abdul Hamid Halim Shah kerana ia sesuai dengan jasa bakti baginda kepada negara yang menentang penjajah Inggeris dan semangat patriotik baginda,” titah baginda.
Utusan Malaysia
No comments:
Post a Comment