KUAH (SinarHarian) - Majlis Tindakan Pelancongan Langkawi (MTPL) merayu kepada Kementerian Pelancongan untuk menempatkan anggota bagi menyelaras aktiviti pembangunan di Langkawi. Pengurus Besarnya, Shaharudin Itam berkata, selepas MTPL dibubarkan, sektor pelancongan di Langkawi memerlukan satu unit penyelaras membabitkan aktiviti pelancongan yang beribu pejabat di Langkawi. Menurutnya, pada dasarnya kementerian telah bersetuju namun pelaksanaannya masih belum diketahui dan terdapat kemungkinan unit baru yang ditubuhkan itu akan beroperasi mengikut Kerajaan Negeri.
“Kami berharap pihak kementerian dapat melanjutkan kakitangan dan pegawai MTPL mulai 15 Januari ini sehingga 31 Disember 2010. “Kini terdapat 12 kakitangan dan pegawai MTPL yang menyelaras segala aktiviti pelancongan di pulau ini,” katanya ketika ditemui pada majlis perpisahan bersama rakyat di Kampung Wang Tok Rendong, Kisap. Shaharudin berkata, sekiranya unit tersebut bernaung di bawah Kerajaan Negeri maka perlaksanaan tugasan dan bidang kuasa adalah terhad. Menurutnya, sejak kewujudan MTPL segala aktiviti pelancongan dilaraskan sepenuhnya terus melalui kementerian.
“Kami masih menanti lampu hijau dari pihak kerajaan bagi mengetahui hala tuju unit baru yang akan diwujudkan itu nanti,” katanya. Menyentuh keperluan pelancongan di Langkawi, beliau berkata Langkawi memerlukan pemantauan berterusan daripada kerajaan memandangkan status pulau ini bertaraf antarabangsa. “Aktiviti enap desa (homestay) perlu ditingkatkan sebagai pusat budaya produk pelancongan dengan melebarkan aktiviti seperti seni budaya, kerajinan tangan atau produk kraf dan masakan.
“Semua elemen ini mempunyai nilai pasaran tinggi dalam meningkatkan promosi Langkawi ke persada antarabangsa,” katanya. Beliau berkata penglibatan masyarakat tempatan adalah penting dalam menjalankan kerjasama antara kerajaan untuk memajukan industri pelancongan di pulau ini.
No comments:
Post a Comment