Advertisement :- Villa De Porto ~ A Private Gateaway in Langkawi

Thursday, June 23, 2011

Aktiviti Motosikal Berkuasa Besar Produk Pelancongan Terbaru Langkawi

LANGKAWI, 12 Jun (Bernama) -- Aktiviti motosikal berkuasa besar akan dijadikan produk baru pelancongan Langkawi bagi menarik lebih ramai pelancong terutama di kalangan penunggang motosikal ke pulau bebas cukai itu.

Pengarah Tourism Malaysia Kedah Roslan Othman berkata dengan pemilik motosikal terdiri daripada mereka yang berkemampuan dari segi sumber kewangan, sudah pasti mereka berbelanja besar di Langkawi dan ini menguntungkan pulau peranginan itu.

"Komitmen semua pihak termasuk jabatan kerajaan dan swasta diperlukan bagi memajukan industri ini bagi menyokong usaha seperti menyediakan kemudahan dan pengangkutan membawa motosikal dari tanah besar ke Langkawi," katanya kepada Bernama di sini Ahad.

Katanya kejayaan dan sambutan menggalakkan yang diterima ketika menganjurkan 'International Charity Ride 2011' bagi menyambut ulang tahun keempat Langkawi Geopark 2011 di sini selama dua hari yang berakhir hari ini memberi keyakinan produk baru itu akan menghasilkan kejayaan.

Sebanyak 200 motosikal dengan 250 peserta dari Singapura, Thailand dan Malaysia menyertai acara itu.

Sementara itu, pengerusi penganjur Pishol Ishak berkata sempena program itu para peserta itu beramah mesra bersama dengan lebih 30 anak yatim Langkawi dan penduduk di Kampung Tok Rendong Kuah di sini.

Pishol yang juga Pengerusi Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta) Kedah berkata aktiviti itu dirancang untuk dijadikan acara tahunan sebagai produk pelancongan Langkawi.

Aktiviti itu anjuran bersama Lembaga Pembangunan Langkawi (Lada), Tourism Malaysia, Matta dan beberapa agensi kerajaan.

-- BERNAMA

AL :-
Tolong la libatkan persatuan2 tempatan utk bersama-sama menjayakan projek ni.. Barula meriah sikit..  

No comments: