Advertisement :- Villa De Porto ~ A Private Gateaway in Langkawi

Tuesday, April 6, 2010

13 sampel darah positif H1N1

ALOR SETAR 5 April – Sebanyak 13 sampel terpilih yang diambil daripada para pelajar di tiga buah sekolah di Langkawi baru-baru ini didapati positif selesema babi atau influenza A (H1N1).
Sekolah-sekolah terlibat ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Langkawi Pulau Tuba yang telah diarah tutup sejak Selasa lalu dan Sekolah Kebangsaan (SK) Bagan Selat Nyiur yang ditutup sehari selepas itu.

Sebuah lagi sekolah yang telah diarah tutup sejak Khamis lalu ialah Sekolah Menengah (SM) Teknik Langkawi. Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan negeri, Dr. Ismail Salleh berkata, sampel-sampel berkenaan telah dihantar ke makmal Hospital Sungai Buloh untuk diuji selepas terdapat pelajar sekolah tersebut mengalami gejala seakan influenza (ILI). Katanya, semua pelajar yang dikesan mempunyai simptom virus berkenaan telah diberi rawatan mengikut prosedur diperlukan.

“Tindakan segera seperti menutup sekolah-sekolah terbabit telah dilakukan sebagai langkah pencegahan penularan wabak berkenaan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Ismail memberitahu, selain kes tersebut, hanya satu kes positif influenza A (H1N1) dikesan di negeri ini dari tempoh 1 Januari sehingga 24 Mac lalu. Katanya, tiada sebarang kematian direkodkan sepanjang tempoh berkenaan.

“Berdasarkan keadaan semasa, keadaan wabak berkenaan di negeri ini masih terkawal dan orang ramai tidak perlu khuatir atau panik dengan situasi berkenaan,” katanya. Beliau turut menasihatkan orang ramai mengambil langkah-langkah pencegahan sekiranya terdapat simptom penyakit berkenaan seperti selesema dan demam dengan pergi ke hospital atau klinik untuk pemeriksaan lanjut.

Dalam pada itu, Pengarah Pelajaran Kedah, Shahidan Abdul Rahman berkata, SMK Langkawi Pulau Tuba dan SK Bagan Selat Nyiur telah dibuka semula hari ini manakala SM Teknik Langkawi dijangka beroperasi semula esok.

Bagaimanapun, katanya, dalam perkembangan terkini terdapat sebuah sekolah lagi di Langkawi iaitu Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina Chong Hwa telah diarah tutup mulai esok sehingga 10 April ini kerana terdapat pelajarnya yang mempunyai simptom influenza.
Katanya, arahan penutupan itu dibuat selepas mendapat maklum balas daripada Jabatan Kesihatan sebagai langkah berjaga-jaga untuk menyekat sebarang jangkitan daripada merebak. Utusan Malaysia

Anaklangkawi :-
Berita yg amat menakutkan penduduk Langkawi. Dinasihatkan mereka2 yg mempunyai simptom H1N1 pergilah ke Hospital Langkawi. Jgn ditunggu lagi.

Elakkan keluar bersama anak2 di tempat awam & amalkan membasuh tangan & kebersihan.

No comments: