LANGKAWI 8 April - Seramai 400 peserta dari luar negara serta 100 peserta dari Malaysia akan menghadiri Persidangan Antarabangsa Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) berkaitan Geopark kali ke-4 di Awana Porto Malai di sini bermula esok hingga 15 April ini.
Persidangan bertemakan Globalisasi Geopark - Menuju ke Hadapan Bersama Alam Semulajadi itu bakal menyaksikan sebanyak 120 kertas kerja dibentangkan sepanjang seminar lima hari itu.
China merupakan negara paling banyak membentangkan kertas kerja daripada seramai 200 pesertanya.
Langkawi telah dipilih sebagai tuan rumah bagi persidangan tersebut selepas persidangan ketiga yang telah diadakan di Jerman. Persidangan ini berlangsung selama dua tahun sekali dan negara yang ingin menjadi penganjur akan membuat bidaan untuk melayakkannya menjadi tuan rumah.
Timbalan Pengarah Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Mohd. Shafeea Leman berkata, negara-negara peserta akan membentangkan kertas kerja berkaitan pembangunan dan penyelarasan yang dilakukan supaya dapat dinilai oleh badan penilai UNESCO untuk menjadi sebuah Geopark.
Kata beliau, setiap Geopark juga akan dinilai dua tahun sekali sebelum tarafnya disambung semula dengan Geopark di Langkawi dinilai semula pada 2011 untuk memastikan semua ciri-ciri Geopark dikekalkan.
Menurut beliau, persidangan itu akan dimulakan dengan pelancaran Pesta Geopark yang bermula Sabtu hingga Ahad ini, antaranya sebanyak 64 gerai disediakan untuk mempamerkan maklumat tentang Geopark di seluruh dunia selain acara kebudayaan.
Sementara itu, Pengurus Besar Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Azman Umar, berkata, sejak Langkawi mendapat pengiktirafan sebagai sebuah Geopark, pelbagai faedah dapat dirasai oleh semua masyarakat di Langkawi.
"Sebagai contoh, kawasan Sungai Kilim kini menjadi destinasi utama dengan sejumlah 100,000 pengunjung membuat lawatan ke Kilim Geoforest Park setahun."
"LADA juga akan terus membangunkan tapak-tapak Geopark lain kerana manfaat yang diperoleh akan meningkatkan sektor pelancongan dipulau legenda ini," kata beliau. - Utusan Malaysia
Anaklangkawi :-
Bersidangla elok2. Tambah nilai pada Program Geopark di Langkawi. BUkan takat bersidang aja..
No comments:
Post a Comment