Advertisement :- Villa De Porto ~ A Private Gateaway in Langkawi

Sunday, November 21, 2010

Bantuan Baik Pulih Rumah Di Bawah Program PPKB Diperkasakan

LANGKAWI, 16 Nov (Bernama) -- Program bantuan membaik pulih rumah yang dilaksanakan di bawah program pembasmian kemiskinan bandar (PPKB) akan terus diperkasakan tahun depan, kata Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin.

Beliau berkata ini kerana kerajaan tidak mahu melihat mereka yang memiliki rumah akhirnya hilang tempat tinggal semata-mata kerana mereka tidak mampu membaiki rumah yang rosak teruk.

"Ia juga bertujuan bagi menjamin golongan miskin di bandar dapat menikmati kehidupan yang selesa dan berkualiti," katanya pada satu persidangan media selepas menyampaikan kunci rumah kepada lapan penduduk dan sumbangan Aidiladha kepada 200 orang di bawah bantuan PPKB di perkarangan Masjid Kampung Sanusi di sini hari Selasa.

Menurutnya Langkawi dipilih melaksanakan projek baik pulih pertama di Malaysia, yang membabitkan lapan rumah dengan purata peruntukan antara RM11,000 dan RM36,000 sebuah, dan menurutnya pihak kementerian sedang menyemak senarai permohonan baru untuk dilaksanakan projek itu di beberapa negeri tahun depan.
"Pihak kementerian menimbang permohonan itu tanpa mengira fahaman politik kerana yang lebih penting adalah untuk membantu rakyat meningkat kualiti hidup," katanya.

Raja Nong Chik berkata pihaknya kini mengambil pendekatan untuk mengurangkan bantuan kewangan terhad, dan sebaliknya merancang program-program yang lebih spesifik yang dapat meningkatkan pendapatan kepada keluarga miskin.

Menurutnya program latihan kemahiran dan keusahawan, pemadanan pekerjaan serta pembangunan modal insan adalah antara program yang diberi keutamaan bagi membantu golongan miskin di bandar.

"Golongan miskin yang layak akan dibantu dengan bantuan peralatan termasuk menyediakan ruang menjaja supaya mereka tidak terus menerima bantuan kewangan tetap dapat berdikari serta mampu meningkatkan pendapatan keluarga," katanya.

Raja Nong Chik berkata Kedah adalah antara negeri yang telah mencapai sifar kemiskinan tegar berdasarkan rekod kementerian daftar ekasih.

Katanya hanya terdapat 11 keluarga miskin dan 57 keluarga mudah miskin bagi kawasan parlimen Langkawi dan kementerian akan terus melaksanakan program penjanaan pendapatan supaya mereka tidak tercicir dalam arus pembangunan.

-- BERNAMA

Anaklangkawi :-
Cek memang amat bersyukur kerana walaupun Raja Nong Chik adalah Menteri Wilayah tapi sumbangan sampai ke Langkawi memandangkan masih ramai memerlukan bantuan di Langkawi.

Huluq2 la bantuan tak kira tempat noo

No comments: