Advertisement :- Villa De Porto ~ A Private Gateaway in Langkawi

Sunday, November 15, 2009

Apa fungsi APMM ~ Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia


Hari Bersama Media beri pendedahan tugas, cabaran pertahan perairan negara BERPEGANG kepada moto 'Mengawal, Melindung, Menyelamat', Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), kini menjadi tunjang pertahanan perairan negara yang semakin digeruni. Sejak beroperasi pada 2005, APMM Wilayah Maritim Timur mencapai banyak kejayaan dalam memastikan perairan negara bebas daripada ancaman asing dan kegiatan yang menyalahi undang-undang maritim.

Malah, sepanjang tahun lalu, 459 nelayan asing yang menceroboh zon perairan dan perikanan di Terengganu, Kelantan dan Pahang berjaya ditahan, iaitu peningkatan sebanyak 163 orang berbanding 296 nelayan asing pada tahun 2007. Selain itu, jumlah bot yang ditahan kerana kesalahan sama juga meningkat kepada 49 tahun lalu, berbanding 34 bot pada tahun sebelumnya. Ketua Penguat Kuasa APMM Wilayah Timur, Laksamana (M) Datuk Ismail Hamzah dalam ucapan perasmian Hari Bersama Media sempena sambutan Hari Maritim Malaysia yang disambut pada 15 Februari berkata, nama APMM atau Maritim Malaysia semakin dikenali di Wilayah Timur dan di negara ini.

USAHA melupuskan sebuah kapal nelayan asing sedang giat dijalankan.
Beliau yakin melalui aktiviti begitu yang berterusan, nama APMM akan semakin harum bukan saja di dalam negara tetapi juga di peringkat antarabangsa. "Lebih membanggakan APMM akan menerima Anugerah Pengiktirafan Frost & Sullivan yang akan diadakan di Singapura pada Mac depan. "Anugerah ini diberikan hasil maklum balas yang diterima daripada penduduk setempat mengenai aktiviti APMM dalam membendung aktiviti yang menyalahi undang-undang maritim negara, " katanya. Sehubungan itu, katanya, APMM akan terus memastikan zon perairan negara terjamin dan bebas daripada aktiviti yang tidak diingini.

Katanya, selain tugas hakikinya menjaga keselamatan perairan negara, Maritim Malaysia turut terbabit dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR). Program bersama media diadakan bertujuan memberi pendedahan kepada media untuk mengetahui dengan lebih dekat fungsi dan tugas APMM menerusi interaksi dengan pegawai kanan serta pendedahan mengenai tugas penguat kuasa yang dilaksanakan agensi itu. Selain itu, untuk mewujud dan mengeratkan hubungan organisasi bagi meningkatkan kerjasama media dalam membuat liputan positif serta meningkatkan imej APMM. Ia juga sebagai penghargaan APMM kepada media tempatan, terutama media di Wilayah Maritim Timur yang banyak memberi kerjasama dan sokongan melalui laporan berita audio dan visual.

Ismail berharap media akan lebih memahami dalam aspek pengendalian operasi mencari dan menyelamat serta penguatkuasaan Maritim Malaysia dan cabaran yang harus dihadapi. Sempena program itu, wakil media bersama pegawai kanan APMM Wilayah Timur dibawa belayar menaiki KM Langkawi, KM Amanah, KM Segantang, KM Ligitan, Bot Pelindung 1 dan Bot Kilat untuk menyaksikan proses pelupusan bot tahanan. Bot tahanan itu dilucut hak untuk ditenggelamkan sebagai tukun tiruan di perairan Pulau Kapas. Selain itu, APMM turut melakukan demonstrasi khas pemeriksaan dan menggeledah bot nelayan asing yang menceroboh perairan negara.

Demonstrasi itu turut membabitkan pegawai dan pegawai lain-lain pangkat serta aset Wilayah Maritim Timur. Turut hadir pada program itu ialah Ketua Penguat Kuasa APMM Kuala Terengganu, Komander Syed Mohd Fuzi Syed Hasan dan Pengarah Operasi APMM Wilayah Timur, Kapten Adam Abdul Aziz. APMM mempunyai 70 kapal dan 53 bot yang menjalankan aktiviti pengawasan di perairan negara yang meliputi keluasan 614,000 kilometer persegi dengan kawasan pantai sepanjang 4,490 kilometer.


Anaklangkawi :-
Elok juga artikel ni. Dapat juga tau. Elokla tangkap nelayan asing banyak2. Byk sikit tukun tiruan..

No comments: