AWAL Julai lalu, saya pulang ke kampung halaman saya di Pulau Langkawi, setelah hampir lapan bulan saya tidak pulang kerana kesibukan tugas dan sebagainya.
Sebelum pesawat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi, fikiran saya terbayang akan perubahan yang mungkin berlaku dalam tempoh lapan bulan sebelum ini, baik dari segi infrastruktur, program pelancongan, kedatangan pelancong dan juga tempat menarik yang baru dibina.
Dari udara, pemandangan Pulau Langkawi amat menakjubkan dengan Laut Andaman terbentang luas, pulau-pulau berselerakan dan kebiruan laut yang terpesona mata memandang. Saya berasa beruntung kerana dilahirkan dan dibesarkan di Pulau Langkawi yang indah ini. Tidak semua orang berpeluang merasai kehidupan di sebuah pulau yang dikatakan antara pulau tercantik di dunia yang dianugerahkan kepada Malaysia.
Namun begitu, setibanya saya di Kuah, tiba-tiba hati saya tersentak apabila mendapati projek pembinaan jambatan yang merentasi Sungai Kuah yang panjangnya tidak sampai 30 meter masih dalam pembinaan. Seingat saya, projek berkenaan bermula dari akhir tahun 2007 lagi tetapi sampai hari ini, masih belum siap. Sudahlah tidak siap, tiada langsung saya dapati kerja-kerja pembinaan sedang dilakukan oleh pekerja di tapak tersebut. Dengan kata lain, saya beranggapan ia salah satu 'projek sakit' yang ada di Pulau Langkawi.
Apa yang bermain di fikiran saya ialah kenapa pihak berkaitan terutamanya Lembaga Pembangunan Langkawi (Lada) tidak mengambil langkah sepatutnya dalam usaha menyiapkan projek berkenaan. Tidak nampakkah pihak Lada bahawa anda telah menyusahkan orang awam yang terpaksa melencong masuk ke pekan Kuah sebelum boleh meneruskan perjalanan ke jeti atau ke Padang Matsirat. Ini sedikit sebanyak telah menyumbang kesesakan kenderaan dan keselamatan pejalan kaki terutamanya para pelancong yang ingin membeli-belah di kawasan pekan Kuah.
Selain itu, apabila jalan tersebut dilencongkan maka pemandu kenderaan terpaksa menggunakan jalan alternatif lain seperti Jalan Penarak yang lebih sempit berbanding jalan utama itu. Sedar atau tidak, ia telah menyumbang kepada peningkatan bilangan kemalangan di jalan tersebut kerana pertambahan kenderaan terutamanya penunggang motosikal yang tiada pilihan lain.
Menjelang 1 hingga 5 Disember 2009 nanti, Pulau Langkawi akan dibanjiri oleh pelancong sama ada dalam negeri atau luar negara kerana penganjuran LIMA 09. Ketika itu bilangan kenderaan bertambah berkali ganda. Sekiranya projek pembinaan jambatan itu masih tidak siap ketika LIMA 09 berlangsung nanti, sedikit sebanyak ia akan memberi imej yang kurang baik oleh pelancong kerana infrastruktur jalan raya di Pulau Langkawi tidak sempurna malah terbengkalai pula. Namun bagi saya, imej adalah perkara kedua tetapi apa yang lebih penting ketika ini ialah keselesaan penduduk terhadap kemudahan jalan raya yang lebih sempurna dan selamat.
Penduduk berhak mendapat kemudahan infrastruktur awam yang terbaik kerana mereka telah membayar cukai kepada kerajaan dan tanggungjawab kerajaan pula untuk melaksanakan amanah yang diberi oleh penduduk selaras dengan konsep 'rakyat didahulukan pencapaian diutamakan'.
Cadangan saya kepada Lada, sekiranya kontraktor yang diamanahkan itu telah cabut lari maka pihak berkenaan boleh menawarkan tender semula kepada syarikat yang layak untuk menyiapkannya. Projek yang belum siap semestinya masih mempunyai peruntukan kewangan yang mencukupi kerana ia dibayar berdasarkan peratus siap projek.
Seandainya projek itu telah dibayar sepenuhnya sedangkan cuma tiang-tiang konkrit sahaja kelihatan ketika ini, maka Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Audit Negara janganlah tunggu sehingga pegawai terbabit pula cabut lari. Siasatan mesti dijalankan bagi mengetahui punca sebenar kelewatan menyiapkan projek 'mega' tersebut kerana saya sebagai penduduk di pulau ini sudah tidak sabar dengan keadaan yang dilalui ketika ini apatah lagi penduduk yang tinggal dan bekerja di sini.
Esok saya akan meninggalkan Pulau Langkawi dan kembali bertugas semula seperti biasa di Borneo. Walaupun diri saya tiada di sini, namun hati saya tetap berada di pulau tercinta ini. Walaupun saya hanyalah pegawai kerajaan dan bukan ahli politik mahupun Pengurus Besar Lada, tetapi sekiranya masalah ini menyebabkan kesusahan kepada penduduk di Pulau Langkawi, maka hati saya akan terpanggil untuk menyatakan hak dan kebenaran.
Kepada Lada, mohon disiapkan projek ini yang telah makan masa bertahun lamanya. Lagi lama projek terbengkalai, lagi tinggi kosnya yang terpaksa ditanggung nanti.
CUCU MAHSURI Utusan 16/7/09
Kampung Air Hangat, Langkawi
2 comments:
Tu dia... Kalau dibuat open tender tak kira status syarikat, gerenti dapat kat kontraktor Cina.
Dah dapat kat kontraktor cina, sure dah lama siap tak ler jadi macam sekarang.
Wow! DIRECT NEGO is just awesome.
Kah kah kah...
mungkin betul mungkin tidak...
Post a Comment