TELUK DATAI - Lima puluh ekor anak buaya komersial bernilai kira-kira RM75,000 yang ditempatkan di Taman Buaya Teluk Datai, di sini mati dipercayai akibat perbuatan khianat. Ketua Polis daerah Langkawi, Superintendan Ishak Hasan berkata, satu laporan telah diterima kelmarin daripada pihak taman itu berkaitan kematian buaya tersebut.
Menurutnya, 50 ekor anak buaya bersaiz 0.6 meter itu adalah tujuan komersial dan bukannya untuk dipamerkan. “Anak-anak buaya tersebut akan dihantar ke Jabatan Haiwan dan Veterinar untuk tujuan bedah siasat manakala air di kolam yang menjadi habitat haiwan eksotik itu akan diuji oleh Makmal Jabatan Kimia. “Punca kejadian masih disiasat, anak-anak buaya yang diternak itu adalah bagi tujuan komersial dengan dagingnya untuk tujuan masakan dan kulitnya untuk membuat pelbagai produk,” katanya ketika dihubungi.
Dalam tinjauan Sinar Harian selama dua jam di taman itu, insiden tersebut tidak mengganggu kehadiran pelancong untuk mengunjungi taman berkenaan. Namun, apa yang dikesali, pihak pengurusan taman itu enggan memberi sebarang ulasan berikutan kejadian berlaku. Taman Buaya Langkawi itu, merupakan syarikat pertama yang sepadu dan melaksanakan kesemua proses membiak, mengilang, memasarkan dan menjual produk kulit buaya eksklusif sebagai produk unggul keluaran negara.
Ladang buaya terbesar di negara ini ditubuhkan untuk mendorong populasi spesies buaya 'Crocodylus Porosus' yang merupakan antara 23 spesies buaya terbaik dunia, sekali gus berupaya menampung pasaran. Terdapat lebih daripada 1,000 ekor buaya hidup di dalam persekitaran yang hampir dengan habitat semula jadi.
Sinar Harian 16/7/09
No comments:
Post a Comment