Advertisement :- Villa De Porto ~ A Private Gateaway in Langkawi

Wednesday, January 6, 2010

Dunia Buku: Ujian cinta dua sahabat


Nora Fuad sengaja ledakan simpati, paksa pembaca buat pilihan DIMENSI Cinta karya Nora Fuad menyajikan pembaca dengan erti kasih sayang, persahabatan dan pengorbanan lewat konflik Lukhman Hakim, Zaid Harith, Nur Suraya dan Michelle Wong yang menjadi nadi penggerak jalan cerita novel ini. Sukar untuk pembaca membayangkan dengan mata kasar bagaimana akrab dan uniknya nilai persahabatan antara Lukhman dan Zaid yang terbina sejak kecil hinggakan mereka berkongsi kasih ibu masing-masing.

Kedua-dua anak muda ini mempunyai hampir segala-galanya yang diperlukan untuk hidup mewah dalam zaman globalisasi ini, tetapi kekurangan satu perkara bagi melengkapkan kehidupan mereka iaitu cinta. Kehadiran, Nur Suraya, benar-benar menguji keutuhan persahabatan kedua-dua sahabat baik itu kerana kebetulan mereka ditakdirkan jatuh hati kepada gadis yang sama tanpa masing-masing mengetahui perkara terbabit. Pengarang menggambarkan Nur Suraya sebagai gadis manis dan juga seorang guru yang terlebih dulu didekati Zaid, lalu timbul perasaan cinta dalam diri jejaka itu, tetapi tidak melafazkannya kerana baginya membina Vila Cintanya untuk si gadis lebih penting.

Konflik mula berlaku apabila Lukhman turut menyimpan hati terhadap Suraya ketika pertama kali bertemu sebelum diperkenalkan Zaid, memaksa arkitek muda itu memendam perasaan sucinya itu kerana menghormati persahabatan dan persaudaraan mereka yang terjalin sejak sekian lama. Pembaca turut dibawa menerjah kehidupan Zaid yang sentiasa sibuk kerana bertugas sebagai pengurus bidang teknologi maklumat di David Associate Computer yang memerlukannya kerap bertugas di luar negara bagi menghadiri pameran komputer terutama di London.

Zaid ditampilkan pengarang sebagai graduan sains komputer dari Universiti of London yang bernasib malang, selepas papanya meninggalkan mama kesayangannya untuk berhijrah ke Amerika Syarikat dan berkahwin dengan wanita lain. Ketika melanjutkan pengajian di London, dia bertemu seorang gadis cina yang berasal dari Perak, Michelle Wong atau Elle dan kemudian menjadi rapat hingga tanpa sedar lahir perasaan cinta, tetapi kedua-duanya memendamkan isi hati.

Zaid berasa kecewa apabila Elle disuruh berkahwin dengan lelaki pilihan bapanya dan berusaha untuk terus melupakan gadis Cina itu, tanpa menduga hatinya akan terbuka kembali apabila dipertemukan dengan Suraya. Pemuda malang itu kembali keliru dengan perasaannya ketika bertemu semula Elle di London dan pengarang menghanyutkan perasaan pembaca dengan kisah kepulangan Elle ke Malaysia, lalu diperkenalkan kepada Suraya. Suraya pula tersalah anggap dengan tindakan Zaid memperkenalkan Elle kepadanya, ditambah pula dengan sikap tidak acuh Zaid dalam persahabatan mereka, sehingga akhirnya berasa lega apabila dirinya mula terpaut kepada Lukhman.

Dapatkah Lukhman mengatasi rasa cintanya yang membuak kepada gadis pujaannya selepas dipisahkan dua benua kerana tindakannya melanjutkan pengajian di Adelaide, Australia bagi memberi laluan kepada Zaid dan siapakah Taufik dalam hidup Suraya?
~~~~~~~~~
Nora Fuad melalui Dimensi Cinta berjaya mengangkat kisah lumrah mengenai kasih sayang dan persahabatan yang sarat dengan mesej kesabaran dan kemurnian hati sehingga boleh dijadikan teladan oleh pembaca generasi muda dalam mengharungi kehidupan. Penulisan lahirkan minda kelas pertama NORA Fuad, nama pena bagi Noor Arba'iah Ismail yang menggabungkan namanya dengan suami dan membawa maksud cahaya penuh kejiwaan, berkarya sejak berusia 17 tahun dengan menjadikan majalah sebagai medan percubaan untuk mengasah bakat dalam dunia penulisan kreatif. Pengarang yang berkhidmat sebagai guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Damansara Jaya, Selangor, berkelulusan Ijazah Sarjana Muda dalam bidang sejarah, komunikasi dan pendidikan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi.

Nora mewarisi bakat penulisan daripada bapanya, Ismail Yaa’cob yang mahir menulis seloka dan dikenali sebagai Cikgu Man oleh masyarakat Langkawi serta berkongsi hobi yang sama dengan ibunya, Salma Ibrahim, iaitu membaca pelbagai jenis bahan bacaan. Hobi gemar membaca akhirnya bertukar kepada gemar menulis dan kecenderungan berkarya yang terhenti ketika melanjutkan pelajaran di menara gading, berputik kembali sebaik menyertai bengkel penulisan anjuran KarnaDya Solutions Sdn Bhd pada 22 Jun tahun lalu. Bengkel yang disertainya itu berjaya membuka mindanya untuk menjadikan penulisan sebagai misi melahirkan masyarakat dengan minda kelas pertama ekoran pesanan sifunya, Aina Emir bahawa ‘penulis mestilah mempunyai identiti tersendiri dan berilmu’.

Nora menjadikan pesanan sifunya sebagai pegangan utama untuk merealisasikan bahawa novel tidak lagi berfungsi sebagai bahan wacana ringan pada waktu senggang, sebaliknya boleh menjadi bahan utama bagi menggalakkan pembentukan masyarakat berilmu. Malah baginya novel bertema cinta bukan hanya sesuai untuk bacaan remaja, tetapi sesuai untuk golongan dewasa kerana baginya cinta perlu dipraktikkan sehingga mati dan pengarang Dimensi Cinta ini boleh dihubungi dengan melayari

http://norafuad.blogspot.com atau
http://dimensicinta-norafuad.blogspot.com/.

INFO : Dimensi Cinta
Pengarang: Nora Fuad
Tebal: 441 halaman
Penerbit: KarnaDya Solutions Sdn Bhd
Harga: RM19.00 senaskhah

Anaklangkawi :-

Tahniah Nora Fuad atas penerbitan buku terbaru.. Insyallah ada kesempatan cek beli senaskah. Teruskan berkarya.

No comments: