Advertisement :- Villa De Porto ~ A Private Gateaway in Langkawi

Tuesday, January 19, 2010

Pemandu pelancong perlu kemahiran

LANGKAWI 16 Jan. - Pemandu pelancong di Geopark Langkawi perlu mempunyai kemahiran dan kepakaran tentang selok-belok daerah kelahiran Mahsuri itu dalam usaha menarik lebih ramai pelancong sama ada tempatan atau luar negara.

Menteri Pelancongan, Datuk Dr. Ng Yen Yen berkata, ia juga penting untuk terus mengekalkan kegemilangan pulau legenda itu sebagai destinasi popular di negara ini.

"Pelancong asing biasanya mempunyai waktu yang singkat, jadi setiap pemandu pelancong mesti mahir dengan lokasi-lokasi menarik di Langkawi untuk beri penjelasan kepada mereka," katanya kepada pemberita selepas mengadakan dialog dengan penggiat industri pelancongan di sini hari ini.

Oleh itu, katanya lagi, satu latihan untuk pemandu-pemandu pelancong Geopark Langkawi juga perlu diadakan khususnya untuk meningkatkan kemahiran berbahasa mereka.
"Selain itu, pihak kementerian juga bercadang untuk mengadakan kerjasama dengan pihak sekolah bagi memperkenalkan kerjaya ini kepada para pelajar. Ia bertujuan meramaikan bilangan pemandu pelancong kelahiran Langkawi," katanya.

Selain itu, katanya, Kementerian Pelancongan dengan kerjasama Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) akan mewujudkan artist colony di Oriental Village di sini bagi memudahkan pelancong mengabadikan kenangan sewaktu berkunjung ke situ.
Kawasan yang berhampiran dengan kereta kabel Langkawi itu dilihat sangat sesuai diwujudkan cadangan itu kerana selain menjadi tumpuan pelancong, ia juga mempunyai pemandangan yang menarik.

"Semua ini sedang dalam kajian dan akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat ini kerana di Langkawi terdapat kira-kira 50 orang pelukis, jadi eloklah jika ditempatkan mereka di satu tempat yang jadi tumpuan pelancong," katanya.

- Utusan

No comments: