BARU-BARU ini saya berkunjung ke Pulau Phuket, Thailand dengan tujuan untuk bercuti bersama isteri dan anak-anak. Ini merupakan lawatan kedua saya ke pulau peranginan itu. Kali pertama ketika dibawa oleh keluarga 13 tahun lalu. Ketika itu saya membandingkan Pulau Phuket dengan Pulau Langkawi tidak banyak bezanya.
Malahan dalam beberapa aspek Pulau Langkawi mendahului Pulau Phuket dalam kemajuan dan keunikan produk pelancongannya.
Namun begitu, pada hari ini Pulau Phuket umpama intan belian kepada negara Thailand. Pembangunan prasarana dan produk pelancongannya amat menarik sekali. Kebersihan dan keindahannya telah meninggalkan jauh Pulau Langkawi di belakang. Dengan pembangunan disusun rapi, ramai pelabur dalam dan luar negara membuka pelbagai perniagaan berasaskan pelancongan dan hospitaliti di sana.
Pelancong luar terutamanya Eropah dan Asia Timur berduyun-duyun ke sana. Satu-satu tempat kadangkala kelihatan penduduk tempatan seakan minoriti malah jika di restoran saya terasa seperti berada di negara Eropah kerana bilangan mereka mendominasi.
Kehadiran begitu ramai pelancong telah menyumbang kepada pendapatan penduduk setempat dan juga hasil kepada negara gajah putih itu. Sesekali perasaan iri hati dan cemburu terlintas di hati saya melihat kepada keadaan Pulau Phuket pada hari ini.
Kenapa Pulau Langkawi tidak seperti itu? Apa kurangnya pulau kita ini? Baru-baru ini satu kenyataan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Tun Mahathir menyatakan kerajaan negeri Kedah telah gagal mempromosi Langkawi sebagai pusat pelancongan terbaik di Malaysia amat tepat dan kena pada masanya.
Kenyataan tersebut berdasarkan fakta bahawa jumlah pelancong ke Langkawi semakin hari semakin berkurangan. Malah saya melihat industri pelancongan di Langkawi pada ketika ini hanya disokong oleh pelancong domestik sahaja, yang datang pada musim cuti sekolah atau cuti-cuti perayaan.
Sudah pasti tempat yang dituju hanya kedai-kedai coklat dan pinggan mangkuk sahaja. Apalah sangat tempiasnya kepada kemakmuran penduduk tempatan mahupun kepada negara jika dibandingkan perbelanjaan yang akan dibuat oleh pelancong asing terutamanya Eropah, sudah tentu ia berlipat kali ganda.
Saya terpaksa akui bahawa kegemilangan Langkawi sebagai pulau peranginan antarabangsa semakin lenyap di peta ejen-ejen pelancongan antarabangsa. Persaraan Tun Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri turut mengakibatkan Langkawi ‘dibersarakan’ juga.
Namun begitu, masih ada harapan dan doa agar kerajaan negeri dan Persekutuan tidak melupakan Langkawi sebagai intan belian Malaysia, malah kerajaan Kedah menggelarkan Langkawi sebagai Permata Kedah. Jika benar ia permata, maka tunjukkan bukti dan komitmen yang jitu agar permata ini terus bersinar dan mampu memberi cahaya kepada penduduk dam negara. Dalam memberi nafas baru kepada Langkawi, saya sebagai anak tempatan ingin memberi beberapa cadangan realistik untuk dipertimbangkan oleh kerajaan.
Pertama, bina hospital pakar swasta yang serba lengkap di Langkawi. Buat masa ini tiada hospital pakar swasta wujud di pulau peranginan ini. Ia bertujuan menggalakkan ‘pelancongan kesihatan’ seperti mana dilaksanakan di Singapura dan Thailand yang telah memberi pendapatan lumayan kepada negara.
~AL : Pendapat saya pelancongan kesihatan tidak diperlukan diLangkawi memandangkan Selangor & Pulau Pinang telah mempelopori usaha tersebut.. maka ada baiknya kita tidak membanjirkan pelancongan kesihatan tersebut.
Kedua, kerajaan mesti mewujudkan produk baru pelancongan dalam usaha menarik perhatian dan keghairahan pelancong untuk datang. Contoh produk baru ialah taman tema seakan Disneyland, ladang buah-buahan tropika, pulau joran yang dikhaskan untuk aktiviti memancing, akuarium dasar laut, kereta Api mengelilingi Langkawi dan Eye of Langkawi.
~ AL : Idea yg amat menarik. Seakan disneyland rasanya tak payah kot. Sbb pernah ada satu taman tema air yg dah tutup..
Ladang buah-buahan tropika telah ada.. Cuma mungkin perlu dipertingkatkan & diperluaskan..
PUlau Joran adalah yg paling menarik & bernas idea tersebut.. Ambik satu pulau.. kemudian letak tukun tiruan byk2.. Setelah bbrp ketika boleh anjurankan pertandingan joran..
Akuarium dasar laut dah ada kat Pulau Payar.. & keretapi mengelilingi langkawi tak praktikal rasanya.. & the eye.. jgnlo.. nnti jadi mcm melaka pulak.
Ketiga, modenkan prasarana dan kemudahan di situ terutamanya jalan raya dan perkhidmatan feri. Selain itu jaringan pengangkutan awam seperti teksi dan kereta sewa dipertingkatkan dan mengelak diskriminasi harga ketika musim tertentu yang secara langsung menganiaya pelancong yang datang.
~AL :- Sokong..
Keempat, majukan sektor perikanan yang berpotensi tinggi di perairan negara kita. Selama ini hasil laut kita banyak dikaut oleh nelayan asing seperti Thailand dan Indonesia yang menceroboh masuk secara haram. Jika aktiviti perikanan maju, ia boleh mewujudkan pelbagai produk hiliran yang lain dan secara tidak langsung menarik minat orang luar untuk melihat hasil produk perikanan kita.
~AL :- Langkawi yg dekat dgn lautan hindi adalah amat berpotensi utk dimajukan sbg pusat pendaratan ikan tuna.. Maka promosilah kepada nelayan2 di Langkawi utk perikanan laut dalam..
Kelima, kerajaan hendaklah memberi galakan kepada pihak swasta dalam memajukan hartanah di Langkawi. Ketika ini amat sukar mendapatkan ejen hartanah di Langkawi berbanding di Phuket yang tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan. Agensi hartanah boleh berperanan melariskan hartanah sama ada disewa atau dijual dan kemudian merangsang syarikat pembinaan melabur hartanah bernilai tinggi di Langkawi.
~AL :- Ini tak setuju.. NNti Langkawi jadi mcm Penang.. habis org tempatan merempat di kawasan sendiri.,. Kalau JV mungkin jadi.
Saya berharap kita dapat belajar sesuatu daripada negara jiran dalam memajukan industri pelancongan mereka yang memberi hasil amat lumayan.
Allah SWT telah menganugerahkan sebuah pulau yang cantik kepada Malaysia, jadi sebagai hambaNya sama-sama kita makmurkan anugerah ini.
Kembalikan kegemilangan Langkawi sebagai pulau pelancongan yang tersohor suatu ketika dulu demi kemakmuran dan kesejahteraan 1Malaysia. - Utusan
No comments:
Post a Comment