Advertisement :- Villa De Porto ~ A Private Gateaway in Langkawi

Tuesday, June 23, 2009

Mozarela kerbau pertama di Malaysia


BOHOR - Sekali makan, pasti nak lagi, demikian kata pemilik Friendly Farms Sdn Bhd (Friendly Farms), Norzana Ghazali, ketika memperkenalkan keju mozarela buatan tangan yang dihasilkan daripada susu kerbau dipercayai yang pertama di negara ini. Produk yang dihasilkan di sebuah premis terpencil di Kampung Nyior Chabang, di sini, kira-kira sebulan lalu mula mendapat perhatian apabila bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menulis dalam blog beliau http://www.chedet.com/.

Kini, Friendly Farms yang diusahakan bersama Norzana, 25, dan suaminya, Michael Bruschi, 53, seorang ahli perniagaan Itali yang berpengalaman dalam pembuatan keju dikunjungi ramai pelanggan untuk melihat produk itu secara lebih dekat. Norzana berkata, keju mozarela yang berasaskan susu kerbau bersama beberapa produk lain termasuk ‘fior di latte (diperbuat daripada susu lembu) dan potongan daging dipasarkan di bawah jenama Friendly Farms.

“Semua produk Friendly Farms dihasilkan secara buatan tangan di premis saya sendiri yang beroperasi di Kampung Nyior Chabang ini dengan menggunakan tenaga kerja terdiri daripada penduduk tempatan. “Pada masa ini, mutu produk kami khususnya keju mozarela mendapat pujian daripada chef berpengalaman daripada hotel terkemuka di pulau ini seperti Four Seasons Resort Langkawi dan The Datai Langkawi,” katanya.

Sementara itu, Bruschi berkata, beliau yakin keju mozarela yang dihasilkan syarikatnya mampu berkembang ke peringkat antarabangsa, malahan kualitinya lebih baik berbanding Itali iaitu negara pengeluar utama mozarela ketika ini. “Selepas mencuba ramai tidak mempercayainya, yang mozarela sebaik itu boleh dihasilkan daripada susu kerbau yang diternak di negara ini, dan sejak itu permintaan hampir tidak henti-henti dan bertambah setiap hari.

“Sehingga kini, kami mampu menghasilkan antara 10 hingga 15 kilogram mozarela sehari dan ia bergantung kepada bekalan susu kerbau daripada Taman Kerbau Langkawi milik Jabatan Perkhidmatan Haiwan berdekatan,” katanya. Mereka yang ingin mencuba keju mozarela yang berkelembapan tinggi dan kerap digunakan dalam hidangan piza boleh mendapatkannya terus dari Friendly Farms dengan harga antara RM100 dan RM150 sekilogram.

No comments: