LANGKAWI 13 Jun – Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu persatuan-persatuan sukan di negara ini menghindarkan politik, tetapi memberi tumpuan lebih serius kepada usaha membantu dan membangunkan bidang itu.
Timbalan Perdana Menteri berkata, pada masa ini, kebanyakan persatuan sukan terutama persatuan sukan golf dilihat tidak bergerak secara terancang dalam menganjurkan kejohanan yang boleh mencungkil bakat pemain muda.
Justeru, kata beliau, persatuan sukan berkenaan sama ada profesional atau amatur perlu menyusun semula organisasi mereka bagi melahirkan atlet yang lebih menyerlah di peringkat nasional dan antarabangsa.
“Persatuan yang lesu ini perlu menyusun kembali ‘rumah’ mereka supaya dapat memartabatkan sukan negara di samping menganjurkan kejohanan yang boleh disertai pemain junior.
“Ketepikan politik dalam sukan, tetapi lakukan lebih banyak kerja untuk membantu bakat-bakat sukan menyerlah. Kalau semua ini dapat dilakukan, saya percaya tahap sukan kita termasuk golf akan lebih baik daripada sekarang,” katanya pada majlis pelancaran kejohanan Cabaran Golf TSM 2009 di Tanjung Rhu di sini hari ini.
Sumber :- Mingguan Malaysia 15 June 09
No comments:
Post a Comment