Advertisement :- Villa De Porto ~ A Private Gateaway in Langkawi

Saturday, June 13, 2009

Sektor pelancongan masih kompetitif


KILIM - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, optimis sektor pelancongan mampu berkembang maju tatkala ekonomi negara berada diparas rendah. Bercakap kepada pemberita ketika lawatan percutian ke Kilim Geopark, beliau optimis pelbagai sektor pelancongan masih boleh dikembangkan.

Menurutnya, wabak H1N1 tidak menjadi penghalang merencatkan sektor pelancongan malah Malaysia masih lagi kompetitif dari segi penginapan, makanan dan pengangkutan terutamanya di Langkawi. “Tujuan lawatan ini adalah untuk meninjau projek-projek pembangunan sebagai mana yang diketahui Langkawi adalah salah sebuah pulau yang telah dibangunkan untuk pelancongan.

“Saya yakin lawatan ke Kilim Geopark ini masih mempunyai nilai eko-pelancongan yang tinggi terutamanya aktiviti memberi helang makan,”
katanya ketika lawatan percutian ke Kilim Geopark, di sini. Muhyiddin berkata, aktiviti seperti itu belum pernah dilakukan di mana-mana pusat pelancongan di negara ini dan berharap aktiviti tersebut dapat dikekalkan dan berterusan.

Menurutnya, alam semula jadi di kawasan Kilim harus dikekalkan supaya tidak tercemar dan perlu ada pihak bertanggungjawab sentiasa memantau serta mengawal selia supaya dapat menerima kehadiran pelancong berterusan. “Mengikut statistik Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), kenaikan sekali ganda pelancong berbanding tahun lepas menunjukkan pulau ini berpotensi dan masih menjadi pilihan pelancong,” katanya.

Beliau berkata, minat pelancong untuk datang semakin meningkat, khazanah yang diiktiraf oleh UNESCO ini perlu dipelihara sebaik mungkin. “Pihak bertanggungjawab perlu ada inisiatif berterusan termasuk pihak awam dan swasta untuk menambah produk-produk pelancongan supaya pulau ini terus menjadi pilihan pelancong,” katanya.

Dalam lawatan ke Kilim Geopark itu, beliau membuat tinjauan ke lokasi percutian penting di Gua Kelawar, Taman Ikan, Pulau Anak Tikus dan tempat memberi burung helang makan.

Sinar Harian 12/6/09

No comments: