BUKIT MALUT - Walaupun telah meninggalkan perkhidmatan angkatan tentera lebih dari 30 tahun, namun pelbagai kenangan dan pandangan dilontarkan oleh lapan anggota bekas tentera di Pengkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Markas Wilayah Laut 3 (Mawilla 3), Bukit Malut.
Pada Majlis Mesra itu, segala kenangan dikongsi bersama Panglima Wilayah Laut Tiga, Laksamana Pertama Datuk Abdul Ghani Othman yang sanggup meluangkan masa kira-kira dua jam dalam satu majlis ringkas bersama ahli Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) cawangan Langkawi.
Menurut Abdul Ghani, pertemuan tersebut adalah kali pertama yang dianjurkan dan ia cukup bermakna dalam keanggotaannya sejak menerajui Mawilla 3. “Banyak perkara yang kami bualkan, antaranya membuka peluang meningkatkan ekonomi bekas tentera, mengambil tahu kehidupan mereka selepas bersara dan mengesyorkan kepada mereka tentang e-pendaftaran.
“Malah mereka juga menjadi pendengar pertama lagu 1 Malaysia yang didendangkan oleh unit koir TLDM,” katanya selepas majlis itu. Abdul Ghani berkata, ikatan silaturahim bekas tentera sentiasa kuat dan akan terus kekal walaupun mereka tidak lagi aktif dalam medan perang tetapi dengan cara ini segala nostalgia akan tergambar semula.
Sementara itu, Pengerusi PBTM cawangan Langkawi, Shuib Hussein berkata, lawatan itu adalah sebahagian daripada kunjungan hormat terhadap pemerintah di Zon Wilayah Utara. “Kami telah membuat perancangan lebih sebulan untuk laksanakan program ini dan akhirnya kami berjaya walaupun hanya sebilangan kecil yang hadir,” katanya.
Beliau berkata, pertemuan ini bukanlah satu titik akhir malah kunjungan lain akan dilakukan mengikut waktu lapangan yang ada antara kedua-dua pihak. “Bidang ketenteraan sekarang sudah banyak berubah, kini segala kemudahan dan peralatan persenjataan lebih canggih dan berteknologi tinggi.
“Tetapi kami yakin dengan apa yang ada sekarang ini, keselamatan perairan negara akan lebih terjamin dengan kecekapan anggota TLDM yang berpengkalan di sini,” katanya. Beliau berkata, setakat ini terdapat kira-kira 250 ahli PBTM di seluruh Langkawi yang aktif dengan membabitkan diri dalam sebarang penganjuran aktiviti yang diadakan.
Sinar Harian ~ 19 June 09
No comments:
Post a Comment