Advertisement :- Villa De Porto ~ A Private Gateaway in Langkawi

Friday, June 26, 2009

Pengusaha hotel perlu dapatkan SPB

KUAH - Exco Pelancongan dan Pembangunan Masyarakat negeri, Mohammad Radzhi Salleh mengingatkan pengusaha hotel di Langkawi supaya memperbaharui atau mendapatkan Sijil Perakuan Bomba (SPB) sebelum tindakan undang-undang dikenakan. Mohammad Radzhi berkata, tempoh yang diberikan adalah sehingga hujung bulan ini, memandangkan SPB penting dan melibatkan keselamatan pelanggan, terutama ketika berlaku kebakaran.

Menurutnya, kebanyakan pengusaha hotel di pulau ini telah memperoleh sijil berkenaan tetapi telah tamat tempoh dan mereka gagal memperbaharuinya mengikut tempoh yang ditetapkan. “Kami telah mengenal pasti beberapa hotel tersebut, malah pihak bomba juga telah maklumkan, operasi pemeriksaan juga giat dilakukan. “Kami berharap pengusaha hotel mengambil berat mengenai perkara terbabit dan jangan terlepas pandang mengenai perkara ini.

Ada juga sebilangan hotel yang gagal mengemukakan lakaran pelan bangunan yang diubah suai kepada bomba,” katanya ketika dihubungi. Mohammad Radzhi berkata, daripada perbincangan yang telah dilakukan dengan pihak hotel, semua hotel bersetuju dan akur dengan arahan daripada pihak bomba dan kerajaan negeri.

Menurutnya, ketiadaan sijil perakuan itu menyukarkan bomba mengetahui laluan dan pintu keselamatan jika berlaku kebakaran. “Bomba mempunyai hak untuk mengambil tindakan undang-undang di mengikut Akta Perkhidmatan Bomba 1988, sekiranya perkara ini dipandang remeh oleh pengusaha hotel,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri berharap pihak hotel dapat mewujudkan atau melakukan latihan daripada Pasukan Bertindak Kecemasan dari masa ke semasa. “Pulau ini adalah pulau pelancongan tersohor, kehadiran pelancong semakin bertambah malah kedatangan Pameran Antarabangsa Udara dan Maritim Langkawi (LIMA 2009) akan bermula 1 Disember ini, mendorong kehadiran lebih ramai pelancong ke sini.

“Oleh itu, semua faktor keselamatan harus dikenal pasti dari sekarang, bagi menjanjikan keselamatan penginapan berada di tahap memuaskan,” katanya. Kelmarin, Penolong Kanan Penguasa Bomba Kedah, Md Saad Napi menggesa pemilik 30 hotel di negeri ini supaya segera mendapatkan sijil berkenaan.

Semua hotel berkenaan didapati masih menangguhkan proses mendapatkan sijil perakuan itu walaupun lama beroperasi, terutama di Langkawi.

Anaklangkawi :-

Rata2 hotel yg dimaksudkan dimiliki oleh org Melayu. Kebanyakan daripada mempunyai hotel & tidak mempunyai SPB. Saya mencadangkan satu pertemuan dgn pengusaha hotel dgn bomba dilakukan & digerakkan oleh ADUN agar perkara ini dapat diselesaikan.

Malah utk pihak hotel mengetahui apakah keperluan minimum utk mendapat @ renew sijil SPB.

Sinar Harian- 25/6/09

No comments: