Advertisement :- Villa De Porto ~ A Private Gateaway in Langkawi

Sunday, August 30, 2009

Banjir gelombang kedua melanda Langkawi

KEDAWANG - Hampir suku daripada Langkawi lumpuh apabila menerima gelombang kedua ribut banjir sejak petang kelmarin. Hanya berselang 48 jam dari gelombang pertama sebahagian besar pulau itu dengan melibatkan mukim Kedawang, Padang Matsirat dan Bohor terjejas teruk.

Kawasan bendang berubah dengan sekelip mata menjadi lautan, puluhan haiwan ternakan terkandas di tengah bendang dan paling menyedihkan beratus mangsa berpindah ke Pusat Pemindahan Banjir di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kedawang, Mukim Kedawang. Dalam kejadian lewat petang semalam, hujan lebat tidak berhenti diikuti ribut menyebabkan anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), pasukan bomba dan penyelamat, polis, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Pusat Kesihatan Padang Matsirat berkawal dan berkampung di Pusat Pemindahan banjir di SMK Kedawang selama 24 jam.

Sehingga jam tiga pagi kelmarin, seramai 360 orang dengan 75 keluarga dicatatkan berpindah ke pusat itu dan sehingga jam dua petang semalam, jumlah keseluruhan menjadi 500 orang melibatkan 100 keluarga. Kampung yang terjejas teruk adalah Kampung Belak, Paya Mempelam, Bohor Tempoyak, Tanjung, Bohor Masjid, Gelam, Bukit Kemboja, Nyior Chabang, Lubuk Setol, Bohor Berendan dan sekitar Padang Matsirat. Namun kawasan sekitar Pantai Chenang yang menjadi tumpuan pelancong terselamat dari bah kedua yang dianggap paling tragis bagi tahun ini.

Menurut Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat, Yaakob Othman, seramai 16 orang diarah untuk memindahkan mangsa dengan kerjasama JPAM. Menurutnya, pihak bomba memantau seluruh kawasan terjejas dan memindahkan mereka ke Pusat Pemindahan Banjir di SMK Kedawang. “Kami mengerakkan dua kumpulan anggota dari Balai Persiaran Putera dan Ayer Hangat, kami berkawal dari petang kelmarin sehingga keadaan pulih.

“Kami melakukan pemantauan serta memindahkan mangsa ke pusat pemindahan yang dibuka mengikut mukim, buat masa ini tiada sebarang kemalangan jiwa berlaku,” katanya ketika ditemui di Pusat Pemindahan Banjir di SMK Kedawang. Sementara itu, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Gelam, Said Othman berkata punca utama banjir disebabkan oleh pintu air atau kunci air yang terdapat di Kuala Chenang begitu sempit dan gagal mengalirkan air dari bendang sekitar Kedawang sehingga menyebabkan limpahan berlaku.

Menurutnya, kejadian berlaku seolah-olah mengimbau kejadian tsunami lima tahun lalu yang mana kawasan ini terjejas teruk sehingga pangkalan nelayan ini musnah dan terdapatbot nelayan hanyut sehingga merosakkan kediaman dan kenderaan berhampiran. “Kami merayu kepada Jabatan Pengaliran dan Saliran menambah pintu air, dalam kejadian hari ini tembok pintu air tersebut hampir roboh dan kami terpaksa berpindah dan menyelamatkan harta benda,” katanya.

Pada kejadian bermula jam enam petang kelmarin, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuah, Datuk Ir Nawawi Ahmad, Pergerakan Pemuda dan Putera UMNO, Persatuan Belia bertungkus lumus menyediakan hidangan berbuka di pusat pemindahan tersebut.

Manakala bagi juadah bersahur, ia disumbangkan Ahli Parlimen Datuk Paduka Abu Bakar Taib dan Yang Dipertua Pas, Zubir Ahmad. Jabatan Kesihatan Padang Matsirat turut mengadakan pemeriksaan kesihatan diikuti polis dan JKM mengumpul segala maklumat mangsa sehingga kini. Sehingga jam dua petang semalam, mangsa di Pusat Pemindahan Banjir di SMK Kedawang terus bertambah dan semakin sesak

Sinar Harian 30/8/09

Anaklangkawi :-
Kalau semua ahli politik begini .. aman & nyaman org2 langkawi.. Apa2pun ni merupakan dugaan kepada keluarga yg terlibat.

No comments: