KEDAWANG - Seramai 149 orang daripada 28 keluarga dicatatkan berpindah ke pusat pemindahan banjir ke tiga di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kedawang di Mukim Kedawang apabila hujan berserta ribut melanda sekitar kawasan itu sejak jam 3 petang kelmarin.
Hujan lebat tanpa henti itu mengakibatkan beberapa kawasan dilanda banjir sekitar Padang Mat Sirat, Kampung Simpang Kenyum dan Mukim Kedawang. Penghulu Mukim Kedawang, Ahmad Suhaidi Ibrahim berkata, semua mangsa dipindahkan pada jam 6 petang semalam dengan bantuan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).
Menurutnya, mangsa adalah penduduk di kampung sekitar Mukim Kedawang dan semua mangsa telah diambil maklumat dan bancian bagi menyalurkan sumbangan. Seorang mangsa dari Kampung Belah, Salmah Hashim, 35, berkata, kejadian itu adalah kedua yang pernah dialaminya sejak enam tahun lalu.
Menurutnya, kejadian pertama pada tahun 2004 sebelum bencana tsunami melanda Langkawi dan ketika itu dia sedang sarat menggandung. “Kami redha dengan ujian Allah, kami berbuka puasa di sekolah bersama jiran tetangga dan berkongsi hidangan yang diberi.
“Saya hanya terkenangkan anak-anak yang berbuka secara ala-kadar tiada lauk istimewa seperti tahun lepas,” katanya ketika ditemui di sekolah tersebut. Salmah berkata, dalam keadaan banjir di rumahnya, dia dan anak-anak terpaksa mengutip lintah bagi mengelakkan ia memasuki kawasan dalam rumah sebelum mengambil keputusan untuk berpindah ke pusat pemindahan banjir.
“Ini adalah pengalaman berguna kepada anak-anak, mereka rasa susah dan senang di masa banjir melanda kampung ini, kejadian ini juga mengajar mereka erti kesabaran,” katanya. Seorang lagi mangsa, Nuramirah Basiron, 15, berkata, pengalaman banjir di bulan Ramadan adalah rahmat dan dugaan yang besar dari Allah SWT.
“Saya menginap di asrama, saya harapkan dapat berbuka dan bersahur bersama keluarga dengan hidangan istimewa tetapi lain hasrat itu tidak kesampaian apabila kami dilanda banjir. “Tetapi itu tidak mengecewakan saya, kerana masa susah ini saya dapat bersama keluarga membantu mereka dan inilah pengalaman pertama di bulan Ramadan yang benar-benar menguji kami,” kata pelajar yang menginap di asrama Sekolah Menengah Langkawi, Pulau Tuba.
Sinar 26/8/09
No comments:
Post a Comment