PADANG MATSIRAT - Tiga kawasan Mukim di Langkawi ditenggelami air setinggi satu meter dalam kejadian banjir kilat kelmarin. Hujan yang berlarutan sejak malam 22 Ogos mengakibatkan Mukim Padang Matsirat, Ulu Melaka, Bohor dan beberapa kawasan di Kedawang terjejas teruk. Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Hangat, Mohd Rawi Abdul Hamid, kejadian banjir ini disebabkan oleh perubahan muka bumi di Langkawi.
“Air dari Gunung Raya mengalir ke laut, manakala laut pula mengalami ombak besar dan terdapat banyak rumah di persisiran itu secara polar berjajar mengakibatkan rumah mereka menjadi laluan air. “Keadaan laluan air yang dibuat oleh Jabatan Pengairan dan Saliran 10 tahun lalu sudah tidak relevan, memandangkan terdapat banyak rumah dan evolusi muka bumi telah berubah,” katanya ketika ditemui di Dewan Orang Ramai Kuala Teriang.
Mohd Rawi berkata, pihak JPS perlu menambah baik sistem laluan air di Lubuk Setol ke Padang Matsirat dan mendalamkan sungai untuk mengelakkan kejadian ini berlaku lagi. Menurutnya, semua mangsa banjir diminta membuat tafsiran dengan membuat laporan polis termasuk kemusnahan barangan dan bendang. “Mangsa di pusat pemindahan banjir diharap terus tinggal di dewan ini, Jawatan Kemajuan Kampung Persekutuan (JKKKP) akan terus memantau keadaan cuaca sehingga mereka dibenarkan pulang ke rumah masing-masing,” katanya.
Tinjauan Sinar Harian pada jam lima petang mendapati, keadaan semakin genting apabila paras air mula meningkat secara mendadak hingga menjangkau kira-kira dua meter. Sementara itu, Pegawai Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Langkawi, Kapten Khairul Hisyam Husni berkata, banjir kilat berkenaan dipercayai berpunca dari limpahan air dari kawasan sawah berdekatan yang bertembung dengan Sungai Kuala Melaka dan air laut pasang besar berikutan hujan lebat sejak dua hari lalu.
Beliau berkata, air naik perlahan-lahan setinggi 0.5 meter (m) atau separas pinggang orang dewasa sejak jam 1.30 petang kelmarin dan sehingga kini keadaan masih tidak berubah. Sejurus menerima maklumat awal menunjukkan ada tanda paras air akan meningkat pada jam 11 pagi, kami melancarkan operasi pemantauan di beberapa kampung termasuk Kampung Ulu Melaka dan Kampung Atas di Padang Matsirat. “Menjelang jam 5 petang paras air di kebanyakan rumah di Kampung Atas mencapai 0.5 meter, lalu operasi memindahkan penduduk dilakukan dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat,” katanya ketika ditemui.
Beliau berkata, pagi semalam operasi memindahkan penduduk masih diteruskan apabila dua keluarga dari Kampung Kuala Teriang dipindahkan ke dewan orang ramai kampung berkenaan mulai jam 7 pagi. Pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat yang diketuai oleh Ishak Hashim pula, mengarahkan 30 anggota memantau kawasan digenangi banjir di seluruh kawasan Padang Matsirat serta berkawal sedia 24 jam.
Sinar Harian 25/8/09
Anaklangkawi :-
Banjir yg jarang2 berlaku.. Elokla pi pakat tolong2.. jgn biaq anak dok pi main ayiaq acaq
No comments:
Post a Comment