Advertisement :- Villa De Porto ~ A Private Gateaway in Langkawi

Friday, August 28, 2009

Tiada lagi projek gajah putih

KUAH -Tiada lagi projek gajah putih di Langkawi selepas Jawatankuasa Pemantauan diwujudkan bagi memantau semua projek terbengkalai di pulau peranginan itu. Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan (MTP) Negeri Kedah Datuk Mohd Johari Baharum berkata, jawatankuasa itu akan bekerjasama dengan Lembaga Pembangunan Langkawi (Lada), dalam memastikan semua projek terbengkalai di Langkawi diselesaikan segera.

Menurutnya, jawatankuasa terlibat merangkumi Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)dan dipengerusikan oleh beliau sendiri. “Projek sedia ada akan diteruskan dan akan dipantau oleh Unit Penyelarasan Perlaksanaan dari Jabatan Perdana Menteri sehingga selesai,” katanya ketika mempengerusikan Mesyuarat Tindakan Persekutuan Negeri Kedah ke-5 di Kuah.

Hadir sama, Pengarah Bahagian Khas Unit Penyelarasan Perlaksanaan dari Jabatan Perdana Menteri Datuk Zaki Ansori, Bahagian Pembangunan Negeri Kedah, Hazir Md.Zain, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuah, Datuk Ir Nawawi Ahmad, ADUN Ayer Hangat, Mohd Rawi Abdul Hamid dan Timbalan Lada, Hanaffi Ahmad. Mohd Johari berkata, sehingga Ogos 2009, prestasi keseluruhan projek Rancangan Malaysia ke-9 di Kedah adalah 56.56 peratus berbanding prestasi purata nasional 62.54 peratus.

Menurutnya, prestasi projek Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) di Kedah dalam tempoh pertama adalah 73.53 peratus manakala PRE kedua hanyalah 14.21 peratus. “PRE Pertama masih terdapat 367 projek dalam peringkat penyediaan dokumen dan 1,256 di peringkat tawaran,” katanya.

Beliau berkata, mesyuarat turut membincangkan mengenai sistem pengenalan kupon bagi memberi bantuan dalam pembasmian miskin tegar. “Sebanyak RM 60.2 juta diperuntukkan dalam rancangan e-kasih dan kami akan bekerjasama dengan ADUN untuk mengemas kini data bagi melayakkan mereka menerima bantuan tersebut,” katanya.

Sementara itu, beliau turut meninjau jambatan sepanjang 35 meter di Pandak Mayah yang terbengkalai hampir lima tahun yang bernilai lebih RM30 juta dan Kompleks Pekan Rabu. “Jambatan tersebut akan siap sebelum Pameran Antarabangsa Udara dan Maritim Langkawi (Lima 2009) Disember ini.

“Jawatankuasa Pemantauan akan memantau sehingga kerja terakhir dilaksanakan dan difahamkan hanya 4 peratus sahaja untuk disiapkan,” katanya. Selain itu, beliau berkata, projek terbengkalai dan berpotensi untuk dimajukan seperti di Kampung Buku, Pulau Tuba dan pulau lain akan turut diberi perhatian. '

Anaklangkawi :-
*Tu dia.. elokla.. Takdak lagi projek2 mengarut macam Kg Buku Lubuk Semilang, Pulau Bunga, & berbagai lagi projek mengarut dikala zaman mantan MB dulu (paham2la projek sapa).. cuma jgn proksi dia buat balik benda yg sama dahla bila dapat peruntukan..

Sinar Harian 28/8/09

No comments: