Advertisement :- Villa De Porto ~ A Private Gateaway in Langkawi

Saturday, August 15, 2009

25 sekolah jayakan program 3P ~ Kuah

KUAH - Penggiat destinasi pelancongan bekerjasama dengan 25 sekolah menengah di Kedah dalam program Pakej Pelancongan Pelajar (3P) yang dianjurkan oleh Lembaga Penggalakan Pelancongan Negeri Kedah. Pengerusi Majlis Tindakan Pelancongan Negeri Kedah, Osman Aziz berkata, pelajar didedahkan dengan lokasi dan tempat pelancongan unggul bagi menyalurkan semula maklumat kepada rakan mereka. Menurutnya, menjelang hujung tahun ini seramai 1,000 pelajar dijangka datang ke Langkawi bagi tujuan bercuti sambil menimba ilmu.

“Pelajar didedahkan dengan enam ikon iaitu, Galeria Perdana, Kraf Malaysia, Underwaterworld, Wildlife Park, Oriental village dan Kota Mahsuri. “Selain itu aktiviti 3P turut menekankan peluang pekerjaan dalam industri pelancongan seperti agen pelancongan, pemandu pelancong dan perhotelan,” katanya ketika majlis Makan Malam Program 3P di Dewan Kampung Wang Tok Rendong.

Osman berkata, program 3P ini adalah anjuran kali ke empat, di mana tiganya dilakukan di tanah besar dengan pelajar dari Langkawi dibawa untuk menyertai program tersebut. Pada program itu pelbagai aktiviti dilakukan seperti eksplorasi, menanam pokok dan persembahan kebudayaan. Kolej Sultan Tunku Abdul Hamid muncul juara keseluruhan dengan memungut markah 88.3 dan menerima hadiah RM1,000, diikuti tempat kedua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Panglima Besar dan ketiga SMK Jabi, Pokok Sena.

No comments: