Advertisement :- Villa De Porto ~ A Private Gateaway in Langkawi

Tuesday, September 1, 2009

Keju susu kerbau ~ Pelancongan


SEKALI makan, pasti hendak lagi! Itulah kata-kata tepat untuk menggambarkan keenakan keju mozzarella buatan tempatan yang dihasilkan daripada susu kerbau dipercayai yang pertama di negara ini.Produk itu yang dihasilkan di sebuah premis terpencil, Friendly Farms Sdn Bhd (Friendly Farms) di Kampung Nyior Chabang, Langkawi, Kedah semakin mendapat perhatian ramai selepas pertama kali diperkenalkan akhir tahun lalu.

Rahsia keju mozzarella diminati ramai walaupun usianya belum genap setahun, terutama selepas mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menulis mengenainya di dalam blognya yang popular www.chedet.com.Diusahakan bersama oleh Michael Bruschi, 53, dan isterinya, Norzana Ghazali, 25, keju mozzarella mendapat permintaan tinggi daripada hotel terkemuka sekitar Langkawi, termasuk Four Seasons Resort Langkawi dan The Datai Langkawi.

Bruschi, ahli perniagaan berasal dari Itali yang berpengalaman dalam pembuatan keju berkata, pada peringkat permulaan Friendly Farms lebih menumpukan kepada aktiviti menjual daging halal dan organik.

“Bagaimanapun, selepas melihat pasaran keju mozarella boleh berkembang di negara ini, kami mengusahakannya secara kecil-kecilan sebelum ia kini muncul sebagai produk utama Friendly Farms.“Selain keju mozarella, kami memasarkan ‘fior di latte’ (produk makanan diperbuat daripada susu lembu) dan potongan daging di bawah jenama sama.

“Semua produk kami dihasilkan secara buatan tangan di premis sendiri yang beroperasi dalam kampung tradisi Melayu dengan menggunakan tenaga kerja daripada penduduk tempatan,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.Beliau berkata, keju mozzarella dari Friendly Farms turut menjadi pilihan utama ekspatriat di Langkawi, termasuk yang tinggal di kapal persiaran mewah di Telaga Harbour Park.Sementara itu, Norzana yakin keju mozzarella dihasilkan syarikatnya mampu berkembang ke peringkat antarabangsa kerana kualitinya lebih baik, termasuk jika dibandingkan dengan produk pengeluar utama mozzarella dunia, Itali.

“Selepas mencuba, ramai tidak percayai mozzarella sebaik ini boleh dihasilkan daripada susu kerbau yang diternak di negara ini, dan sejak itu permintaan hampir tidak henti-henti dan bertambah setiap hari.“Sehingga kini kami mampu menghasilkan antara 10 hingga 15 kilogram mozzarella sehari dan ia bergantung kepada bekalan susu kerbau dari Taman Kerbau Langkawi milik Jabatan Perkhidmatan Haiwan berdekatan,” katanya.Beliau berkata, keju mozzarella bersifat lembut dan berwarna putih serta boleh diparut untuk taburan serata, berstruktur serat, bersifat cair ketika panas, selain anjal apabila ditarik dan mempunyai bau serta rasa yang lembut.

“Kami berpegang teguh pada prinsip keju mozarella yang bagus hanya boleh dihasilkan daripada susu yang baik. Susu yang baik dihasilkan daripada kerbau ternak yang terawat dengan sempurna.“Kami berbangga kerana berjaya menghasilkan keju bermutu dan lazat seperti keluaran negara lain, malah lebih baik lagi,” katanya yang yakin perniagaan berkenaan akan berkembang maju di Malaysia dalam tempoh terdekat.

Norzana berkata, mereka yang ingin mencuba keju mozzarella yang berkelembapan tinggi dan kerap digunakan dalam hidangan pizza boleh mendapatkannya terus daripada Friendly Farms dengan harga promosi antara RM100 dan RM150 sekilogram.

No comments: