JIKA dulu, pulau peranginan atau kota bersejarah menjadi aspek pertama diambil kira ketika merancang percutian, kini, cita rasa manusia berbeza.Sesuai dengan peredaran zaman, pengalaman menaiki pengangkutan seperti belon udara, kereta api dan kapal layar menjadi pilihan untuk bersantai. Percutian dengan kapal layar walaupun baru tetapi popular di kalangan pasangan yang masih berbulan madu dan kini mendapat permintaan tinggi terutama di pulau peranginan utama negara seperti Langkawi. Peluang bercuti di atas kapal mengelilingi pulau legenda itu ketika membuat liputan majlis perkahwinan pemenang pertandingan ‘Love Me Do’, bulan lalu memang menyeronokkan.
Ketika menaiki kapal layar Crystal, di atas dek, pemiliknya, warga Kanada, Allan Scott bersama isteri, Ryoko menyambut penulis dan wakil media dengan senyuman mesra.
Hiasan ringkas dengan dominasi warna putih tanpa susun atur perabot yang berselerak menerbitkan mood santai.Ruang deknya sesuai dijadikan lokasi berkelah dan berjemur. Kapal belayar meredah ombak Laut Andaman sebelum berlabuh seketika berhampiran gugusan pulau kecil dekat Pulau Dayang Bunting. Tanpa menghiraukan sinaran matahari yang terpacak di atas kepala, kami menukar pakaian mandi untuk mencuba satu lagi pengalaman baru iaitu spa ombak laut.
Tiada bilik rawatan khusus disediakan, namun jaring besar boleh memuatkan hingga 10 orang pada satu masa. Sekali pandang, jaring berkenaan kelihatan tidak begitu meyakinkan terutama untuk mereka yang fobia air atau tidak mahir berenang. Namun, percayalah rasa khuatir tadi akan hilang sebaik anda bersandar dalam jaring spa ini.Duduk bersantai sambil membelai diri dalam jaring besar ini memberi pengalaman baru yang sukar diungkapkan dengan kata-kata.
Alunan ombak lembut membuai badan membuatkan anda seolah-olah berada di awangan. Tiada peraturan tertentu perlu dipatuhi apabila berada dalam jaring ini. Sebaliknya, anda bebas bergerak dan menukar posisi sama ada duduk, melentang, mengiring atau meniarap. Bagi yang tidak gemarkan berendam di jaring, banyak aktiviti boleh dilakukan di atas dek kapal termasuk meneroka setiap sudut kapal ini. Ada yang mengabadikan gambar kenangan seolah-olah sedang mengemudi haluan kapal, mendengar muzik atau membaca bahan bacaan.
Pada masa sama, tetamu dapat menikmati pemandangan indah apabila kapal layar ini perlahan-lahan mengelilingi gugusan pulau kecil yang membentuk kepulauan Langkawi.Jika lapar, anda boleh menikmati hidangan bufet salad, sate, makanan laut dan buah-buahan sambil melihat pemandangan alam.Selain itu, menerusi syarikat Crystal Yacht Holidays, pihaknya turut menyediakan perkhidmatan persiaran dan tempahan khas.
“Kami menyediakan pakej menyaksikan matahari terbenam, persiaran cabaran eko, persiaran malam, persiaran peribadi untuk majlis perkahwinan, bulan madu, sambutan ulang tahun atau bina semangat,” katanya.
>Info
Selain Crystal, ada banyak syarikat di Langkawi yang menawarkan pengalaman menaiki kapal layar dengan tawaran pelbagai pakej daripada makan malam sambil menyaksikan matahari terbenam, pelayaran mengelilingi pulau sehingga yang melangkau sempadan untuk ke pulau peranginan Phuket. Perkembangan marina baru di beberapa lokasi strategik termasuk Telaga Harbour, Rebak Marina Resort selain Awana Porto Malai juga merancakkan lagi percutian kapal layar ini.
Saiz kapal untuk tujuan ini meliputi dari enjin bermotor atau 83 meter panjang. Kapal Lili Marleen milik Blue Water Star Sailing, umpamanya boleh menampung kapasiti sehingga 50 orang pada satu masa sesuai dijadikan lokasi penganjuran majlis keraian seperti resepsi perkahwinan sambil belayar mengelilingi pulau. Jika mahu lebih privasi, anda boleh memilih kapal lebih mewah dengan kapasiti 10 orang yang mampu ditempah pada harga RM2,500 sejam termasuk hidangan makanan dan wain untuk mereka yang bukan beragama Islam. Pelayaran mewah menaiki kapal layar tradisional dengan enam penumpang memakan belanja sekitar RM5,000 untuk tempoh lapan jam.
Jika tidak pun, anda mempunyai pilihan untuk menikmati pelayaran menyaksikan matahari terbenam selama empat jam dengan harga sekitar RM3,300.Kapal lebih kecil menawarkan kos lebih murah sekitar RM3,000 untuk empat orang bagi pelayaran sepanjang hari. Jika mereka yang mahu menikmati suasana bayu laut selepas senja boleh mencuba pelayaran malam pada harga sekitar RM4,700.
TIP BERCUTI ATAS KAPAL
> Bawa pakaian mandi yang sesuai berikutan kapal ada kalanya berlabuh di tengah laut atau berhampiran persisiran pantai. Cermin mata diperlukan terutama untuk yang tak tahan panas.
> Losyen tabir suria perlu dibawa jika anda tidak mahu digelapkan oleh pancaran matahari. Topi juga mungkin membantu melindungi anda daripada cuaca panas terik.
RUJUKAN PERCUTIAN
Crystal Yacht Holidays
Blue Water Star Sailing
1 comment:
Salam...
boleh emailkan saya tak
harga utk kapal layar berkapasiti 25 orang cmtuh?
tolong emailkan pada nazilymuhaimin@yahoo.com
thanks
Post a Comment