Advertisement :- Villa De Porto ~ A Private Gateaway in Langkawi

Friday, October 30, 2009

ATM Kendali Pusat Perkhidmatan Perubatan Untuk LIMA 09

LANGKAWI, 28 Okt (Bernama) -- Buat pertama kalinya pasukan perubatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan mengendalikan pusat perkhidmatan perubatan sempena Pameran Maritim dan Udara Antarabangsa Langkawi 2009 (LIMA '09) di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) mulai 1 hingga 5 Disember ini.Pengarah operasi perubatan LIMA 09, Brig-Jen Datuk Dr Samiran Sarijan berkata 96 pegawai dan anggota termasuk 20 doktor dan pakar perubatan dari pelbagai unit ATM akan ditugaskan sepanjang tempoh Lima 09 itu.

"Sebuah hospital medan yang boleh menampung 150 katil akan disediakan di Pusat Pameran MIEC yang menjadi dewan utama pameran segmen udara," katanya kepada pemberita selepas latihan mencari dan menyelamat (SAREX LIMA 09) di sini pada Rabu.Beliau berkata pasukan perubatan ATM akan bekerjasama dengan unit perubatan Kementerian Kesihatan bagi mengendalikan kes-kes kecemasan termasuk jika terpaksa menerbangkan pesakit ke hospital di Alor Setar atau Pulau Pinang.

Sementara itu Pengarah latihan SAREX LIMA 09, Brig-Jen Datuk Ansar Ali Majeth berkata latihan Sarex yang diadakan selama dua hari itu berjalan lancar dan menguji keberkesanan serta kecekapan agensi-agensi kerajaan untuk mengatasi sebarang masalah jika berlaku kecemasan.Katanya lebih 300 pegawai dan anggota dari 20 agensi termasuk dari Penerbangan Malaysia (MAS) serta Air Asia menyertai latihan yang dikendalikan sepenuhnya oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Jabatan Penerbangan Awam.

-- BERNAMA

No comments: