Advertisement :- Villa De Porto ~ A Private Gateaway in Langkawi

Thursday, October 15, 2009

Latihan Hadapi Tsunami Di Langkawi Berjaya ~ Kuala Melaka


LANGKAWI, 14 Okt (Bernama) -- Lebih 1,000 penduduk kampung dari kawasan Kuala Triang dan Kuala Melaka di sini tidak panik dengan siren amaran tsunami sebaliknya mereka tahu untuk menyelamatkan diri dengan segera mengosongkan rumah masing-masing dan pergi ke tempat lebih tinggi. Demikian tindakan pantas dan tenang penduduk enam buah kampung apabila mereka dikejutkan dengan siren kecemasan yang meminta mereka berpindah. Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Pengurusan Bencana, Majlis Keselamatan Negara, Rodzi Md Saad berkata, penduduk di kawasan itu telah memberi kerjasama yang baik dalam latihan dikenali Indian Ocean Wave 2009 hari ini.

Latihan itu adalah yang pertama kali diadakan secara serentak di 27 negara di sekitar Lautan Hindi dengan amaran tsunami dikeluarkan oleh Putrajaya ke Langkawi setelah menerima isyarat dari pusat pemantauan tsunami di Hawaii dan Tokyo. Amaran tsunami itu dikeluarkan pada 9.30 pagi tadi manakala 1,270 penduduk kampung itu tidak dimaklumkan mengenai latihan berkenaan."Mereka menganggap ia adalah kejadian sebenar dan tidak panik," kata Rodzi. Beliau menyifatkan latihan itu sebagai berjaya kerana kesemua sembilan agensi kerajaan termasuk pasukan polis yang terlibat dalam latihan itu dapat berkomunikasi dengan berkesan dan menyelaras tugas dengan baik.

Katanya sistem perhubungan yang diuji itu didapati berkesan dan penduduk mempunyai kesedaran yang tinggi untuk bertindak menghadapi kemungkinan berlakunya bencana tsunami.Malah dalam latihan itu, seorang wanita mengandung telah segera dihantar ke Hospital Daerah Langkawi oleh suaminya manakala seorang lelaki warga emas yang lumpuh dipindahkan ke rumah keluarganya di kawasan lain kerana mereka percaya ia kejadian sebenar.

Seorang penduduk, Embun Hassan, 53, ketika ditemui berkata, beliau menyangkakan tsunami benar-benar berlaku dan menyuruh keluarganya keluar dari rumah dengan segera."Tak apalah, bagus juga buat latihan macam ini dan kami memang sentiasa bersedia sebab kawasan ini dulu dilanda tsunami," kata beliau, merujuk kepada kejadian tsunami berpusat di Aceh pada 26 Dis 2004 yang mengakibatkan lebih 200,000 rakyat Indonesia terbunuh, dan tempiasnya dirasai di beberapa negara termasuk Malaysia.

Embun berkata penduduk di kampung itu masih merasa gerun dengan kejadian tsunami yang mereka alami dahulu dan disebab itulah mereka sentiasa bersedia jika diminta berpindah jika berlakunya kejadian serupa. Ketua Polis Daerah Langkawi Supt Ishjak Hasan, yang mengetuai latihan itu, memuji sikap penduduk kampung di kawasan itu kerana kesemua mereka telah mengosongkan rumah sebaik sahaja menerima arahan berbuat demikian.

"Kita membuat rondaan di semua kawasan terlibat dan mendapati kesemua penduduk telah berpindah dengan segera dan ini adalah satu sikap yang sangat dibanggakan," katanya.Lebih 200 petugas dari pelbagai jabatan termasuk Polis, Jabatan Pertahanan Awam, Bomba dan Penyelamat, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Penerangan dan petugas hospital terlibat dalam latihan itu.--BERNAMA

Anaklangkawi :- Usaha yg bagus & elok dijalankan sekurang2nya penduduk peka terhadap siren tu.. Pada pandangan saya penggunaan siren ini elok diuji setiap bulan pada waktu yg ditetapkan.. Takut bukan apa .. bila tak guna karat habis & bila nak guna tak boleh berfungsi pulak..

No comments: