Advertisement :- Villa De Porto ~ A Private Gateaway in Langkawi

Tuesday, October 13, 2009

Congkak tarik perhatian ~ Kg Raja Atas

LANGKAWI 11 Okt. - Permainan tradisonal seperti congkak bukan sahaja menjadi aktiviti yang menarik kepada masyarakat negara ini, malah jika dipopularkan ia boleh dijadikan daya tarikan pelancong. Berikutan itu, Kompleks Kraftangan Langkawi dengan kerjasama Perpustakaan Desa Kampung Raja Atas dan Pusat Aktiviti Kanak-kanak Daerah Langkawi telah mengambil inisiatif menganjurkan Pameran & Pertandingan Congkak 1Malaysia Peringkat Daerah Langkawi.

Pameran dan pertandingan yang diadakan di Dewan Teluk Yu, Kompleks Kraftangan Langkawi itu mendapat sambutan menggalakkan menerusi penyertaan kira-kira 200 peserta. Pengarah kompleks itu, Norizan Lob, memberitahu, program itu bertujuan untuk mempopularkan permainan congkak di kalangan generasi baru dan lama di samping memberi ruang memperkenalkan semula permainan-permainan tradisional Melayu.

"Sokongan daripada masyarakat Langkawi dan para pelancong menunjukkan permainan tradisional dapat dipromosikan ke peringkat lebih tinggi," kata beliau.

Selain itu jelas Norizan, masyarakat dapat melihat pameran pelbagai jenis congkak dari seluruh negara dan beraneka jenis kraftangan serta bahan seni yang dipamer dan dijual di kompleks tersebut.
Antara bahan yang dipamerkan selama sebulan bermula semalam ialah beberapa jenis congkak dengan reka bentuk unik dan menarik hasil seni Orang Asli suku Mah Meri dari Pulau Carey, Selangor.
"Congkak yang dipamerkan termasuk Congkak Belangkas, Congkak Harimau Berantai dan Congkak Naga," kata beliau.

Congkak lain yang turut menarik perhatian ialah Congkak Langkasuka dari Perak yang berbentuk seperti kukur kelapa dan berhias dengan motif flora bersadur perak.
Lain-lain ialah Congkak Kuda Kepang dari Johor dengan kepala congkak dihiasi bentuk kepala kuda kepang dan digandingkan bersama bentuk rehal iaitu alas digunakan untuk membaca al-Quran.


Anaklangkawi :- Byknya jenis congkak. Taktaula pulak bermcm2 jenis..

No comments: