Advertisement :- Villa De Porto ~ A Private Gateaway in Langkawi

Showing posts with label Berita Harian. Show all posts
Showing posts with label Berita Harian. Show all posts

Sunday, February 20, 2011

Shah Rukh Khan pilih Melaka, Langkawi

MELAKA: Filem baru Datuk Shah Rukh Khan berjudul Don 2 yang sedang menjalani penggambaran di Sungai Udang, dekat sini, sejak Ahad lalu, bakal disaksikan berpuluh juta penduduk dunia apabila disiarkan serentak di 32 negara pada 23 Disember ini. Ketika di temui di Bandar Baru Sungai Udang petang semalam, bintang terkenal Bollywood itu berkata, filem sambungan Don bercorak aksi, bakal memaparkan tiga lokasi di negara ini iaitu Melaka, Kuala Lumpur dan Langkawi.

"Penggambaran di Melaka mengambil masa antara lima hingga enam hari sebelum disambung pula di Kuala 
Lumpur dan Langkawi.

"Filem ini dijadual ditayang serentak di 32 negara pada sambutan Krismas ini dan kita jangka mendapat sambutan hebat," katanya selepas menerima kunjungan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam, di lokasi penggambaran filem di Bandar Baru Sungai Udang.

Selain Shah Rukh, filem ini turut dibintangi artis terkenal, Priyanka Chopra, Lara Dutta, Boman Irani, Kunal Kapor dan Nawab Shah. Seorang bintang filem tanah air, Adiputra turut diberi peluang untuk beraksi dalam filem ini.- Berita Harian

A/L :
Bintang yg ditunggu-tunggu oleh peminat cerita hisdustan. Nnti kita kaji kat mana depa nak buat penggambaran..  

Tuesday, August 10, 2010

Lebih 1,000 sertai Program Semarak Merdeka Peringkat Langkawi

LANGKAWI: Lebih 1,000 kanak-kanak, belia dan orang dewasa mengambil bahagian dalam pelbagai acara sempena Program Semarak Merdeka Peringkat Daerah Langkawi di padang awam Kampung Padang Lalang, Mukim Ayer Hangat di sini, semalam. Antara acara menarik sepanjang program empat jam mulai jam 8.30 pagi anjuran Pejabat Penerangan Daerah Langkawi itu termasuk Senamrobik 1Malaysia, Sukan Rakyat, Larian Mesra Merdeka dan Futsal.

Majlis perasmian dilakukan Pengarah Penerangan Kedah, Masnoor Ashaari. Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Hangat, Mohd Rawi Abdul Hamid dan Penghulu Mukim Ayer Hangat, Malik Abd Aziz.

Berita Harian

AL : Generasi sekarang perlu didedahkan tentang sejarah kemerdekaan supaya mereka dapat tahu betapi susahnya nenek moyang mereka mencapai kemerdekaan.

Monday, February 8, 2010

Air Terjun Telaga Tujuh terbiar

Keadaan bumbung yg rosak.



LANGKAWI: Penduduk tempatan dan Kemudahan uzur jejas imej kawasan tumpuan pelancong pelancong meminta kerajaan dan pihak berkuasa tempatan (PBT) membaiki segera kemudahan asas di kawasan Air Terjun Telaga Tujuh. Ramai berpendapat, kemudahan awam, termasuk dua tandas dan tiga pondok rehat di kawasan itu perlu dibaiki segera kerana sudah uzur dan sebahagian lantainya reput hingga menyulitkan orang ramai menggunakannya.
Tinjauan Berita Harian mendapati, tandas awam berhampiran telaga pertama ditutup dipercayai akibat ketiadaan air, manakala sebuah pondok rehat dalam keadaan tidak terurus dan membahayakan orang ramai. Pelancong dari Kulim, Abdul Rahim Mahmad, 59, berkata seluruh kawasan perkelahan itu sebenarnya masih memerlukan beberapa pembangunan bagi melengkapkan kemudahan asas sedia ada. “Walaupun kerosakan berpunca sikap pengguna, pihak berkaitan perlu memantau kemudahan asas yang disediakan setiap bulan, bukannya menyerahkan 100 peratus tanggungjawab kepada kontraktor pembersihan.
“Lantai pondok yang sudah reput dan atap terkopak perlu diperbaiki segera kerana ia hanya menambahkan lagi kecacatan kawasan perkelahan yang menjadi tumpuan ramai ini,” katanya. Beliau yang juga pesara kerajaan berkata, pihak bertanggungjawab perlu turun padang dan tidak hanya selesa duduk di bilik berhawa dingin bagi memastikan keperluan rakyat diutamakan. Pengunjung tempatan, Ismail Awang Kechik, 51, berkata tindakan menutup tandas di tempat tumpuan awam seperti yang berlaku di kawasan itu tidak seharusnya berlaku kerana ia akan menyusahkan pengunjung. “Pada musim cuti sekolah kawasan air terjun ini dikunjungi lebih 1,000 orang sehari untuk mandi-manda. Bayangkan bagaimana pengguna mahu menukar pakaian dan membuang air kecil kerana tandas yang ada ditutup.

“Pelancong asing ada menegur mengapa tiada pihak tampil membaiki semula tandas dan pondok rehat yang rosak. Malah cukup menyedihkan apabila najis manusia turut ditemui dalam surau di sini. “Sebagai warga tempatan, saya malu dengan keadaan ini dan berharap PBT melakukan sesuatu mengatasi masalah yang berlarutan agak lama ini,” katanya. Sementara itu, Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr Ng Yen Yen dalam lawatannya meninjau produk pelancongan di pulau ini, baru-baru ini, turut kecewa dengan kemudahan asas yang tidak terurus di kawasan itu. “Selepas meninjau sekitar gerai dan tempat letak kereta, saya mahu melawat bagaimana keadaan air terjun. Bagaimanapun, saya dimaklumkan beberapa kekurangan dan kerosakan membabitkan kemudahan awam di sana.

“Berikutan itu, saya tidak jadi naik, sebab kalau naik ke sana nanti berjumpa banyak masalah saya akan sedih,” katanya sambil meminta pihak berkaitan memberi perhatian serius terhadap isu kebersihan membabitkan produk pelancongan.
Anaklangkawi :-
Bukan telaga tujuh ja. Tapi ada 2 3 tempat yg perlu diberi perhatian. Yg penting maintainance..

Wednesday, January 6, 2010

Dunia Buku: Ujian cinta dua sahabat


Nora Fuad sengaja ledakan simpati, paksa pembaca buat pilihan DIMENSI Cinta karya Nora Fuad menyajikan pembaca dengan erti kasih sayang, persahabatan dan pengorbanan lewat konflik Lukhman Hakim, Zaid Harith, Nur Suraya dan Michelle Wong yang menjadi nadi penggerak jalan cerita novel ini. Sukar untuk pembaca membayangkan dengan mata kasar bagaimana akrab dan uniknya nilai persahabatan antara Lukhman dan Zaid yang terbina sejak kecil hinggakan mereka berkongsi kasih ibu masing-masing.

Kedua-dua anak muda ini mempunyai hampir segala-galanya yang diperlukan untuk hidup mewah dalam zaman globalisasi ini, tetapi kekurangan satu perkara bagi melengkapkan kehidupan mereka iaitu cinta. Kehadiran, Nur Suraya, benar-benar menguji keutuhan persahabatan kedua-dua sahabat baik itu kerana kebetulan mereka ditakdirkan jatuh hati kepada gadis yang sama tanpa masing-masing mengetahui perkara terbabit. Pengarang menggambarkan Nur Suraya sebagai gadis manis dan juga seorang guru yang terlebih dulu didekati Zaid, lalu timbul perasaan cinta dalam diri jejaka itu, tetapi tidak melafazkannya kerana baginya membina Vila Cintanya untuk si gadis lebih penting.

Konflik mula berlaku apabila Lukhman turut menyimpan hati terhadap Suraya ketika pertama kali bertemu sebelum diperkenalkan Zaid, memaksa arkitek muda itu memendam perasaan sucinya itu kerana menghormati persahabatan dan persaudaraan mereka yang terjalin sejak sekian lama. Pembaca turut dibawa menerjah kehidupan Zaid yang sentiasa sibuk kerana bertugas sebagai pengurus bidang teknologi maklumat di David Associate Computer yang memerlukannya kerap bertugas di luar negara bagi menghadiri pameran komputer terutama di London.

Zaid ditampilkan pengarang sebagai graduan sains komputer dari Universiti of London yang bernasib malang, selepas papanya meninggalkan mama kesayangannya untuk berhijrah ke Amerika Syarikat dan berkahwin dengan wanita lain. Ketika melanjutkan pengajian di London, dia bertemu seorang gadis cina yang berasal dari Perak, Michelle Wong atau Elle dan kemudian menjadi rapat hingga tanpa sedar lahir perasaan cinta, tetapi kedua-duanya memendamkan isi hati.

Zaid berasa kecewa apabila Elle disuruh berkahwin dengan lelaki pilihan bapanya dan berusaha untuk terus melupakan gadis Cina itu, tanpa menduga hatinya akan terbuka kembali apabila dipertemukan dengan Suraya. Pemuda malang itu kembali keliru dengan perasaannya ketika bertemu semula Elle di London dan pengarang menghanyutkan perasaan pembaca dengan kisah kepulangan Elle ke Malaysia, lalu diperkenalkan kepada Suraya. Suraya pula tersalah anggap dengan tindakan Zaid memperkenalkan Elle kepadanya, ditambah pula dengan sikap tidak acuh Zaid dalam persahabatan mereka, sehingga akhirnya berasa lega apabila dirinya mula terpaut kepada Lukhman.

Dapatkah Lukhman mengatasi rasa cintanya yang membuak kepada gadis pujaannya selepas dipisahkan dua benua kerana tindakannya melanjutkan pengajian di Adelaide, Australia bagi memberi laluan kepada Zaid dan siapakah Taufik dalam hidup Suraya?
~~~~~~~~~
Nora Fuad melalui Dimensi Cinta berjaya mengangkat kisah lumrah mengenai kasih sayang dan persahabatan yang sarat dengan mesej kesabaran dan kemurnian hati sehingga boleh dijadikan teladan oleh pembaca generasi muda dalam mengharungi kehidupan. Penulisan lahirkan minda kelas pertama NORA Fuad, nama pena bagi Noor Arba'iah Ismail yang menggabungkan namanya dengan suami dan membawa maksud cahaya penuh kejiwaan, berkarya sejak berusia 17 tahun dengan menjadikan majalah sebagai medan percubaan untuk mengasah bakat dalam dunia penulisan kreatif. Pengarang yang berkhidmat sebagai guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Damansara Jaya, Selangor, berkelulusan Ijazah Sarjana Muda dalam bidang sejarah, komunikasi dan pendidikan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi.

Nora mewarisi bakat penulisan daripada bapanya, Ismail Yaa’cob yang mahir menulis seloka dan dikenali sebagai Cikgu Man oleh masyarakat Langkawi serta berkongsi hobi yang sama dengan ibunya, Salma Ibrahim, iaitu membaca pelbagai jenis bahan bacaan. Hobi gemar membaca akhirnya bertukar kepada gemar menulis dan kecenderungan berkarya yang terhenti ketika melanjutkan pelajaran di menara gading, berputik kembali sebaik menyertai bengkel penulisan anjuran KarnaDya Solutions Sdn Bhd pada 22 Jun tahun lalu. Bengkel yang disertainya itu berjaya membuka mindanya untuk menjadikan penulisan sebagai misi melahirkan masyarakat dengan minda kelas pertama ekoran pesanan sifunya, Aina Emir bahawa ‘penulis mestilah mempunyai identiti tersendiri dan berilmu’.

Nora menjadikan pesanan sifunya sebagai pegangan utama untuk merealisasikan bahawa novel tidak lagi berfungsi sebagai bahan wacana ringan pada waktu senggang, sebaliknya boleh menjadi bahan utama bagi menggalakkan pembentukan masyarakat berilmu. Malah baginya novel bertema cinta bukan hanya sesuai untuk bacaan remaja, tetapi sesuai untuk golongan dewasa kerana baginya cinta perlu dipraktikkan sehingga mati dan pengarang Dimensi Cinta ini boleh dihubungi dengan melayari

http://norafuad.blogspot.com atau
http://dimensicinta-norafuad.blogspot.com/.

INFO : Dimensi Cinta
Pengarang: Nora Fuad
Tebal: 441 halaman
Penerbit: KarnaDya Solutions Sdn Bhd
Harga: RM19.00 senaskhah

Anaklangkawi :-

Tahniah Nora Fuad atas penerbitan buku terbaru.. Insyallah ada kesempatan cek beli senaskah. Teruskan berkarya.

Jalin kemesraan di Rebak Island ~ Hotel Langkawi

Berita Harian
BROADWALK yang suatu ketika dulu pernah dijadikan sebagai lobi tetapi kini berfungsi sebagai tempat rekreasi sukan dan tarian. Keindahan alam semesta eratkan hubungan kekeluargaan

MELUANGKAN masa dan menikmati percutian indah di pulau kecil bersama orang yang disayangi, tanpa gangguan luar yang membingitkan suasana dapat membantu mengeratkan hubungan.

Namun, lebih bermakna jika mampu membayar lebih untuk percutian bertaraf lima bintang dengan suasana tepi pantai dan pada masa sama kawasannya dipenuhi panorama alam semula jadi yang memberikan ketenangan jiwa serta minda.

Menikmati suasana itu, Rebak Island Resort-A Taj Hotel (Rebak Island) adalah antara pilihan tepat bagi mendapatkan percutian yang mendamaikan. Pakej lengkap disediakan bukan saja menjadikan impian menjadi realiti, tetapi memberi kepuasan maksimum.

Perasaan tenteram dan damai dapat dikecapi sepenuhnya kerana bermula daripada lobi utama hinggalah bilik tempat penginapan, restoran dan spa semuanya menyuntikkan kesegaran serta keasyikan. Dengan konsep bermotifkan kayu dan tradisional kontemporari, menambahkan lagi gaya santai yang menyenangkan hati.

Terletak di antara 99 pulau kecil di sekitar Pulau Langkawi, Rebak Island dikelilingi pasir putih yang indah dengan pemandangan pelabuhan laut Senari bersempadan dengan laut Selat Andaman.
SUSUN atur ruang dalam villa demi memberi keselesaan dan tetamu pasti teruja dengan hiasan dalamannya.

Suatu ketika dulu ia dikenali Rebak Marina Resort dan menariknya mengenai resort itu ialah kawasan sekitar keindahan semula jadinya yang dikelilingi hutan hujan dengan landskap sangat cantik.

Pengarah Urusannya, Samir Khanna, berkata Rebak Island mempunyai 82 bilik pelbagai jenis, saiz dan keistimewaannya. Terdapat tiga jenis penginapan iaitu pandangan ke arah pantai terdiri daripada Deluxe dan Superior Sea View serta Deluxe Villa dengan satu bilik.

“Masing-masing mempunyai keunikan dan kelebihan tersendiri kerana kita mahu tetamu menikmati keindahan alam semesta di sekitar kawasan. Hiasan dalaman yang kemas, cantik diperbuat daripada perabot kayu demi keselesaan tetamu dan kepuasan mereka.

“Lengkap untuk keperluan harian, hotel satu tingkat itu dalam setiap bilik, antara lain terdapat bilik tidak merokok, pendingin hawa, jubah mandi, pengering rambut, seterika, meja makan dan televisyen bagaikan tinggal di rumah eksklusif,
” katanya ketika ditemui di resort berkenaan, baru-baru ini.

TEMPAT penginapan villa dua tingkat di Rebak Island memukau pandangan dengan konsep kayu ala tradisional. Penulis menyertai lawatan ke pulau indah itu selama tiga hari dua malam mendapati, semua kakitangan Rebak Island sangat peramah dan sentiasa tersenyum. Bermula dari pengemudi feri hinggalah penyambut tetamu, pengemas bilik, pekerja pembersihan dan kakitangan restoran, mereka sangat membantu dan sering bertegur sapa antara satu sama lain.

Jarak perjalanan Rebak Island dari pusat bandar hanya sejauh 22 kilometer sementara 5.5 kilometer dari Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi. Resort lima bintang itu tidak terlalu besar dan juga tidak terlalu kecil dengan keluasan 390 hektar di tepian pantai terpencil itu dan menariknya, resort berkenaan mampu menawarkan keselesaan dan kemewahan.

Memandangkan resort berkenaan terletak di pulau kecil, pengunjung perlu mengambil feri sebagai pengangkutan terakhir ke destinasi selama 15 minit dari jeti Port Langkasuka.

Sebaik feri tiba di pelabuhannya, pengunjung pasti teruja apabila melihat banyak kapal layar milik persendirian yang ditempatkan di ruang teluk pelabuhan pulau berkenaan. Pelbagai saiz, jenama, rekaan kapal layar eksklusif tersusun cantik milik pengunjung, pedagang dan tetamu yang hadir ke Rebak Island.

Samir berkata, laluan masuk dari pelabuhan kapal juga sudah mampu menarik perhatian apabila buggy sudah tersedia menyambut kehadiran tetamu. Sebelum sampai ke lobi utama, pengunjung akan dibawa ke Boardwalk iaitu lokasi di mana pernah dijadikan lobi sebelum ini. Boardwalk berkenaan kini menjadi pusat rehat, permainan dan pusat aktiviti tarian yang disediakan setiap petang.

Selain itu, katanya, bagi memperkenalkan tempat dan kemudahan yang ada di Broadwalk pengunjung boleh mendapatkan barangan keperluan peribadi di sana selain mencuba tarian tradisional dan moden seperti cha-cha dan pocho-pocho di depan ruang masuknya.
“Keluasan yang terhad tidak menghalang kami untuk menampung keperluan asas pengunjung untuk berseronok bersama pasangan dan keluarga. Antara kemudahan lain yang disediakan ialah kolam renang, pusat jagaan anak, perkhidmatan dobi dan cucian kering dan pusat perniagaan.

“Memahami pengunjung terdiri dari pelancong asing dan memerlukan komunikasi luar menerusi internet, perkhidmatan WiFi serta bilik mesyuarat turut disediakan. Selain itu, pelbagai kemudahan lain untuk aktiviti sukan rekreasi boleh disertai antaranya gelanggang tenis, kolam renang luar, sukan air tidak bermotor, motosikal ATV dan gimnasium. Melengkapi percutian, pengunjung yang sudah penat menyertai pelbagai aktiviti, bolehlah memanjakan diri di Ulik Mayang Spa,” katanya.

INFO:
Rebak Island Resort
Lokasi: Kuah Langkawi Kedah Darul Aman
Telefon: 04-9665566
email: rmresv.malaysia@tajhotels.com atau reservations@tajhotels.com.

Friday, December 25, 2009

Syarikat sewakan van bermasalah jejas keseronokan cuti di Langkawi ~ Komen Pelancong

SEPANJANG Disember, Langkawi menjadi tumpuan rakyat untuk melancong dan membeli-belah. Saya ingin meluahkan rasa tidak puas hati terhadap syarikat sewa kereta yang beroperasi tanpa premis di jeti Kuah ketika bercuti di pulau itu, baru-baru ini. Sebaik melangkah keluar dari balai ketibaan di jeti Kuah, kami didekati individu menawarkan kenderaan sewa yang tidak asyik memujuk dan mengekori kami. Disebabkan rimas kerenahnya dan masih kebingungan dengan suasana di jeti, kami sekeluarga bersetuju menyewa van ditawarkan.

Tanpa teragak-agak, saya membayar deposit dan sewa van untuk sehari RM150 sekali gus kepada individu itu yang kemudian memberikan resit. Kami diberi van agak usang, namun itu tiada masalah kerana yang penting boleh dinaiki untuk menikmati keindahan Langkawi. Malangnya van itu rosak di satu tempat dan apa yang lebih mengecewakan hampir dua jam kami menunggu bantuan daripada syarikat itu untuk menggantikannya dengan van lain.

Bayangkan, bayi lapan bulan dan anak berumur setahun menangis di tepi jalan akibat lama menunggu, namun yang dihantarnya ialah kereta, bukan van. Keesokannya, kami dijanjikan van dihantar ke hotel penginapan, malangnya hampir sejam menunggu tiada khabar berita. Saya bergegas ke tempat penyewaan untuk menuntut hak sebagai penyewa dan selepas puas menunggu baru kami diberikan van. Saya mengharapkan pihak berkuasa memantau syarikat sewa kenderaan supaya kebajikan dan keselamatan pengunjung terjamin.

Mereka yang menjalankan perniagaan ini juga patut mengutamakan kebajikan penyewa.
Kami membelanjakan banyak wang bagi menikmati percutian yang indah, bukan untuk menghadapi tekanan di pulau itu. Kepada bakal pengunjung ke Pulau Langkawi, pastikan anda mencari syarikat sewa kenderaan yang baik dan melakukan urus niaga selepas melihat van yang dijanjikan.

PENGUNJUNG MALANG, Tanah Merah, BH

Anaklangkawi :- Adalah amat malang surat2 begini masih diterima oleh akhbar. Nampaknya ada pihak yg tidak serik2 di langkawi. Surat2 inilah yg bakal menjejaskan sektor pelancongan langkawi. Cuba lah kita layan pelancong sebaik mungkin.

Mungkin disebabkan inilah JPJ & pihak berwajib perlu lakukan pemantauan yg rapi terutama di jeti utk menangkap ulat-ulat yg tiada permit.

Kepada bakal pelancong. Hanya buat urusan di kaunter.. Jgn layan mereka2 yg berada di tepi2 jalan.

Sunday, November 29, 2009

700 polis siap sedia ~ Lima 09


LANGKAWI: Lebih 700 anggota polis akan bertugas mengawasi dan memastikan keselamatan pengunjung dan pempamer sepanjang lima hari berlangsungnya Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (Lima) 2009 mulai Selasa ini.Ketua Polis Langkawi, Superintendan Ishak Hassan, berkata anggota polis itu adalah dari Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kedah; Bukit Aman dan bakinya terdiri anggota sedia ada di Langkawi.

“Anggota polis daripada pelbagai unit termasuk kawalan am, risikan, jenayah berat dan lalu lintas akan mula bertugas di segmen udara dan maritim Isnin ini bagi memastikan penganjuran Lima 2009 berjalan lancar"

Berita Harian

Friday, November 20, 2009

48 Jam: Mesej dari Langkawi

Program Bulan Hijau 2009 - Selamatkan Bumi Kita lontar suara di pulau lagenda KUNJUNGAN ke Pulau Langkawi kali ini berbekal mesej berbeza. Tidak semata-mata bersantai mencari ketenangan, kali ini ada misi lebih besar yang perlu dipikul demi menyuntik kesedaran komuniti terhadap kempen hijau. Baru-baru ini, Pulau Langkawi menjadi pentas bagi semua agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkongsi aspirasi menjadikan Malaysia destinasi hijau dunia.
Program Bulan Hijau 2009 - Selamatkan Bumi Kita yang berlangsung dua hari, mensasarkan pembabitan komuniti terutama generasi muda dalam inisiatif menyelamatkan bumi daripada kemusnahan. Berteraskan konsep 4R iaitu reduce (kurangkan); reuse (guna semula); recycle (kitar semula) dan rethink (fikir semula) - setiap seorang daripada kita mampu menjadi insan yang lebih bertanggungjawab terhadap bumi.

Sunday, November 15, 2009

Apa fungsi APMM ~ Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia


Hari Bersama Media beri pendedahan tugas, cabaran pertahan perairan negara BERPEGANG kepada moto 'Mengawal, Melindung, Menyelamat', Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), kini menjadi tunjang pertahanan perairan negara yang semakin digeruni. Sejak beroperasi pada 2005, APMM Wilayah Maritim Timur mencapai banyak kejayaan dalam memastikan perairan negara bebas daripada ancaman asing dan kegiatan yang menyalahi undang-undang maritim.

Malah, sepanjang tahun lalu, 459 nelayan asing yang menceroboh zon perairan dan perikanan di Terengganu, Kelantan dan Pahang berjaya ditahan, iaitu peningkatan sebanyak 163 orang berbanding 296 nelayan asing pada tahun 2007. Selain itu, jumlah bot yang ditahan kerana kesalahan sama juga meningkat kepada 49 tahun lalu, berbanding 34 bot pada tahun sebelumnya. Ketua Penguat Kuasa APMM Wilayah Timur, Laksamana (M) Datuk Ismail Hamzah dalam ucapan perasmian Hari Bersama Media sempena sambutan Hari Maritim Malaysia yang disambut pada 15 Februari berkata, nama APMM atau Maritim Malaysia semakin dikenali di Wilayah Timur dan di negara ini.

USAHA melupuskan sebuah kapal nelayan asing sedang giat dijalankan.
Beliau yakin melalui aktiviti begitu yang berterusan, nama APMM akan semakin harum bukan saja di dalam negara tetapi juga di peringkat antarabangsa. "Lebih membanggakan APMM akan menerima Anugerah Pengiktirafan Frost & Sullivan yang akan diadakan di Singapura pada Mac depan. "Anugerah ini diberikan hasil maklum balas yang diterima daripada penduduk setempat mengenai aktiviti APMM dalam membendung aktiviti yang menyalahi undang-undang maritim negara, " katanya. Sehubungan itu, katanya, APMM akan terus memastikan zon perairan negara terjamin dan bebas daripada aktiviti yang tidak diingini.

Katanya, selain tugas hakikinya menjaga keselamatan perairan negara, Maritim Malaysia turut terbabit dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR). Program bersama media diadakan bertujuan memberi pendedahan kepada media untuk mengetahui dengan lebih dekat fungsi dan tugas APMM menerusi interaksi dengan pegawai kanan serta pendedahan mengenai tugas penguat kuasa yang dilaksanakan agensi itu. Selain itu, untuk mewujud dan mengeratkan hubungan organisasi bagi meningkatkan kerjasama media dalam membuat liputan positif serta meningkatkan imej APMM. Ia juga sebagai penghargaan APMM kepada media tempatan, terutama media di Wilayah Maritim Timur yang banyak memberi kerjasama dan sokongan melalui laporan berita audio dan visual.

Ismail berharap media akan lebih memahami dalam aspek pengendalian operasi mencari dan menyelamat serta penguatkuasaan Maritim Malaysia dan cabaran yang harus dihadapi. Sempena program itu, wakil media bersama pegawai kanan APMM Wilayah Timur dibawa belayar menaiki KM Langkawi, KM Amanah, KM Segantang, KM Ligitan, Bot Pelindung 1 dan Bot Kilat untuk menyaksikan proses pelupusan bot tahanan. Bot tahanan itu dilucut hak untuk ditenggelamkan sebagai tukun tiruan di perairan Pulau Kapas. Selain itu, APMM turut melakukan demonstrasi khas pemeriksaan dan menggeledah bot nelayan asing yang menceroboh perairan negara.

Demonstrasi itu turut membabitkan pegawai dan pegawai lain-lain pangkat serta aset Wilayah Maritim Timur. Turut hadir pada program itu ialah Ketua Penguat Kuasa APMM Kuala Terengganu, Komander Syed Mohd Fuzi Syed Hasan dan Pengarah Operasi APMM Wilayah Timur, Kapten Adam Abdul Aziz. APMM mempunyai 70 kapal dan 53 bot yang menjalankan aktiviti pengawasan di perairan negara yang meliputi keluasan 614,000 kilometer persegi dengan kawasan pantai sepanjang 4,490 kilometer.


Anaklangkawi :-
Elok juga artikel ni. Dapat juga tau. Elokla tangkap nelayan asing banyak2. Byk sikit tukun tiruan..

Thursday, October 8, 2009

48 jam: Terapi jiwa di pulau lagenda

Kepelbagaian produk pelancongan, aktiviti tarikan Langkawi

SERING kali membeli-belah dan bersantai di pantai menjadi fokus utama bila berkunjung di Langkawi. Bagai sudah menjadi rutin atau aktiviti wajib sedangkan banyak kegiatan lain boleh dilakukan di pulau lagenda ini tanpa perlu membabitkan kos tinggi.

Antara kegiatan yang boleh dilakukan di pulau peranginan ini ialah mengenali lebih dekat kehidupan harian masyarakat tempatan dan menikmati kekayaan alam semula jadi yang masih terpelihara.

Jika anda teringin melakukannya, Mutiara Burau Bay antara resort di Langkawi yang menyediakan peluang ini melalui pakej baru yang diperkenalkan kepada media, baru-baru ini.

Antara aktiviti menarik dalam pakej istimewa ini ialah Explore Race yang membawa pengunjung mendalami kehidupan seharian penduduk kampung seperti menanam padi, menjala ikan dan sebagainya.

Ikuti percutian singkat dua hari satu malam di pulau kelahiran Mahsuri ini...

WAKIL media cuba menimba air di perigi Mahsuri.

Rabu

9.20 pagi :
Titis hujan menyambut kedatangan kumpulan media sebaik turun dari kapal terbang. Selepas mengambil bagasi, kami dibawa menaiki bas pelancongan menuju Mutiara Burau Bay Beach Resort. Rintik hujan bagaimanapun terhenti menjadikan perjalanan kami lancar.

Terletak di Pantai Kok, perjalanan mengambil masa 15 minit dari lapangan terbang. Tenang dan menyamankan, fikiran mulai terasa lapang tatkala bas melepasi hutan dan bukit menghijau.

9.35 pagi : Ketibaan kami disambut meriah dengan permaidani merah diiringi paluan kompang. Setiap tetamu diberikan bunga telur serta minuman koktel sejuk sebagai ucapan selamat datang.

MAKAM Mahsuri menyambut kedatangan tetamu di Perkampungan Mahsuri.

Kedatangan kami dialu-alukan Pengarah Jualan, Dev Singh. Secara berseloroh, katanya, kedatangan kami membawa tuah kepada bumi Langkawi yang sebelum ini panas terik. Kebetulan cuaca masih mendung dengan suhu sekitar 29 darjah selsius.

10.30 pagi : Kami di bawa ke bilik penginapan yang berbentuk chalet berinspirasi rumah nelayan Langkawi. Bilik superior cabana dengan dua katil dilengkapi anjung serta bilik mandi dan tandas menghadap Spa Ayer yang berkonsep terbuka.

Diselubungi kehijauan semula jadi, rasa letih selepas bangun dari tidur dan bergegas ke lapangan terbang awal pagi, hilang begitu saja.

Kira-kira lima meter, mata dihidang keindahan pantai yang putih bersih dengan air laut jernih bak kristal. Deruan ombak jelas kedengaran, mengasyikkan diri yang sempat duduk bersantai di anjung melepaskan lelah.

11 pagi : Semua anggota media berkumpul di Dewan Impian yang terletak bersebelahan Seri Mutiara Restaurant and Terrace serta lobi utama. Dewan ini boleh memuatkan 120 tetamu dan lebih menarik, boleh dibahagikan kepada dua bilik kecil. Setiap bilik mampu memuatkan antara 50 hingga 70 tetamu. Kemudahan ini sesuai dijadikan tempat acara eksklusif seperti seminar, kem motivasi dan majlis rasmi.

Taklimat ringkas disampaikan Dev Singh dan Pengarah Langkawi Development Authority (Lada), Tuan Azman Umar mengenai pembangunan Langkawi.

12.30 tengah hari : Kami dibawa melawat sekitar resort oleh Dev Singh sebelum menikmati jamuan makan tengah hari di Seri Mutiara Restaurant and Terrace. Restoran ini menyediakan hidangan tempatan dan antara bangsa, selera bertambah dengan pemandangan indah yang menghadap kolam renang dan pantai.

2 petang : Berangkat ke Perkampungan Mahsuri yang sebelum ini dikenali sebagai Makam Mahsuri. Lebih sedekad tidak mengunjungi Makam Mahsuri, penulis kagum dengan perubahannya.

Antara yang menarik, pengunjung berpeluang meninjau sejarah Mahsuri yang dipaparkan di muzium mini sambil menonton dokumentari mengenainya di panggung mini.

Pengunjung juga dihidangkan dengan teater Mahsuri yang cukup menyayat hati. Selesai menonton, kami mengunjungi rumah Kedah yang dibina mengikut konsep rumah tradisional masyarakat setempat.

5.30 petang : Ke Pekan Kuah untuk membeli belah. Di Langkawi, hanya empat produk bebas cukai iaitu coklat, rokok, kain batik dan pinggan mangkuk. Bagaimanapun, penulis lebih gemar membeli kain batik selain ikan bilis kerana murah dan lebih segar berbanding di Kuala Lumpur.

8 malam : Kami menikmati makan malam di Perdana Quay atau Telaga Harbour yang terletak tidak jauh dari Mutiara Burau Bay. Waktu malam memang indah dengan lampu berwarna warni berlatar berlatar belakang kapal layar yang berlabuh di teluk kecil Pantai Kok.

Enam deretan restoran antarabangsa seperti Tapas, Mare Blu, Harbour Steakhouse, USSR, The Loaf (dimiliki mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad) dan Pulau-Pulau Seafood boleh menjadi pilihan. Kami dihidang dengan pelbagai sampel makanan dari enam restoran ini.

11 malam : Kami pulang ke Mutiara Burau Bay untuk berehat secukupnya kerana esok tugasan lebih berat menanti.

Khamis

6 pagi :
Bangun awal untuk menikmati keindahan matahari terbit serta kedinginan pagi. Kicauan burung cukup menyamankan sesekali geekok (cicak besar iaitu sejenis haiwan semula jadi Langkawi) melintas di depan mata. Cicak yang mengeluarkan bunyi unik ini tidak mengganggu orang walaupun rupanya agak menakutkan, merangkak dan memanjat dinding.

9 pagi : Bersedia untuk menyertai program Explore Race. Lima kumpulan dibahagikan dengan setiap pasukan disertai empat ahli. Kami diberi tugasan yang memerlukan kami mengelilingi Langkawi. Bermula dengan mencari nama saintifik batu di Oriental Village, kami bergegas ke Tanjung Rhu untuk menjala ikan.

Nampak saja mudah tetapi menjala ikan memerlukan teknik namun penulis berjaya menangkap ikan kayu yang bersaiz enam sentimeter selepas setengah jam menebar jala.

10 pagi : Seterusnya, kumpulan kami yang dikenali sebagai Pulau Dua menuju ke pusat peranginan Air Terjun Durian Perangin. Sampai di sini, kami ditugaskan makan sampai habis semangkuk kecil kerabu beronok (sejenis hidupan laut yang banyak didapati di perairan Langkawi dengan rasa pedas dan masin). Selepas itu, kami berhempas pulas membelah dua kelapa muda serta perlu meneguk air dan memakan isinya sampai habis.

10.30 pagi : Enam soalan berkisar hadiah yang diterima Dr Mahathir dari pelbagai pemimpin seluruh dunia perlu diselesaikan di Galeria Perdana. Pelbagai hadiah seperti keris, tembikar, lukisan hinggalah kereta ditempatkan di sini. Pendek kata, tidak cukup sehari menatap semua barangan menarik di galeri ini.

11.30 pagi : Kami tiba di Dataran Lang dan menjerit sekuat hati slogan ‘Langkawi Geopark Pusat Tarikan Pelancong’ untuk menarik perhatian individu yang memegang pembayang seterusnya. Seorang lelaki melambai dari balik arca burung lang yang besar dan menyerahkan sekeping puzzle untuk disusun semula.

Kami berjaya menyelesaikan puzzle berbentuk Ultraman dalam masa beberapa minit dan bergegas meninggalkan kumpulan Pulau Kaca yang mula-mula tiba untuk pergi ke destinasi seterusnya.

11.45 pagi : Kami menuju ke arah selatan untuk mencari restoran dengan dua ekor udang besar di pintu gerbang sebagai pembayang di Jalan Bukit Malut. Tiba di restoran yang dikenali sebagai Shrimpz, kami mencari individu diberi nama Cik Siti yang memegang pembayang seterusnya.

Sebelum menyerahkan pembayang seterusnya, kami perlu menangkap dua ekor udang jantan dan betina. Shrimpz bukan saja menyediakan hidangan berasaskan udang tetapi juga ladang penternakan udang terbesar di Langkawi.

12 tengah hari : Tidak sukar mencari rumah Tok Mi yang terletak di Kampung Chandek Kura. Nampaknya kami kumpulan pertama tiba di rumah Tok Mi yang sedang menanti dengan deretan kelapa tua dan alat memarut kelapa tradisional, kukur kelapa.

Seperti dijangka, kami diarahkan mengupas dua kelapa tua, membelah dan kukur isi kelapa. Mengupas kelapa tua memerlukan kemahiran kerana ia tidak semudah dilihat. Begitu juga dengan memarut kelapa menggunakan kukur yang boleh mencederakan jari jika salah teknik.

Ketika hampir meninggalkan rumah Tok Mi, kumpulan Pulau Payar tiba.

12.45 tengah hari : Laman Padi menjadi destinasi seterusnya. Melepasi Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi melalui Jalan Kedawang dan Persisir Pantai Cenang, kami mencari Ismail. Kami ditugaskan mencabut anak padi dan menyemainya semula di petak lain.

Pada masa sama, kami juga perlu menangkap lima ekor ikan di kolam bersebelahan. Pengalaman menanam padi memang menyeronokkan walaupun bimbang jika ada lintah melekat di kaki.

Separuh daripada pakaian kami dibasahi lumpur tetapi ia cukup menyeronokkan. Laman Padi memberikan peluang kepada orang ramai mencuba menanam padi dan menangkap ikan mengguna lukah. Selesai tugasan, kami diberi pembayang seterusnya iaitu bertemu dengan Chef Asri di Mutiara Burau Bay.

1.30 petang : Kami menyusuri Jalan Pantai Cenang menuju arah timur untuk sampai ke Mutiara Burau Bay. Walaupun risau dengan tugasan seterusnya, kami lega kerana mendahului kumpulan lain yang jauh ketinggalan.

Kami memandu perlahan sambil menikmati pemandangan menghijau dan pesisiran pantai yang indah. Chef Asri sudah menunggu di lobi semasa kami tiba. Selepas meminta kertas yang memaparkan nama kumpulan kami pada cermin kereta, Chef Asri mengumumkan kami kumpulan pertama tiba dan berjaya menamatkan perlumbaan. Ini bermakna, kamilah juara!

5 petang : Menikmati cuaca petang yang redup sambil berenang di dalam laut yang jernih bak kristal. Ramai pelancong Barat berehat di tepi pantai sambil membaca di bawah pohon kelapa atau berendam dalam laut.

8 malam : Kami berkumpul di Seashell Beach Cafe untuk makan malam yang bertemakan Hawaii. Asyik dibelai bayu laut dengan alunan muzik dari band menimbulkan suasana romantik. Sesekali pasangan pelancong Barat menari apabila irama romantik mahupun rancak bergema. Malam kian larut.

Inilah malam terakhir di pulau magis ini. Penulis kembali ke bilik dan hati berat meninggalkan Langkawi yang membawa pengalaman baru dalam hidup.

Berita Harian

Thursday, September 3, 2009

Bantu masyarakat jayakan aktiviti bermanfaat sepanjang Ramadan


LANGKAWI: Sebanyak 28 masjid dan 87 surau di daerah ini menerima sumbangan wang moreh hampir RM30,000 di Masjid Al-Hana Kuah, di sini bagi kegunaan Ramadan tahun ini. Sumbangan disampaikan Ahli Parlimen Langkawi, Datuk Paduka Abu Bakar Taib dan Pengurus Besar Yayasan Amanah Saham Anak Langkawi (Asal), Sirat Sidik, semalam.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri Ayer Hangat, Mohd Rawi Abdul Hamid. Pengerusi Surau Kampung Kuala Melaka, Mukim Padang Matsirat, Fadzil Din, berkata bantuan disalurkan kepada surau besar manfaatnya, sekali gus membolehkan pihaknya menyediakan jamuan moreh setiap malam kepada penduduk. "Menerusi sumbangan ini, pelbagai aktiviti sampingan seperti majlis tahlil arwah, kenduri kesyukuran, tadarus al-Quran dan khatam al-Quran boleh dijalankan di surau kami," katanya ketika ditemui pada majlis itu, kelmarin.

Pengerusi Surau Kampung Teluk B, Mukim Ayer Hangat, Ahmad Saad, berkata pihaknya bersyukur kerana Parlimen Langkawi sentiasa memberi keutamaan kepada program masjid atau surau tidak hanya pada Ramadan, malah sepanjang tahun. Katanya, walaupun surau di kampungnya mempunyai dana menerusi kutipan derma untuk kegunaan sepanjang Ramadan, bantuan itu dapat menokok tambah wang sedia ada bagi menganjurkan beberapa program keagamaan.

Sementara itu, Dato' Paduka Abu Bakar dalam ucapannya berharap sumbangan itu membantu pengurusan masjid dan surau mengadakan program penghayatan Ramadan seperti majlis berbuka puasa, solat terawih, jamuan moreh atau majlis tadarus. Katanya, setiap masjid menerima RM400, iaitu masing-masing RM200 daripada peruntukan Ahli Parlimen dan RM200 sumbangan Asal (Amanah Saham Anak Langkawi), manakala surau menerima masing-masing RM100 daripada dua pembiaya berkenaan.

"Sumbangan itu tidak seberapa tetapi yang paling mustahak ialah pemberian kerajaan menerusi wakil rakyat ini bertujuan untuk membantu masyarakat menjayakan aktiviti bermanfaat di masjid dalam kariah masing-masing. "Kita harap seluruh muslimin termasuk penduduk tempatan dan pelancong asing yang berada di pulau ini dapat bersama-sama mengimarahkan masjid sekali gus mengeratkan silaturahim antara penduduk," katanya.


Anaklangkawi :-

Contohilah wakil rakyat kita yg berbakti kepada rakyat tanpa penat lelah & jemu. Walaupun ini merupakan 'last term' bagi beliau tetapi ini tidak membantutkan aktiviti YB sbg wakil rakyat. Harap2 bakal2 YB & YB yg sedia ada belajarlah dr wakil rakyat Parlimen kita ni..

Thursday, August 27, 2009

Laporan Bantuan Mangsa Banjir ~ YB Parlimen Langkawi

~email diterima~


YB Dato' Paduka Abu Bakar Taib baru-baru ini membuat lawatan kepada mangsa banjir yg berlaku di Langkawi. Dato' Bakaq telah melakukan lawatan ke Kg Sungai Kedak, Kg Kuala Teriang, Kg Bohor Berendam, Kg Belak, Kg Bohor Tempoyak, Kg Ulu Melaka, Kg Pdg Matsirat, Kg Raja/ Atas di Mukim Padang Matsirat.

Untuk meringankan beban akibat banjir Dato' Bakaq telah menyerahkan sumbangan kepada penduduk yg terlibat. Walaupun tidak banyak diharap sumbangan berkenaan dapat meringan beban akibat banjir kilat tersebut.

Kampung Terlibat : Kg Sungai Kedak, Kg Kuala Teriang, Kg Bohor Berendam, Kg Belak, Kg Bohor Tempoyak, Kg Ulu Melaka, Kg Pdg Matsirat, Kg Raja/ Atas

Tempat : Perkarangan Masjid Lama Pdg Matsirat ( Masjid Kg Raja), Dewan Sekolah Menengah Kedawang

Tarikh : 24, 25 & 26 Ogos 2009

Sumbangan diberikan : RM 11,800 melibatkan 59 Keluarga

Perincian Keluarga Terlibat :-

*6 keluarga dari Kg Sg Kedak dan 2 keluarga dari Kg Kuala Teriang
*30 keluarga daripada Kg Belak,Mk Kedawang dan 8 keluarga daripada Kg Bohor Tempoyak,Mk Kedawang
*13 keluarga dari kalangan penduduk Kg Pdg Matsirat & Kg Raja/Atas


Anaklangkawi :- Eloklah tolong menolong di bulan yg mulia...Sama2 kita jgn lupa mereka2 yg susah..

Susulan ~ Berita Harian

LANGKAWI: Seramai 76 keluarga dari Mukim Kedawang dan Padang Matsirat yang menjadi mangsa banjir sejak Ahad lalu, menerima bantuan wang tunai lebih RM15,000, kelmarin. Bantuan disampaikan Ahli Parlimen Langkawi, Datuk Paduka Abu Bakar Taib di dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kedawang, Masjid Kampung Raja Padang Matsirat dan Dewan Orang Ramai Kampung Kuala Teriang, di sini.

Terdahulu, semua mangsa yang ditempatkan di tiga pusat pemindahan sementara itu dibenarkan pulang ke rumah masing-masing pagi kelmarin selepas air surut dan keadaan kembali pulih. Abu Bakar berkata, setiap keluarga menerima wang tunai RM200, selain sumbangan barangan keperluan harian seperti gula, beras dan minyak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). "Walaupun sumbangan ini tidak seberapa, sekurang-kurangnya dapat meringankan beban keluarga terbabit," katanya ketika ditemui selepas majlis penyerahan bantuan berkenaan.

Seorang mangsa, Yahya Ahmad, 45, dari Kampung Belak, Mukim Kedawang berkata, banjir sedalam 0.5 meter menjelang waktu berbuka itu menyebabkan beliau serta keluarga tidak sempat menyelamatkan perabot dan barangan elektrik. "Banyak perabot dan barangan elektrik yang baru dibeli musnah kerana tidak sempat dibawa ke tempat lebih tinggi.

"Bantuan ini dapat meringankan beban saya untuk menyediakan keperluan semasa kepada keluarga, tetapi bagi persiapan Aidilfitri belum fikir lagi," katanya ketika ditemui di sini, semalam. Syarifah Saidin, 32, juga dari Kampung Belak berkata, dia berterima kasih kerana ada pihak yang sudi memberi sumbangan berkenaan.

"Sekurang-kurangnya sumbangan ini mampu menceriakan kami seketika kerana walaupun air sudah surut, tidak mustahil banjir boleh melanda semula kerana cuaca masih mendung," katanya