Monday, December 27, 2010
Seni Nostalgia gamit kenangan
Beliau dilihat menghabiskan masa kira-kira 30 minit menatap lukisan karya Mohd Jamil Ahmad yang bernilai RM5,800 itu.
Lukisan yang menggunakan medium acrylic, memaparkan keadaan Langkawi pada tahun 70-an yang serba daif.
Abu Bakar berkata, keadaan kini, sudah jauh berubah, banyak pembangunan dikecap hasil anjakan paradigma yang dilakukan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
“Penduduk Langkawi perlu bersyukur dengan pembangunan yang dinikmati, kesedaran itu perlu wujud pada generasi muda.
“Kerajaan telah menyediakan pelbagai kemudahan seperti pengangkutan dan jalan raya, berbanding dahulu di mana kami terpaksa menggunakan bot kecil untuk berulang-aling ke tanah besar,” katanya ketika ditemui.
Bagi Mohd Jamil, dia mengambil masa dua minggu untuk mencari dan melakukan kajian terhadap wajah lama Langkawi.
Menurutnya, bagi menyiapkan karya ini pula, dia mengambil masa dua minggu sebelum dipamerkan.
“Saya melihat jenis kenderaan, yang digunakan ketika itu, malah zaman itu saya belum lahir lagi, untuk mewujudkan mood adalah satu perkara yang sukar,” katanya.
Beliau adalah antara 38 pelukis dan juru foto termasuk dari Indonesia, Brunei, Filipina, Canada dan Sri Lanka.
Pameran itu bakal berlangsung selama dua minggu dengan kerjasama Richarts Wejaya.
Sinar Harian
-AL :-
Sebenarnya amat susah utk mencari gambar & nostalgia lama mengenai Langkawi. Mungkin kita boleh cadangkan satu muzium kecil utk langkawi bagi mengingkap sejarah pulau lagenda kita..
Saturday, March 13, 2010
Pelajar, ibu tunggal terima RM27,350
Pada majlis sama juga, sebanyak 28 masjid dan sebuah surau di daerah ini dipilih menerima sumbangan jam dinding. Mohd Azmir berkata, sumbangan zakat RM27,350 itu adalah tambahan kepada sumbangan sama yang diberikan pada Ramadan lalu lebih RM60,000. Menurutnya, bantuan itu adalah sebahagian program sosial bank berkenaan kepada golongan pelajar miskin dan individu kurang bernasib baik. “Dengan bantuan yang tidak seberapa ini diharap pelajar dapat memanfaatkannya untuk menampung keperluan pembelajaran mereka serta meringankan beban keluarga. “Bank Rakyat Wilayah Utara memperuntukkan lebih RM1 juta untuk bayaran zakat perniagaan bagi tahun 2008,” katanya.
Sinar Harian
Pembukaan cawangan baharu itu yang membantu pelanggannya menjimatkan masa dan memberi kemudahan rakyat setempat berurusan dengannya, katanya pada pemberita selepas menyerah wang zakat Bank Rakyat kepada 28 ibu tunggal dan sumbangan jam dinding kepada imam-imam masjid seluruh Langkawi, yang berjumlah RM27,350.00 di sini pada Jumaat. Selain itu, bank berkenaan turut menyampaikan zakat kepada 345 pelajar miskin dari Sekolah Menengah Ayer Hangat, Langkawi yang berjumlah RM27,350.Peruntukan zakat itu adalah tambahan kepada peruntukan awal bagi cawangan Langkawi sebelum ini yang telah menerima peruntukan RM64,050. Mohd Azmir berkata, Wilayah utara diperuntukkan sebanyak RM1.094 juta wang zakat Bank Rakyat untuk disumbangkan kepada golongan asnaf yang berhak menerimanya.
Bernama
Anaklangkawi :-
Amat seronok bila mendengar zakat diberikan kepada penduduk langkawi..Elokla..
Satu lagi, agak2 pengusaha hotel2 kat Langkawi bayaq zakat tak?
Tuesday, January 26, 2010
Om tanggung kesan tragedi 11 September
“Saya tidak berpendidikan dan hanya bekerja apa yang ditawarkan asalkan dapat gaji dan boleh biayai keperluan keluarga. “Keadaan rumah juga usang dan tahap pendidikan anak-anak sederhana kerana saya tidak berapa faham mengenai pendidikan anak,” katanya ketika ditemui di Kampung Lubuk Buaya, Temoyong, Kedawang. Bagi jirannya, Abidah Rashid, 54, dia sering membantu mengemas rumah dan memberi beberapa lauk kepada keluarga itu. Abidah berkata, untuk membantu sepenuhnya, dia tidak mampu namun sekiranya ada rezeki lebih, dia sering menghantar makanan dan sayuran ke rumah rakan baiknya itu. “Dia ni lurus, kami kesian melihat nasib keluarganya itu seolah-olah terbuang daripada keluarga. “Tetapi keprihatinan penduduk setempat melayakkan dia mendapat bantuan daripada JKM setiap bulan,” katanya.
Dalam menangani masalah kemiskinan ini, masyarakat sering menuding jari terhadap peranan JKM. Ketika melakukan lawatan ke rumah Om, kelihatan empat wakil JKM termasuk seorang sukarelawan turut membantu mengemas kawasan rumah ibu tunggal itu. Penolong Pegawai JKM daerah Langkawi, Noor Liza Azizool berkata, keluarga ini pada mulanya mendapat Bantuan Kanak-kanak (BKK) RM100 setiap seorang. Menurutnya, kini selepas meninjau semula keadaan keluarga itu, JKM akan menukar skim yang bersesuaian atau elaun bulanan dinaikkan kepada RM150 seorang.
“JKM hanya berhak memberi elaun mengikut kesesuaian dan paling maksimum adalah RM450 bagi setiap rumah, tidak kira mereka mempunyai lebih dari lima anak. “Masyarakat perlu faham mengenai keadaan ini, kerana sejak belakangan ini banyak berlaku pertindihan maklumat mengenai isi rumah dan kami terpaksa melakukannya kajian semula,” katanya.
Selain JKM, Pergerakan Pemuda UMNO Langkawi turut mengenal pasti penduduk miskin sekitar Langkawi untuk mendapat pembelaan. Ketuanya, Norsaidi Nanyan berkata, sejak awal Januari 2010 sebanyak lima kes dikenal pasti bagi mendapat bantuan daripada JKM dan beberapa pihak lain melalui program Pemuda Prihatin. Menurutnya, program ini telah dimulakan sejak tahun lalu dan akan diperhebat mulai tahun ini secara berterusan dengan kerjasama Puteri dan Wanita UMNO Bahagian.
“Kami mempunyai 14 zon di seluruh Langkawi dan program ini digerakkan ketua Pemuda cawangan dan Jawatankuasa Kemajuan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP). “Selain mengenal pasti keluarga miskin, kami juga membantu membiayai yuran persekolahan, membeli keperluan sekolah dan menyelesaikan beberapa kes berkaitan pihak atasan,” katanya ketika ditemui. Norsaidi berkata, kami tidak mahu JKM dipersalahkan setiap kali media memaparkan kesusahan penduduk, perkara ini melibatkan semua pihak supaya lebih prihatin.
“Setakat ini hampir 80 peratus aduan rakyat dan rintihan penduduk miskin yang disuarakan kepada kami mendapat reaksi positif dari JKM dan semua aduan tidak diambil sepenuhnya, kami sendiri akan melihat dan mendekati masyarakat sebelum menyalurkan kesahihannya kepada JKM,” katanya.
Anaklangkawi:-
Tolonglah dgn ikhlas tanpa mengenal parti politik. INsyallah dibawa berkat dunia akhirat.
Sunday, January 24, 2010
Penutupan Muzium Ibrahim Hussein satu kerugian
“Ibrahim Hussein atau Ib adalah pelukis terbilang dalam peringkat antarabangsa, penutupan muzium itu satu kerugian besar buat negara dan Langkawi khususnya. “Perlu ada pengurusan baru untuk menjaga dan membukanya kembali terutama dengan penglibatan ahli seni yang mahir dalam penjagaan lukisan yang mencecah ratusan ribu ringgit itu,” katanya ketika ditemui pada Pameran Seni Visual di Underwater World Langkawi (UWL),Pantai Chenang, Kedawang. Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Hangat Mohd Rawi Abdul Hamid, Pengurus Besar UWL, Husain Abdul; Pengerusi Persatuan Artis Seni Visual Langkawi (Lavaa), Md Salleh Dawam; Naib Yang Dipertuanya, Khhairudin Abdul Hamid, dan Ketua Polis daerah Langkawi, Superintendan Ishak Hasan. Bagi Mohd Rawi pula, IHMCF boleh dijadikan pusat pengumpulan pelukis sekitar Langkawi. Menurutnya, pelukis tempatan boleh memanfaatkan IHMCF dengan menumpang muzium berkenaan dalam mempamerkan hasil karya mereka.
“Lokasi ini dapat mengeratkan hubungan sesama pelukis tempatan dan luar negara, malah pihak persatuan boleh menganjurkan sebarang aktiviti di muzium berkenaan,” katanya. Beliau berkata, Ib terkenal diseluruh pelusuk dunia, malah pemilihan Langkawi sebagai penempatan lukisannya satu produk pelancong yang sangat berharga. Pada pemeran itu sebanyak 60 lukisan termasuk arca, dipamerkan oleh 47 pelukis profesioanl dan amatur. Pelukis cilik Langkawi, Abu Shukran Md Salleh, 11, turut mempamerkan karya bertajuk ‘Jurassic Park’ berlatar belakang dinasour.
Sinar Harian
Wednesday, October 7, 2009
Mangsa kebakaran bakal terima rumah baru ~ Kedawang
Namun, alah bisa tegal biasa, rumah baru yang didirikan Keda kini dalam proses persiapan akhir dengan hanya tinggal untuk membina longkang dan penyambungan elektrik. Menurutnya, selepas kejadian itu ramai yang menghulurkan bantuan dan sumbangan peribadi termasuk JKM yang memberi bantuan bulanan kepada cucunya yang kehilangan ibu mereka.
“Saya berasa sedih rumah kayu berusia puluhan tahun itu akhirnya musnah terbakar, kami tinggal sehelai sepinggang ketika kejadian dan kini kami bakal dapat rumah baru. “Apa yang penting sekarang ini adalah tempat perlindungan buat cucu kami, mereka bijak dalam pelajaran dan inilah dugaan terbesar buat mereka ketika kecil,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bukit Lembu, Kedawang.
Zain berkata, kini dia menghidapi angin ahmar dan pergerakannya terbatas tetapi demi memberikan keselesaan kepada cucunya dia gagahi membantu menyiapkan rumah tersebut bersama kontraktor. Menurutnya, perbelanjaan harian mencukupi walaupun ala kadar memandangkan anak sulungnya masih memberikan wang perbelanjaan.
“Walaupun hasrat untuk berhari raya di rumah baru tidak tercapai tetapi kami sekeluarga tetap reda menanti rumah bantuan ini untuk disiapkan,” katanya. Beliau berkata, pada hari raya lalu mereka sekeluarga meraikannya dengan cara sederhana di bawah kolong tersebut. “Ada juga jiran dan sahabat serta keluarga yang datang melawat kami dan kemeriahan itu masih terasa.
“Ternyata kerajaan prihatin dengan nasib kami dan bantuan diberikan dengan segera oleh mereka selepas kejadian itu,” katanya.
Sinar Harian 7/10/09
Anaklangkawi :-
Alhamdulillah. Moga lebih byk permasalah rakyat diketengahkan oleh Media seperti Sinar Harian. Sekurang2nya adala pihak berwajib & mereka yg bersimpati akan lihat utk menolong. Insyallah.
Friday, September 11, 2009
Duit raya ringankan beban ~ UMNO Langkawi
Thursday, September 10, 2009
Keluarga pesakit barah dapat bantuan
Che Ahmad Che Noor berkata, bantuan itu adalah kategori Bantuan Kanak-kanak (BKK), sebanyak RM100 bagi setiap anaknya. “Kami meluluskan bantuan kewangan kepada tiga anaknya dan pembayaran akan dilakukan pada 15 September ini. “Mereka akan diberi bantuan setiap bulan hingga keadaan keluarga ini pulih dan mampu serta mempunyai sumber pendapatan tetap,” katanya ketika ditemui di Kampung Bohor Tempoyak, Kedawang.
Che Ahmad berkata, mengikut rujukan, keluarga itu sememangnya layak menerima bantuan dan mereka memohon pada Julai lalu, namun apabila dihubungi semula oleh pihak JKM, Shafie sekeluarga gagal ditemui. Bagi Shafie pula, kedatangan JKM bersama media memberikan semangat untuk melawan penyakit dideritai dan kekuatan kepada anak sulungnya Mohd Saiful Asyraf yang sedang menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di Sekolah Kebangsaan Temoyong.
“Saya sekeluarga mendapat banyak panggilan, dan sokongan moral daripada seluruh rakyat Malaysia malah ramai juga menawarkan penyembuh,” katanya. Namun katanya, bagi yang menjual produk perubatan, dia terpaksa menolak kerana atas nasihat doktor dia tidak dibenarkan mengambil ubat lain. “Saya berasa ini rahmat Ramadan, ramai insan prihatin tampil memberikan sumbangan berupa keperluan dan terdapat juga beberapa badan bukan kerajaan (NGO) berhasrat membawa anak membeli pakaian untuk Syawal.
“Saya berasa terharu dengan kehadiran mereka tampil membantu kami sekeluarga, pihak hotel tempat saya bekerja juga masih menghulurkan bantuan,” katanya. Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam, hotel The Westin Spa & Resot, Norhayati Mohammad, berkata, maklumat mengenai Shafie tersebar luas di laman web, malah mereka turut memberikan kata-kata semangat dan menawarkan diri untuk membantu.
Sinar Harian 9/9/9
Anaklangkawi :-
Kadang2 masuk paper baru ada tindakan. Tapi tak boleh nak salahkan JKM @ lain2.. sbb yg patutnya JKKKP & Ketua Kampung negeri buat la kerja sikit.. Mana ada masalah rakyat tak kira parti bagi la laporan supaya dapat pembelaan.
Sunday, August 30, 2009
Banjir gelombang kedua melanda Langkawi
Kawasan bendang berubah dengan sekelip mata menjadi lautan, puluhan haiwan ternakan terkandas di tengah bendang dan paling menyedihkan beratus mangsa berpindah ke Pusat Pemindahan Banjir di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kedawang, Mukim Kedawang. Dalam kejadian lewat petang semalam, hujan lebat tidak berhenti diikuti ribut menyebabkan anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), pasukan bomba dan penyelamat, polis, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Pusat Kesihatan Padang Matsirat berkawal dan berkampung di Pusat Pemindahan banjir di SMK Kedawang selama 24 jam.
Sehingga jam tiga pagi kelmarin, seramai 360 orang dengan 75 keluarga dicatatkan berpindah ke pusat itu dan sehingga jam dua petang semalam, jumlah keseluruhan menjadi 500 orang melibatkan 100 keluarga. Kampung yang terjejas teruk adalah Kampung Belak, Paya Mempelam, Bohor Tempoyak, Tanjung, Bohor Masjid, Gelam, Bukit Kemboja, Nyior Chabang, Lubuk Setol, Bohor Berendan dan sekitar Padang Matsirat. Namun kawasan sekitar Pantai Chenang yang menjadi tumpuan pelancong terselamat dari bah kedua yang dianggap paling tragis bagi tahun ini.
Menurut Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat, Yaakob Othman, seramai 16 orang diarah untuk memindahkan mangsa dengan kerjasama JPAM. Menurutnya, pihak bomba memantau seluruh kawasan terjejas dan memindahkan mereka ke Pusat Pemindahan Banjir di SMK Kedawang. “Kami mengerakkan dua kumpulan anggota dari Balai Persiaran Putera dan Ayer Hangat, kami berkawal dari petang kelmarin sehingga keadaan pulih.
“Kami melakukan pemantauan serta memindahkan mangsa ke pusat pemindahan yang dibuka mengikut mukim, buat masa ini tiada sebarang kemalangan jiwa berlaku,” katanya ketika ditemui di Pusat Pemindahan Banjir di SMK Kedawang. Sementara itu, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Gelam, Said Othman berkata punca utama banjir disebabkan oleh pintu air atau kunci air yang terdapat di Kuala Chenang begitu sempit dan gagal mengalirkan air dari bendang sekitar Kedawang sehingga menyebabkan limpahan berlaku.
Menurutnya, kejadian berlaku seolah-olah mengimbau kejadian tsunami lima tahun lalu yang mana kawasan ini terjejas teruk sehingga pangkalan nelayan ini musnah dan terdapatbot nelayan hanyut sehingga merosakkan kediaman dan kenderaan berhampiran. “Kami merayu kepada Jabatan Pengaliran dan Saliran menambah pintu air, dalam kejadian hari ini tembok pintu air tersebut hampir roboh dan kami terpaksa berpindah dan menyelamatkan harta benda,” katanya.
Pada kejadian bermula jam enam petang kelmarin, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuah, Datuk Ir Nawawi Ahmad, Pergerakan Pemuda dan Putera UMNO, Persatuan Belia bertungkus lumus menyediakan hidangan berbuka di pusat pemindahan tersebut.
Manakala bagi juadah bersahur, ia disumbangkan Ahli Parlimen Datuk Paduka Abu Bakar Taib dan Yang Dipertua Pas, Zubir Ahmad. Jabatan Kesihatan Padang Matsirat turut mengadakan pemeriksaan kesihatan diikuti polis dan JKM mengumpul segala maklumat mangsa sehingga kini. Sehingga jam dua petang semalam, mangsa di Pusat Pemindahan Banjir di SMK Kedawang terus bertambah dan semakin sesak
Sinar Harian 30/8/09
Anaklangkawi :-
Kalau semua ahli politik begini .. aman & nyaman org2 langkawi.. Apa2pun ni merupakan dugaan kepada keluarga yg terlibat.
Friday, August 28, 2009
Banjir Melanda Kembali ~ Pindah Balik
Mangsa banjir dipindah semula ke Dewan Sek Men Kedawang malam ini.
Ada seramai 356 Org yg melibatkan 77 Keluarga.
YB Dato' Paduka Abu Bakar Taib telah menyediakan juadah bersahur utk malam ini.
Dimasak secara gotong-royong & perkakas serta bahan memasak disumbangkan & dibayar oleh Beliau.
dr
Mohd Saiful
Thursday, August 27, 2009
Laporan Bantuan Mangsa Banjir ~ YB Parlimen Langkawi
Sumbangan diberikan : RM 11,800 melibatkan 59 Keluarga
Anaklangkawi :- Eloklah tolong menolong di bulan yg mulia...Sama2 kita jgn lupa mereka2 yg susah..
Susulan ~ Berita Harian
LANGKAWI: Seramai 76 keluarga dari Mukim Kedawang dan Padang Matsirat yang menjadi mangsa banjir sejak Ahad lalu, menerima bantuan wang tunai lebih RM15,000, kelmarin. Bantuan disampaikan Ahli Parlimen Langkawi, Datuk Paduka Abu Bakar Taib di dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kedawang, Masjid Kampung Raja Padang Matsirat dan Dewan Orang Ramai Kampung Kuala Teriang, di sini.
Terdahulu, semua mangsa yang ditempatkan di tiga pusat pemindahan sementara itu dibenarkan pulang ke rumah masing-masing pagi kelmarin selepas air surut dan keadaan kembali pulih. Abu Bakar berkata, setiap keluarga menerima wang tunai RM200, selain sumbangan barangan keperluan harian seperti gula, beras dan minyak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). "Walaupun sumbangan ini tidak seberapa, sekurang-kurangnya dapat meringankan beban keluarga terbabit," katanya ketika ditemui selepas majlis penyerahan bantuan berkenaan.
Seorang mangsa, Yahya Ahmad, 45, dari Kampung Belak, Mukim Kedawang berkata, banjir sedalam 0.5 meter menjelang waktu berbuka itu menyebabkan beliau serta keluarga tidak sempat menyelamatkan perabot dan barangan elektrik. "Banyak perabot dan barangan elektrik yang baru dibeli musnah kerana tidak sempat dibawa ke tempat lebih tinggi.
"Bantuan ini dapat meringankan beban saya untuk menyediakan keperluan semasa kepada keluarga, tetapi bagi persiapan Aidilfitri belum fikir lagi," katanya ketika ditemui di sini, semalam. Syarifah Saidin, 32, juga dari Kampung Belak berkata, dia berterima kasih kerana ada pihak yang sudi memberi sumbangan berkenaan.
"Sekurang-kurangnya sumbangan ini mampu menceriakan kami seketika kerana walaupun air sudah surut, tidak mustahil banjir boleh melanda semula kerana cuaca masih mendung," katanya
Wednesday, August 26, 2009
Mangsa banjir redha ketentuan Ilahi ~ Kedawang
Hujan lebat tanpa henti itu mengakibatkan beberapa kawasan dilanda banjir sekitar Padang Mat Sirat, Kampung Simpang Kenyum dan Mukim Kedawang. Penghulu Mukim Kedawang, Ahmad Suhaidi Ibrahim berkata, semua mangsa dipindahkan pada jam 6 petang semalam dengan bantuan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).
Menurutnya, mangsa adalah penduduk di kampung sekitar Mukim Kedawang dan semua mangsa telah diambil maklumat dan bancian bagi menyalurkan sumbangan. Seorang mangsa dari Kampung Belah, Salmah Hashim, 35, berkata, kejadian itu adalah kedua yang pernah dialaminya sejak enam tahun lalu.
Menurutnya, kejadian pertama pada tahun 2004 sebelum bencana tsunami melanda Langkawi dan ketika itu dia sedang sarat menggandung. “Kami redha dengan ujian Allah, kami berbuka puasa di sekolah bersama jiran tetangga dan berkongsi hidangan yang diberi.
“Saya hanya terkenangkan anak-anak yang berbuka secara ala-kadar tiada lauk istimewa seperti tahun lepas,” katanya ketika ditemui di sekolah tersebut. Salmah berkata, dalam keadaan banjir di rumahnya, dia dan anak-anak terpaksa mengutip lintah bagi mengelakkan ia memasuki kawasan dalam rumah sebelum mengambil keputusan untuk berpindah ke pusat pemindahan banjir.
“Ini adalah pengalaman berguna kepada anak-anak, mereka rasa susah dan senang di masa banjir melanda kampung ini, kejadian ini juga mengajar mereka erti kesabaran,” katanya. Seorang lagi mangsa, Nuramirah Basiron, 15, berkata, pengalaman banjir di bulan Ramadan adalah rahmat dan dugaan yang besar dari Allah SWT.
“Saya menginap di asrama, saya harapkan dapat berbuka dan bersahur bersama keluarga dengan hidangan istimewa tetapi lain hasrat itu tidak kesampaian apabila kami dilanda banjir. “Tetapi itu tidak mengecewakan saya, kerana masa susah ini saya dapat bersama keluarga membantu mereka dan inilah pengalaman pertama di bulan Ramadan yang benar-benar menguji kami,” kata pelajar yang menginap di asrama Sekolah Menengah Langkawi, Pulau Tuba.
Sinar 26/8/09
Monday, June 29, 2009
Warga emas mohon bantuan zink ganti atap bocor
Zainon Osman, 56, yang bekerja sebagai tukang kebun secara kontrak dan Zaharah Ismail, 54, suri rumah, hampir putus asa untuk meminta bantuan daripada Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung Persekutuan (JKKKP) apabila aduan mereka umpama ‘mencurah air di daun keladi’.
Zainon berkata, JKKKP pernah berkunjung ke rumahnya tetapi tiada sebarang perkembangan, malah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga tidak membantu. “Kami hanya mahu memohon zink bagi menggantikan atap nipah bukannya wang ringgit, saya tidak mampu membeli zink.
“Setiap kali hujan pasti bocor dan rumah ini juga turut bergegar jika ribut atau petir,” katanya ketika ditemui Sinar Harian. Menurutnya, rumah itu juga diperbuat dengan menggunakan pasak daripada kayu pokok dan keadaannya juga telah reput. Menurutnya, dia berasa kesal dengan JKKKP dan wakil rakyat yang seperti tidak mengendahkan penderitaan mereka.
“Ketika pilihan raya kami menyokong pemimpin yang boleh buat kerja, yang berjanji itu dan ini tetapi apabila kami dalam keadaan daif mereka seperti terlepas pandang,” katanya.
Sinar Harian 29/6/09
~~
Anaklangkawi :
Pakat2 pi jenguk Noo..
